Vous êtes le visiteur numéro 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
AGENDA
No data available
News
19 juni 2007 09:35
Gala Seni Serumpun Eratkan Hubungan Dua Negara
Kuala Lumpur- Dalam usaha untuk mengeratkan lagi hubungan antara artis Malaysia dengan Indonesia, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah mengambil inisiatif menganjurkan majlis makan malam Gala Seni Serumpun yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pada Sabtu (16/7) lalu selama tiga jam mulai 8.30 malam.
Selain bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala, Seniman turut memberi penghargaan kepada 11 artis Indonesia sebagai penerima Anugerah Bintang Seniman.
Artis yang menerima anugerah tersebut ialah Wirdaningsih, Trio Bimbo, Acha Septriasa, Bob Tutopoly, Titiek Puspa, Marini Borhan, Kusno Sudjarwadi, Elly Kassim, Irwansyah, Ernie Djohan dan Lilis Suryani yang tidak hadir kerana sedang menjalani rawatan penyakit barah.
Sementara Persatuan Artis Film Indonesia (PARFI) yang diketuai oleh Presidennya, Yenny Rachman memilih 13 orang artis Malaysia untuk diberi penghormatan menerima Anugerah Seni PARFI.
Mereka ialah Datuk Rahim Razali, Datin Umi Kalthum, Mariani Ismail, Latifah Omar, Anita Sarawak, A.R Badul, Mawi, Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Ahmad Jais, Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Shake.
Menurut Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, penganjuran Gala Seni Serumpun juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi pesakit-pesakit kanser yang dikendalikan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
“Seniman turut terpanggil untuk menjalankan tanggung jawab sosial dalam usaha membantu kerajaan menangani penyakit kanser”, kata Maarof.
“Selain itu majlis ini juga diadakan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara dan sambutan Jubli Emas terjalinnya hubungan persahabatan antara Malaysia-Indonesia,” katanya pada majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.
Sementara itu, Yenny Rachman berharap kerjasama yang diadakan antara PARFI dan Seniman dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.
“Sebagai negara yang mempunyai banyak persamaan antara budaya dan bahasa, diharap kerjasama begini mampu memaju dan melestarikan seni dan budaya kedua bangsa,” katanya penuh harapan.
Pada majlis yang diacarakan oleh Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Wirdaningsih itu, barisan artis tempatan dan Indonesia masing-masing telah memberikan persembahan yang menghiburkan.
Kebanyakan persembahan penyanyi dari Indonesia dilihat lebih dekat di hati penonton kerana lagu-lagu dendangan mereka berunsur malar segar.
Antara lagu nostalgia yang didendangkan ialah Kisah Seorang Biduan (Trio Bimbo), Bugih Lamo (Wirdaningsih dan Ratih Purnamasari), Mawar Berduri dan Layu Sebelum Berkembang (Marini), Elly Kassim (Seroja), Widuri dan Oh Sayang (Bob Tutupoly).
Sementara artis tempatan lebih senang mendendangkan lagu popular mereka seperti Elegi Sepi (Azharina), Semuanya Ada Di Sini (Farawahida), Sekali Aku Jatuh Cinta dan Gadis Mata Biru (Nassier Wahab), Kenangan Lalu (Fredo), Kian (Mawi), Lembaran Terakhir dan Mungkin Bersama (Ahmad Jais), Ratnaku (Roy) dan Rosemaria (Shawn Bahrin).
Penerima Anugerah Seni PARFI
Datuk Rahim Razali - Pencapaian Cemerlang Dalam Bidang Seni (Pelakon, Pengarah, Penulis Skrip, Pengacara, Penerbit) dan Presiden SENIMAN ke-2
Datin Umi Kalthum - Penghargaan Khas Sumbangan Dalam Bidang Lakonan
Mariani Ismail - Penghargaan Khas Sumbangan Dalam Bidang Lakonan
Latifah Omar - Penghargaan Khas Sumbangan Dalam Bidang Lakonan
Anita Sarawak - Pencapaian Cemerlang Penyanyi Bertaraf Antarabangsa Wanita
A.R Badul - Penghargaan Khas Sumbangan Dalam Bidang Komedi (Pentas dan Filem)
Mawi - Pencapaian Cemerlang Artis Baru
Datuk Aziz Sattar - Penghargaan Khas Pencapaian Cemerlang Dalam Bidang Lakonan Komedi dan Pengarahan Filem
Datuk Maria Menado - Penghargaan Khas Penerbit Filem Wanita Pertama / Sumbangan Dalam Bidang Lakonan
Datuk Sarimah Ahmad - Penghargaan Khas Sumbangan Dalam Bidang Lakonan dan Penerbitan Filem
Datuk Ahmad Jais - Penghargaan Khas Penyanyi Sepanjang Zaman
Datuk Dr. Ahmad Nawab - Pencapaian Cemerlang Seniman Negara
Datuk Shake - Penghargaan Khas Penyanyi Bertaraf Antarabangsa Lelaki
Penerima Anugerah Bintang SENIMAN
Trio Bimbo - Pengharkaan Khas Penyanyi Berkumpulan Terunggul
Marini Borhan - Penghargan Khas Sumbangan Dalam Bidang Lakonan dan Nyanyian
Kusno Sudjarwadi - Penghargaan Khas Sumbangan Dalam Bidang Lakonan
Elly Kassim - Penghargaan Khas Penyanyi Tradisional
Bob Tutupoly - Penghargaan Khas Penyanyi Versatil Sepanjang Zaman
Titiek Puspa - Penyanyi dan Pelakon Paling Popular di Malaysia, Singapura dan Brunei, Era 60‘an - 80‘an
Wirdaningsih - Penghargaan Khas Penyanyi Sepanjang Zaman
Ernie Djohan - Penyanyi Paling Popular di Malaysia, Singapura dan Brunei, Era 60‘an - 80‘an
Acha Septriasa - Penghargaan Khas Penyanyi dan Pelakon Angkatan Baru Mencipta Nama di Malaysia
Irwansyah - Penghargaan Khas Penyanyi dan Pelakon Angkatan Baru Mencipta Nama di Malaysia
Sumber : utusan.com.my Kredit foto : www.kickandy.com