Saturday, 21 November 2026   |   Saturday, 10 Jum. Akhir 1448 H
Visiteurs en ligne : 3.731
aujourd hui : 74.360
Hier : 95.893
La semaine dernière, : 821.392
Le mois dernier : 11.429.130
Vous êtes le visiteur numéro 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • No data available

 

News

20 november 2008 03:16

Rakyat Malaysia suka meniru gaya luar

Rakyat Malaysia suka meniru gaya luar
Rumah tradisional berbumbung tebar layar.

Kuala Lumpur, Malaysia- Kebelakangan ini, pelbagai gaya penataan menghujani hiasan dalaman tempatan. Jika pada awal 90an, tema klasik berumpankan jati menjadi igauan, Bali muncul selepasnya dengan mempertaruhkan inspirasi alam sebelum selera beralih pula kepada zen yang memperjuangkan suasana semula jadi.

Melangkaui tahun 2000, moden kontemporari hangat diperbualkan kerana dianggap menepati gaya hidup ringkas, selain menawarkan pembaharuan. Menyusul selepasnya, pelbagai gaya dan tema penataan termasuk Moroccan pengaruh Timur Tengah, kebangkitan semula retro menerusi produk eksklusif karya pereka tersohor, elektik, Mexican dan bermacam-macam lagi.

Meskipun gaya demi gaya dicuba, jelas tidak ada satu pun di antaranya wajar diangkat mewakili budaya tempatan. Sebaliknya, semua yang digayakan di kediaman terbentuk hasil peniruan konsep penataan luar. Bahkan, sehingga kini, belum ada usaha jitu ke arah mengadun kediaman merujuk cita rasa dan budaya tempatan. Yang berlaku kini, seni bina rumah Melayu kian terpinggir dan berkubur ditelan kemodenan.

Pemilik dan Pengarah Seni ZA Furnishings, Prof Mohd Ali Yusop, berkata masyarakat tempatan kian lena disogok pengaruh dan budaya luar.

“Orang Melayu khususnya merasakan laman orang lebih hijau dan subur berbanding taman sendiri. Dengan kata lain, mereka tidak berbangga dengan keunikan dan kehalusan seni bina tempatan,” katanya.

Faktor ini didorong sikap enggan mengenali, memahami selanjutnya mendalami inti pati budaya apatah lagi menghayati warisan tinggalan nenek moyang. Tabiat ini menguasai minda menyebabkan tidak ada kalangan masyarakat berminat membaca, menyelidik seterusnya meneroka mengenainya.

Masyarakat mutakhir, menurut Ali, cenderung mengambil jalan singkat dengan meniru gaya hiasan dalaman yang dipaparkan di majalah, buku serta televisyen.

“Mereka tidak mahu membaca sekali gus menjadi punca kegagalan mengenali dan menguasai hiasan dalaman. Jalan mudah diambil dengan meniru bulat-bulat hiasan dalaman dipapar di majalah tanpa mengambil kira kesesuaian ruang dan iklim tempatan.

“Ini tidak baik kerana mewujudkan masyarakat tidak menyumbang, keliru, malas selain mengamalkan budaya ‘makan disuap‘. Betapa parahnya keadaan ini sampai hendak beli perabot pun, harus merujuk majalah terlebih dulu.

“Yang kita bimbangkan, andainya suatu hari nanti ditakdirkan majalah hiasan tidak wujud lagi di pasaran sementara televisyen turut menghentikan program seumpamanya. Golongan suka meniru ini pasti hilang punca,” katanya yang suka mengubahsuai serta menambah nilai reka bentuk dan fungsi perabot jualannya.

“Saya suka mencabar minda dengan berfikir luar dari kotak. Bangku istirahat kayu misalnya, saya ubah gayanya menjadi lebih manis dengan menyapu cat warna lembut putih, biru laut dan merah jambu.

“Begitu juga dengan perabot lain termasuk meja sisi, konsol, bangku bulat dan sebagainya yang diberi sentuhan baru membabitkan warna, kemasan dan motif ukiran. Usaha saya ini sekurang-kurangnya berupaya menangkis taboo sekali gus membuang rasa jelak terhadap perabot kayu. Semoga selepas ini perabot berkenaan tidak dipandang kaku dan sesuai mendiami jenis kediaman tertentu saja,” katanya.

Ali tidak menafikan wujud kesedaran memelihara dan memulihara rumah tradisional Melayu, namun yang dikesalkan, pelaksanaannya bagai melepas batuk di tangga.

Pengalaman ini dialami beliau sewaktu berpeluang berkunjung di sebuah rumah lama di Hulu Langat untuk program hiasan dalaman terbitan TV3.

Dipandang dari luar, rumah kampung berkenaan tidak ada cacat cela. Malah, pokok heliconia yang ditanam berjajar berupaya membangkitkan seri landskap.

Namun, sebaik melangkah ke dalam rumah, Ali kecewa kerana dihidangkan pemandangan lumrah rumah Melayu yang menonjolkan gaya penataan ‘tangkap muat‘, hambar dan tidak berjiwa.

Hakikatnya, seni bina dan konsep rumah tradisional Melayu tidak patut dipersalahkan kerana sedia sempurna dengan rekaan bumbung tebar layar, anjung terbuka khusus bersantai dan mengambil angin, birai bumbung halus seni ukiran selain ruang yang cukup luas untuk cahaya dan pengudaraan.

“Semua faktor ini cukup selesa dengan iklim panas lembap tropika. Sayangnya, gaya penataan dipandang ringan dengan ruang sekadar diisi perabot asas bersama hiasan dinding paling minimum. Sebenarnya, tidak salah penataan moden dicuba walaupun sekadar menyelitkan jambangan bunga segar dalam balang kaca jernih di ruang tamu,” katanya.

Bagi memartabatkan jati diri hiasan dalaman tempatan, Ali berpendapat imaginasi harus bergerak seiring komposisi (gaya penataan). Pemilik kediaman perlu arif dengan komposisi supaya mampu menghasilkan susun atur dan suasana kediaman yang berjiwa serta meninggalkan kesan. (Bennie Zie Fauzi)

Sumber : http://www.bharian.com.my/ (20 November 2008)


Read : 3.628 time(s).

Write your comment !