Close
 
Minggu, 26 Oktober 2014   |   Isnain, 2 Muharam 1436 H
Pengunjung Online : 2.008
Hari ini : 19.063
Kemarin : 21.567
Minggu kemarin : 160.551
Bulan kemarin : 802.699
Anda pengunjung ke 97.272.866
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Artikel

07 juni 2007 03:13

Asal-usul Bangsa Melayu

Asal-usul Bangsa Melayu

Catatan dan kajian sarjana menunjukkan bahawa manusia zaman silam (sebelum dan selepas taufan Nuh a.s.) telah mempunyai teknologi penerbangan. Sebahagian dari teknologi yang dibina semula oleh kaum selepas Nuh a.s. juga telah berkubur. Dr. Ruth Hover telah mengambil gambar ukiran berusia paling kurang 2,000 tahun di sebuah kuil di Abydos, Mesir. Pada ukiran itu jelas terdapat bentuk-bentuk kenderaan yang terbang. Penemuan model kapalterbang yang dinamakan Saqqara Bird, serta ratusan kitab Hindu silam yang mencatat cara untuk membina Vimana, iaitu piring terbang (besar kemungkinannya teknologi ini diwarisi sejak sebelum taufan Nuh a.s. oleh seseorang yang menaiki bahtera), adalah antara bukti-bukti bahawa manusia zaman silam selepas taufan Nuh a.s. juga telah mencapai tahap teknologi yang amat maju tetapi telah dihapuskan dari muka bumi.

Asal usul bangsa Melayu adalah misteri sebagaimana juga misterinya Adam a.s. yang dikatakan oleh Prof. Hamka diturunkan di Sumatera, misterinya umat yang dibawa bersama dalam bahtera Nuh a.s. dan misterinya asal usul Keturah, isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s. yang dikatakan dari Kemboja (asal namanya Kambujadesa). Namun nama Melayu dan Nusantara sebagai tanah ibunda Melayu tidaklah dapat dipisahkan. Nusa Tenggara atau Nusantara adalah nama yang digunakan sejak lama dulu merujuk kepada gugusan kepulauan Melayu. Sumatra bermakna pulau bergunung-ganang, orang Sumatera dari itu bermaksud ‘orang Gunung‘. Nusantara ini mempunyai begitu banyak pulau, mungkin sekitar 20,000 pulau atau lebih kerana Indonesia saja mempunyai sejumlah 18,306 buah pulau dan mungkin inilah antara sebab mengapa Melayu silam hebat dalam ilmu pelayaran, benar-benar mewarisi teknologi bahtera Nuh a.s. Sebelum taufan Nuh a.s. Nusantara ini dipercayai merupakan tanah yang satu tetapi sebahagiannya telah tenggelam buat selama-lamanya.

Dari berbagai rujukan, biarlah saya rumuskan terlebih dahulu pendapat saya sebelum saya mencatat lebih lanjut iaitu: Bangsa Melayu ada dua kelompok. Pertama ialah apa yang digelar Melayu-Levo atau Melayu-Proto. Mereka ini adalah dari Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh a.s. paling awal sekitar 4,300 tahun lampau dan kedua ialah Melayu-Deutro keturunan dari Ibrahim a.s. dari isterinya Keturah paling awal sekitar 3,900 tahun lampau. Jarak terdekat antara dua kelompok ini adalah kira-kira 400 tahun (Nabi Ibrahim a.s. lahir 293 tahun setelah taufan Nuh a.s.) Kelompok pertama adalah Rumpun Melayu (Melayu-Levo) menggunakan teknologi batu, datang dari kawasan pergunungan Himalaya. Kelompok kedua ialah Melayu Induk (Melayu-Deutro) di Nusantara menggunakan teknologi besi, datang dari sekitar Kemboja.

