Kamis, 16 April 2026   |   Jum'ah, 28 Syawal 1447 H
Pengunjung Online : 895
Hari ini : 15.795
Kemarin : 25.162
Minggu kemarin : 249.242
Bulan kemarin : 101.098.282
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
IMAGE GALLERY
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Tentang kami

Gurindam Dirgahayu Melayuonline (Dr. Hj. Mohd Sharifudin Yusop)

Oleh : Dr. Hj. Mohd Sharifudin Yusop

sharifudin yusopDirgahayu MelayuOnline madah bermula, penyambung warisan budaya lama. Titik peluh sama diperah, supaya bangsa terus diendah. Usah gusar rintangan cabaran, usaha gigih cerah masa depan. Biar mula berdikit-dikit, asal warisan tidak sakit. Bangsa Melayu gagah terbilang, sedari dahulu martabat dijulang. Datang penjajah berbilang bangsa, warisan Melayu tak hilang di dunia. Pelbagai tamadun telah dilalui, citra Melayu tetap tersendiri. Nilai budaya didokong dikelek, akal Melayu tidaklah pendek. Dari Madagaskar hingga ke Irian, megah Melayu merentas lautan. Segenap pulau ada penghuni, tanda Melayu manusia berani. Belum cuba belumlah tahu, itulah prinsip semenjak dahulu. Pecahkan ruyung dapat sagunya, nikmat tamadun dihayati bersama. Siapa Magelan siapa Da Gama, orang Melayu dah lama mengelilingi dunia. Dengan berkolek dengan berbaluk, Melayu dah sampai segenap pelusuk.

Datang Barat dengan sejarahnya, ceritera Melayu ditulis semula. Melayu dikatakan bangsa yang lemah, itulah sebab mudah dijajah. Melayu bodoh dan kuat rasuah, wajah Melayu dicalar diludah. Bertahun-tahun mereka menindas, dengan alasan Melayu pemalas. Ramai kecundang pembela bangsa, demi menebus maruah yang ada. Semoga Tuhan mencucuri rahmat, bahagialah mereka di alam akhirat.

Kini MelayuOnline menjadi senjata, citra Melayu dipulih semula. Di zaman maklumat menjadi kudrat, jadikan ia tangkal azimat. Tidak guna berjuang berperang, jika suluh tidaklah terang. Akal Melayu perlu digembleng, supaya pandangan tidak terteleng. Bangkitkan semula semangat purba, bagi menempuh pancaroba. Belajarlah kita dari sejarah, supaya kita tidak lagi terjajah. Merdekakan minda dan juga jasad, janganlah hidup penuh hasad. Tuhan tidak mengubah nasib bangsa, kecuali kita sendiri yang mengubahnya.

MelayuOnline menjadi wadah, wajah Melayu perlu diubah. Dengan teras jati diri yang kukuh, usaha perlu dilakukan dengan bersungguh. Jadilah kita manusia pemberi, bukan lagi berminda subsidi. Kalau suara Melayu bersatu, dapat diusir jembalang dan hantu. Indonesia-Malaysia rumpun keluarga, carik bulu ayam bercantum juga. Mari kita luaskan jangkauan, lihat juga Melayu di perantauan. Semakin jauh seluang melaut, di Nusantara hati mereka terpaut. Bangsa Melayu sudah lama dahaga, seteguk warisan budaya bangsa. Sudah berabad kita kelaparan, sesuap nostalgia yang jadi warisan. Semoga MelayuOnline terus berkembang, harum namanya segenap ruang. Setanggi hayat Melayu perkasa, mari kita menjajah dunia.

___________________
Dr. Hj. Mohd Sharifudin Yusop
Unit Kecemerlangan Warisan Bangsa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Dibaca : 6.042 kali.

Berikan komentar anda :

Silakan Login Untuk Komentar

Silakan Login atau Mendaftar terlebih dahulu jika anda belum menjadi anggota.

 Kolom untuk yang sudah menjadi member
Email
Password