Ucapan Sempena Perayaan Setahun Usia MelayuOnline (Prof. Ding Choo Ming, PhD.)
Oleh : Prof. Ding Choo Ming, PhD.
Banyak lagi bahan penyelidikan pribumi masih boleh didapati di Dunia Melayu, walaupun sejumlah besarnya sudah diangkut ke Eropah sepanjang tempoh penjajahan selama 400 tahun dahulu. Tetapi masalah kekurangan bahan itu masih menghantui kita sehingga hari ini. Itulah hakikat dan dilema kita masa kini. Masalah itu membuat kita boleh diibaratkan macam itek mati kehausan dalam air atau tikus mati kelaparan dalam lumbung padi. Masalah itu bukanlah kerana kita kekurangan bahan, tetapi tidak ada usaha yang gigih untuk mengumpul, memproses, menyimpan dan menyebarkannya di satu pihak, selain kita masih lagi terlalu kuat bergantung pada negara Barat untuk mendapatkannya di satu pihak yang lain. Oleh sebab itu, saya gembira sekali setelah dimaklumkan sudah mula beroperasi sebuah lagi pangkalan data mengenai Dunia Melayu, iaitu http://www.melayuonline.com com, pada 20 Januari 2007. Saya terus menggunakannya dan mendapati ia berbeza dari rekabentuk dan isi kandungan, tetapi melengkapkan portal ATMA, www.Malaycivilization.com, yang kami bina sejak 2000. Bak kata, tak kenal maka tak cinta, saya sering menggunakannya sebagai seorang penyelidik. Selain itu, saya juga merasa semakin terberangsang sebagai seorang yang terlibat secara langsong dalam mendokumentasi dan melestarikan khazanah budaya warisan kita setelah mendapati ada sekumpulan orang di Yogjakarta juga merasa terpanggil untuk menggunakan ICT dalam mendokumentasi dan melestarikan maklumat Dunia Melayu sesuai dengan kehendak generasi muda yang lahir dan membesar dalam arus ICT. Seterusnya, saya telah memahami Melayuonline dengan lebih baik setelah berbincang dan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman dengan Bapak Mahyudin Al Mudra, pemimpin Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dan stafnya dalam lawatan saya ke Balai itu pada pada 5 Oktober 2007, dengan diiringi Bapak Imam Qalyubi dan isterinya.
Setahun sudah berlalu dan www.melayuonline.com terus membesar dalam dakapan hangat semua pengkaji dan peminat budaya Melayu dari seluruh dunia. Selain mengucapkan tahniah sempena perayaan setahun usia kelahirannya, tentunya semua pengkaji dan peminat www.melayuonline.com ingin juga melihat bayi kesayangan ini terus mendapat penjagaan, kasih sayang, asuhan dan pertolongan agar dia boleh diharapkan untuk memberi sumbangan besar, seperti pangkalan data yang lain kepada kesarjanaan, pengkhazanahan dan pelestarian budaya Dunia Melayu. Memandangkan masih begitu banyaknya kerja pengkhazanahan maklumat Dunia Melayu perlu dilakukan dan juga masih begitu sukarnya meneruskan kerja pelestarian budaya Dunia Melayu, moga-moga kita boleh bekerjasama untuk mencapai cita-cita dan impian besar seperti yang berikut:
- Menggunakan kuasa ICT untuk mengglobalisasikan khazanah budaya Melayu seperti negara Barat mengglobalisasikan budaya Barat
- Lebih banyak bergantung pada kebolehan diri kita untuk mendapatkan bahan penyelidikan dari Dunia Melayu dan tidak boleh bergantung pada negara Barat berbuat demikian seperti masa dahulu
- Pusat dokumentasi dan penyelidikan budaya Melayu hendaknya terletak di Dunia Melayu, dan bukannya di Leiden, London, Berkeley atau Kyoto
__________________
Prof. Ding Choo Ming, PhD., adalah Felo Penyelidik Utama ATMA (Institut Alam & Tamadun melayu) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dibaca : 5.824 kali.
Berikan komentar anda :