Perhatikan jadual sebelum ini. Dari pengiraan didapati bahawa Nabi Nuh a.s. masih hidup ketika Ibrahim a.s. lahir, dan Nuh a.s. masih hidup hingga Ibrahim a.s. berusia 58 tahun. Setakat yang saya ketahui, orang Yahudi percaya bahawa Ibrahim a.s. pernah bertemu Sham bin Nuh, dan tiada catatan pernah menyatakan Ibrahim a.s. bertemu Nuh a.s. Saya mencatat ini untuk memberitakan bahawa jarak antara taufan Nuh a.s. dan Ibrahim a.s. itu tidaklah jauh, tidak sampai 500 tahun dan kisah asal-usul bangsa termasuk bangsa Melayu ini bermula sekitar 4,300 tahun lampau, tidak lebih awal daripada itu. Mana-mana tempoh yang lebih awal tentunya merujuk kepada anak Adam yang hidup sebelum taufan Nuh a.s. (mereka yang sudah mendiami bumi selama kira-kira 4,300 tahun) dan mereka sebelum taufan Nuh a.s. semuanya satu bangsa saja. Mana-mana kajian yang menyatakan bahawa yang dinamakan ‘manusia‘ pernah mendiami bumi lebih awal dari tempoh itu sebenarnya terpengaruh dengan Teori Evolusi Darwin. Yang bernama ‘manusia‘ hanyalah anak-cucu Adam a.s.

[Pada saya ‘manusia‘ yang mereka pecah-pecahkan jenisnya itu (dengan jangkaan-jangkaan masa generasi itu mendiami bumi, ada yang kononnya hingga 1.8 juta tahun lampau) adalah pendapat-pendapat yang sasau. Generasi-generasi itu mungkin anak-anak Adam juga dan hanya hidup sekitar paling awal 6,000 tahun lampau tetapi cerita-ceritanya telah direka-reka (blown-up menjadi ratusan ribu malahan juta tahun) semata-mata untuk menyokong Teori Darwin. Sebenarnya teknik ‘carbon-dating‘ penuh dengan jangkaan semata-mata dan tidak layak dijadikan hujah ilmiah. Saya nampak bahawa penemuan-penemuan Barat itu penuh dengan kesangsian dan ketidak-pastian, dan semua lukisan-lukisan mengenai generasi ‘manusia‘ itu hanyalah khayalan pelukis pengikut Darwin.

Hampir pasti sebahagian tengkorak-tengkorak yang dijumpai (oleh pengikut Darwin) itu hanyalah tengkorak beruk (ape) tapi cuba dikait-kaitkan dengan manusia. Kalaupun ia tengkorak manusia, tarikhnya pula direka-reka seolah telah wujud ratusan malah jutaan tahun lampau sedangkan itu hanyalah tengkorak anak Adam. Pendapat aliran Darwin yang kacau dan direka-reka inilah yang seolah-olah mendominasi sejarah asal-usul manusia, menjadikan manusia ‘sesat-barat‘ dalam mengenali dari manakah asal mereka. Sesungguhnya Darwin bukanlah rasul atau nabi yang diutus tetapi dari keturunan Yahudi, dan dia adalah athiest (tidak percayakan Tuhan) dan dianggap oleh Barat sebagai pemimpin kaum athiest.]

Menurut Prof Shaharir Mohd Zin, pendapat yang menyatakan bahawa nama ‘Melayu‘ berasal dari bahasa Jawa yang bermaksud ‘hijrah atau lari‘ ke Nosa Koncana atau Nusa Kencana (The Golden Chersonese atau Tanah Emas) ataupun pendapat menyatakan Melayu bermaksud ‘layu‘ atau dari perkataan Perancis ‘malaise‘ hanyalah satu hipotesis yang terbukti tidak benar kerana menurut beliau, perkataan ‘malaya‘ dalam Sanskrit dan ‘malai‘ dalam bahasa Tamil bermaksud bukit (Sastri 1949).

Menurut Liang Liji (1996) kewujudan kerajaan Melayu paling awal telah wujud pada tahun 131 Masehi lagi diperolehi dari catatan China kuno. Kerajaan itu disebut dalam bahasa China sebagai Ye Diao (tidak diketahui apa namanya di alam Melayu tapi ia merujuk pada kawasan Jawa dan Sumatera) yang membawa ufti ke negeri China. Kerajaan Melayu Purba (Melayu-Kemboja) bernama Funan pula wujud di abad ke 3 Masehi dan berpusat di Kemboja. Ianya terus wujud hingga kurun ke 15 (1,200 tahun). Kerajaan ini hebat dengan keseniannya dan telah membina Angkor Wat (seawal kurun ke 9). Menurut Intan (1991), Othman dan Halim (1990), Gallop (1994) dan Coedes (1964) kerajaan Melayu Purba yang lebih berjaya dan tidak dipertikaikan keMelayuannya berbanding Funan ialah yang berpusat di Vietnam sekarang.

Pada awalnya mereka ini berada di Annam, kemudian berhijrah ke selatan sampai ke Hue, Inderapura (Quang-nam) dan akhirnya ke Vijaya (Binh-dinh). Kerajaan ini terkenal dengan panggilan Kerajaan Melayu Champa yang kemudiannya diusir keluar dari kota Vijaya oleh orang Vietnam tapi saki-baki kerajaannya masih ada kerana rekod China ada mencatat bahawa kerajaan Champa telah menghantar bantuan kepada kerajaan Melaka untuk menentang Portugis pada kurun ke 16. Menurut Shaharir ada kemungkinan orang Champa telah memeluk Islam lebih awal berbanding Melayu lain di Nusantara kerana mereka ini telah Islam sekurang-kurangnya pada kurun ke 11 Masehi.

Dalam buku China ada dicatat beberapa buah kerajaan Melayu Purba yang lain seperti Lang Ya Xiu (Fatani atau Patani) pada abad ke 2 Masehi, Pan Pan (utara Segenting Kera) pada abad ke 5 Masehi, Senggora (Tanah Merah di Thailand Selatan), Zhu Bo (Pulau Jawa) abad ke 5 Masehi dan Dan Dan atau Tan Tan, Ki-lan-tan, Ho-Lo-Tan atau Kuo-Lo-Tan (Kelantan) yang dikatakan sebuah kerajaan yang besar sebelum abad ke 6 Masehi dan pernah menghantar ufti ke negeri China pada tahun 430, 433, 436, 437 dan 452 Masehi.

Apa pun, menurut Shaharir, kerajaan Melayu Purba di Vietnam yang dikenali sebagai Kerajaan Champa berpusat di Annam adalah kerajaan gah yang telah bertahan lama dan berteknologi tinggi. Ia telah wujud sekitar kurun ke 3 Masehi. Kemudian barulah kerajaan Srivijaya di Palembang, Sumatera beragama Buddha Mahayana di kurun ke 7 Masehi, kemudian mereka ini menakluki sebahagian besar pulau Jawa dan membina candi Borobudur di Yogjakarta, Jawa Tengah. Kini Borobudur menjadi satu dari 7 benda ajaib di dunia, malahan jauh lebih ajaib dari ahram di Mesir, empayar Maya dan Aztek di Amerika Selatan atau Angkor Wat peninggalan Empayar Funan-Khmer. Empayar Srivijaya ini yang berpusat di Palembang meliputi seluruh Sumatera, Riau, Jawa Barat, Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Selatan Thai, Champa, Kemboja dan Sri Lanka (Coedes & Damais 1992, Slametmuljana 1970, 1981, Chatterji 1966 & Sastri 1949).

Setakat ini antara bukti fizikal terawal ditemui mengenai nama ‘Melayu‘ di Nusantara ialah di Jambi. Terdapat sebuah kerajaan silam di muara Batang Hari, sebuah sungai di Jambi, sebuah kawasan di pantai timur Sumatera Selatan bernama Melayu. Istilah Melayu dan Jambi telah digunakan sekian lama dalam teks sejarah. Istilah Malayu telah juga ditemui terpahat pada sebuah patung yang ditemui pada tahun 1286 di Padang Ruku (Roko atau Rocore), berhampiran muara Sungai Langat, Batang Hari dikatakan bertarikh tahun 1029 Masehi. Nama Melayu itu telah wujud lama sebelum Islam tersebar di Nusantara malah mungkin Melayu adalah antara bangsa terawal di dunia selepas banjir Nuh a.s. (Rumpun Melayu ada terlalu banyak pecahan suku kaum). Dalam bahasa Tamil perkataan Malai atau dalam Sanskrit perkataan Malaya atau Malayo bermaksud bukit yang tinggi atau gunung. Nampaknya asal perkataan Melayu tidak diketahui dengan tepat hingga ke hari ini. Mungkin pada zaman silam orang Melayu dipanggil Hitti, Cathay atau Kattayo sempena nama Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh a.s.

Sulalatus Salatin mencatat bahawa Melayu berasal dari Bukit Siguntang Mahameru, dan ini mungkin dipengaruhi oleh kepercayaan agama Buddha Mahayana zaman silam. Bukit Siguntang letaknya disebelah Barat kota Palembang. Bukit yang tingginya sekitar 27 meter dari permukaan laut ini, pada zaman Sriwijaya merupakan tempat suci bagi penganut agama Buddha. Menurut sejarah, di bukit ini bermukim sekitar 1000 pendeta Buddha. Hingga kini Bukit Siguntang masih dianggap sebagai tempat yang dikeramatkan. Pada tahun 1920 di Bukit Siguntang ditemukan arca Buddha bergaya Amarawati dengan wajah iras Srilanka dan diduga berasal dari abad XI Masehi. Dipuncak bukit terdapat kuburan kuno yang dikeramatkan penduduk. Salah satunya adalah kuburan Sigentar Alam yang dijadikan tempat bersumpah beberapa penziarah.

Sejak zaman purba Sumatera sudah berpenghuni dan disebut dengan aneka nama. Dalam catatan bangsa Tionghoa kawasan kepulauan kita dinamai Nan-hai (Kepulauan Laut Selatan). Berbagai catatan kuno bangsa India menamakan kepulauan ini Dwipantara (Kepulauan Tanah Seberang), nama yang diturunkan dari kata Sanskrit iaitu dwipa (pulau) dan antara (luar, seberang). Kisah Ramayana karya pujangga Valmiki yang termasyhur itu menceritakan pencarian terhadap Sinta, isteri Rama yang diculik Ravana, sampai ke Suwarnadwipa (Pulau Emas, iaitu Sumatera sekarang) yang terletak di Kepulauan Dwipantara atau kemudiannya digelar Nusantara.

Bangsa Arab menyebut kepulauan Melayu sebagai Jaza‘ir al-Jawi (Kepulauan Jawi). Nama Latin untuk kemenyan adalah benzoe, berasal dari bahasa Arab luban Jawi (kemenyan Jawi), sebab para pedagang Arab memperoleh kemenyan dari batang pohon Styrax Sumatrana yang dahulu hanya tumbuh di Sumatra. Sampai hari ini jemaah haji kita masih sering dipanggil ‘Jawi‘ oleh orang Arab. ‘Samathrah, Sholibis, Sundah, kulluh Jawi (Sumatra, Sulawesi, Sunda, semuanya Jawi)‘ dikatakan pernah disebut oleh seorang pedagang di Pasar Seng, Mekah. Nama ‘Jawa‘ (suku kaum yang terbesar di Nusantara) adalah sinonim dengan Jawi, tergolong sebagai bangsa Melayu juga.

Bangsa-bangsa Eropah anak Yafith yang pertama kali datang itu beranggapan bahawa Asia hanya terdiri dari Arab, Persia, India, dan China. Bagi mereka, daerah yang terbentang luas antara Persia dan China semuanya adalah ‘Hindia‘. Semenanjung Asia Selatan mereka sebut ‘Hindia Muka‘ dan daratan Asia Tenggara dinamakan ‘Hindia Belakang‘. Sedangkan Indonesia memperoleh nama ‘Kepulauan Hindi‘ (Indische Archipel, Indian Archipelago, l‘Archipel Indien) atau ‘Hindia Timur‘ (Oost Indie, East Indies, Indes Orientales). Nama lain yang juga dipakai adalah ‘Kepulauan Melayu‘ (Maleische Archipel, Malay Archipelago, l‘Archipel Malais). Nama Indonesia (dari istilah Hindia) sebenarnya diberikan oleh penjajah Belanda setelah saranan nama Melayunesia ditolak oleh mereka.

Berbagai pendapat telah dikemukakan oleh para sarjana mengenai asal usul Bangsa Melayu. Tapi sebagaimana diduga, pengkaji sejarah sekular biasanya tidak mengaitkannya dengan sumber agama (Taurat, Injil dan Qur‘an). Pada saya, sejarah asal-usul manusia sepatutnya merujuk kepada sumber agama untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Bila dikaitkan dengan sumber agama, secara umumnya ada dua pendapat mengenai asal usul Melayu. Pertama, Melayu adalah bangsa asal di Nusantara dan dari keturunan Nuh a.s. selepas banjir besar dan bukan berasal dari tempat lain. Kedua, Melayu adalah bangsa yang berasal dari keturunan Ibrahim Khalilullah dan inilah yang biasa digelar sebagai Bani Jawi.

Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya.

Surah Hud 11:48

Ahli Kitab Nasrani menyatakan bahawa Nabi Nuh a.s. (ada pendapat menyatakan Nuh lahir 1,056 tahun setelah Adam) adalah pemerintah negara China yang pertama selepas banjir besar. Nabi Nuh menjadi pemimpin manusia selama 600 tahun selepas banjir ini, bangsa yang dipimpinnya menurut mereka ialah bangsa China. Pusatnya ialah Asia Tengah atau Tibet. Dikatakan bahawa pengetahuan membina bahtera adalah kelebihan bangsa ini dan lautan tidak menjadi penghalang kepada pengluasan keturunan mereka. Setelah saya teliti, bukan bangsa China yang dimaksudkan itu tetapi bangsa Melayu (ketika itu digelar orang FunanHitti, Cathay atau Kattayo). Ini kerana bangsa Melayulah yang menduduki Tibet dan menamakan banjaran gunung tertinggi di dunia sebagai Himalaya. Bangsa Melayu jugalah yang amat mahir membina bahtera dan telah meredah lautan dan menduduki 60% dari muka bumi sejak ribuan tahun lampau, bukan bangsa China (Sin, Shin, Sina).

Memang besar kemungkinan bangsa Melayu mahir membina bahtera dan mahir di lautan kerana mereka telah belajar dari Nabi Nuh a.s. yang memimpin mereka selama 600 tahun setelah banjir besar itu. Memang ada pendapat menyatakan bahawa Melayu berasal dari bangsa China tetapi saya tidak bersetuju kerana sarjana China silam sendiri menganggap Melayu bukan dari bangsa China dan menceritakan tentang Melayu sebagai kelompok bangsa yang berbeza. A.R. Wallace pula berpendapat bahawa Melayu berasal dari bangsa Monggol (Hitti, Cathay atau Kattayo) dengan alasan bahawa terdapat banyak ciri fizikal yang sama dengan bangsa ini, berbeza dari bangsa China.

Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Bangsa Melayu merupakan bangsa termuda di antara bangsa-bangsa lain di dunia. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya Kerajaan Melayu pada zaman 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan “Melayu” itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit “Malaya” yang bermaksud “bukit” ataupun tanah tinggi. [1] Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan “Melayu” berasal dari “Sungai Melayu” di Jambi. [1]

Masalah dalam penakrifan orang Melayu

Penakrifan orang Melayu merupakan satu pekerjaan yang sukar. Sekiranya menurut penakrifan orang Melayu sebagai orang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, penakrifan ini merangkumi kebanyakan orang di Malaysia, Indonesia, dan sebahagian daripada negeri Thai dan Filipina. Tetapi, apa yang menjadi masalahnya, di Indonesia orang Melayu hanya merupakan salah satu daripada beratus-ratus kaum-suku di negara itu. Lebih-lebih lagi, warga Indonesia lebih suka mengenali diri mereka sebagai orang Indonesia dan mengenali bahasa mereka sebagai bahasa Indonesia. Walaupun demikian, secara amnya terdapat dua jenis penakrifan untuk menentukan sama ada seseorang itu orang Melayu. Iaitu:

  • Penakrifan Undang-Undang
  • Penakrifan Antropologi

Penakrifan undang-undang

Di negara Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut Perlembagaan Persekutuan dalam pekara 160(2).Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai [2]:

  1. Seorang yang beragama Islam
  2. Bertutur bahasa Melayu
  3. Mengamalkan adat istiadat Melayu
  4. Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.

Definisi undang-undang ini adalah ditetapkan demi keperluan politik di negara Malaysia. Maka dengan itu, ia adalah tidak menepati hakikat di mana sebenarnya terdapat juga orang Melayu yang bermastautin di luar Persekutuan Malaysia. Contohnya di selatan Thailand terdapat juga kelompok manusia yang bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu.

Penakrifan antropologi

Menurut Syed Husin Ali yang merupakan ahli antropologi di negara Malaysia, orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. [3] Dari segi etnologi, Melayu bermakna kelompok masyarakat yang mengamalkan sistem kemasyarakatan dwisisi dan kegenerasian yang termasuk dalam bangsa Mongoloid [4]

Asal usul bangsa Melayu

Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:

  • Bangsa Melayu Berasal daripada Yunan(Teori Yunan)
  • Bangsa Melayu Berasal daripada Nusantara(Teori Nusantara)

Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.

Teori Yunan

Teori ini disokong oleh beberapa sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar. Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperti berikut:

  1. Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk daripada Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
  2. Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah Assam (Berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar).
  3. Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja. Dengan lebih lanjut lagi, penduduk di Kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.

Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum. Contohnya, dalam buku Teks Pengajian Malaysia, [5] adapun menyatakan “nenek moyang” orang Melayu itu berasal daripada Yunan.

Berdasarkan Teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya.

Orang Negrito

Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka diperkirakan ada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, serta saiz badan yang pendek.

Melayu Proto

Perpindahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu diperkirakan berlaku pada 2,500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, ditandai dengan kemahiran bercucuk tanam.

Melayu Deutro

Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua yang berlaku pada 1,500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar.

Teori Nusantara

Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:

  1. Bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
  2. K.Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa (Kemboja). Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena “ambilan”
  3. Manusia kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.
  4. Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Teori ini merupakan teori yang kurang popular khususnya di negara Malaysia.

Kekeluargaan orang Melayu

Sistem kekeluargaan Melayu mempunyai ciri-ciri yang agak fleksibel. Ciri-ciri ini terlihat dalam perkahwinan Melayu yang boleh berbentuk matrilokal atau patrilokal, monogami atau poligami. Lebih-lebih lagi, perkembangan keluarga mempunyai beberpa variasi. Dalam sistem ini, keluarga boleh bercerai dan bergabung sekiranya berlaku perceraian ibu bapa dan perkahwinan semula. Malah bukan semua keluarga akan mengalami perkembangan kepada keluarga luas yakni sebuah keluarga(yang mendiami sebuah rumah) mempunyai golongan 3 generasi. Kelahiran cucu mungkin membawa kepada perkembangan ini tetapi juga mungkin membawa kepada perpecahan keluarga dengan perginya ibu bapa yang baru demi mencari ruangan yang baru di luar rumah untuk keluarganya yang mengalami penambahan ahli. Di samping itu, faktor yang menyebabkan seorang anak mewarisi rumah ibu-bapa mereka juga tidak menentu dan ia mungkin disebabkan oleh desakan ekonomi dan alasan-alasan yang lain.

Perkahwinan Orang Melayu

Orang Melayu amat beradat. Perkahwinan mereka secara umumnya terbahagi kepada lima peringkat istiadat: Merisik, melamar, bertunang, bernikah dan bersanding.

Melayu kacukan

Oleh kerana Nusantara Melayu adalah tempat perdagangan dan pernah dijajah oleh kuasa Eropah, banyak orang Melayu berkahwin campur dengan bangsa asing dan anak mereka dikenali sebagai Melayu Kacukan. Sesetengah mereka ada mempunyai kemiripan orang Melayu dan yang lain tidak ternyata dan susah hendak dikatakan. Di antara masyarakat Melayu Kacukan yang terkenal adalah Melayu Eropah, Melayu Turki dan Melayu Arab.

Nota kaki

  1. Harun Aminurrrashid, 1966. Kajian Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu, Singapura: Pustaka Melayu, m.s. 4-5
  2. Madiana & Hasnah, 2000. Pengajian Malaysia,Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti, m.s. 140
    Ismail Hamid, 1988, Masyarakat dan Budaya Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 4
  3. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1988, Jld 3 (M-Q), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 1504
  4. Madiana & Hasnah, 2000. Pengajian Malaysia, Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti, m.s. 150

Sumber : http://videomykakis.wordpress.com


Dibaca : 15.079 kali.

Tuliskan komentar Anda !