Anda pengunjung ke 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
AGENDA
Belum ada data - dalam proses
Artikel
13 agustus 2007 06:09
Dikir Barat
Pengenalan
Permainan dikir barat adalah suatu teater tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Patani. Secara umumnya, tidak seperti teater tradisional lain, permainan ini lebih popular di kalangan masyarakat biasa daripada kalangan istana. Di dalam persembahan dikir barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang tukang karut dan tok juara (atau dikenali sebagai juara sahaja). Mereka akan mengarut sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir barat boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun pertandingan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat tani di musim menuai padi dan juga majlis perkahwinan serta berkhatan. Di samping itu, pertandingan sering diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan mahupun pihak tertentu untuk mengutip wang. Dikir barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional lain. Perkembangan teater ini amat unik kerana dikir barat sering berubah bentuk persembahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.
Perkataan dikir adalah hasil dari kombinasi dua perkataan, iaitu dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian karut itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan dikir syair merujuk kepada perkara yang sama. Walau bagaimanapun, di Kelantan permainan ini lebih dikenali sebagai dikir barat dan di Patani sebagai dikir karut.
Asal-Usul
a. Dikir Barat Berasal dari Patani
Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal usul dikir barat. Setengah pendapat mengatakan permainan ini berasal dari Patani. Sebenarnya dikir barat, yang lebih terkenal dengan nama dikir karut, dibawa dari Patani. Mengikut orang-orang Kelantan perkataan barat ini bermakna Patani. Ini tidak dapat dinafikan kerana pada satu ketika dahulu negeri Kelantan pernah diperintah oleh kerajaan Siam. Rakyat dari kedua-dua buah negeri ini sering berulang-alik dan secara tidak langsung dikir dibawa ke sana dan diterima pula oleh masyarakat di situ. Ketika dibawa ke Kelantan, dikir barat adalah dalam bentuk dikir dan di sana permainan ini telah ditambah dengan pantun, diubahsuai dari segi persembahan serta loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.
b. Dikir Barat Berasal dari Pulau Kerengga
Mengikut keterangan yang diberikan oleh Nik Abd. Rahman bin Nik Dir (Pak Nik Man) dikir barat berasal dari Pulau Kerengga iaitu satu daerah di dalam jajahan Narathiwat di selatan Siam. Seorang yang bernama Pak Sa berasal dari Pulau Kerengga telah masuk ke Kelantan dalam tahun 1931 dan telah ditangkap oleh Pak Nik Man sendiri ketika bertugas sebagai pegawai kastam. Pak Sa telah masuk tanpa pasport dan menyeludup barang. Pak Sa telah ditangkap dan dipenjarakan tetapi setahun kemudian beliau telah memperkenalkan dikir barat kepada orang-orang Kelantan. Oleh kerana beliau berasal dari Pulau Kerengga maka timbullah pendapat yang mengatakan dikir berasal dari sana.
c. Dikir Barat Berasal dari Ilham Budak-Budak Penjaga Lembu
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari permainan budak-budak yang menjadi gembala lembu di padang rumput. Pada tahun 1930-an terdapat ramai pencuri lembu berkeliaran di padang rumput. Oleh kerana ketakutan budak-budak penjaga lembu ini duduk berkelompok dan berdikir beramai-ramai. Mereka akan menyanyi dan berpantun sambil sindir-menyindir sesama mereka untuk menghibur hati dan melupakan perasaan takut terhadap perompak tadi. Dari peristiwa inilah timbulnya permainan dikir barat.
d. Dikir Barat Berasal dari Pulau Tebu
Ada orang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nah Lombong yang berasal dari kawasan tersebut. Sewaktu beliau memperkenalkan dikir barat ramai menganggap permainan ini sebagai satu hasil seni yang baru sebab iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti rebana besar.
e. Dikir Barat Berasal dari Ciptaan Mat Leh Tapang
Bila memperkatakan dikir barat nama Mai Leh Tapang tidak boleh dilupai kerana ramai orang mengenali beliau melalui dikir barat. Mat Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad berasal dari Kampung Tapang. Beliau telah mengakui bahawa dikir barat ini sebenarny a berasal dari Patani. Beliau telah mengubahsuaikan permainan ini dengan memasukkan pantun. Jadi, pada awalnya dikir barat yang dibawa ke Kelantan itu masih lagi dalam bentuk dikir tanpa pantun.
Semasa pemerintahan Jepun, Datuk Menteri Kelantan pernah memanggil beliau untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Pada zaman itu juga terdapat sebuah kumpulan dikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan dikir barat di kampungnya. Awok-awoknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka mendendangkan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Mat Leh Tapang pula berperanan menggubah serta menambah dikir tersebut dengan pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.
Persediaan Sebelum Bermain
Bermacam-macam persediaan perlu dilakukan sebelum pertunjukan dikir barat dapat dipersembahkan di hadapan khalayak.
a. Menempah Tukang Karut dan Juara
Jikalau sesuatu pertunjukan dikir barat itu dianjurkan oleh sesebuah badan terpulanglah kepada penganjur tersebut untuk menempah tukang karut dan juara yang sesuai. Awok-awok tidak payah ditempah kerana setiap juara sudah mempunyai awok-awok sendiri. Selalunya penganjur mahukan tukang karut dan juara yang popular. Penganjur boleh menempah tukang karut dan juara sama ada secara formal atau sebaliknya iaitu di rumah tukang karut sendiri, melalui orang tengah, di tempat pertunjukan ataupun di mana sahaja mereka dapal berjumpa.
b. Mendapat Kebenaran Bermain
Satu lagi tugas penganjur ialah mendapatkan kebenaran pertunjukan dari pihak berkuasa seperti penghulu, penggawa, pegawai polis dan ketua jajahan/daerah.
c. Menampal Iklan-Iklan dan Poster
Iklan-iklan ditampal, disebar dan didedahkan di sekitar kawasan kampung dalam bahasa atau loghat daerah. Walau bagaimanapun pengumuman melalui pembesar suara sangat popular. Pihak penganjur akan pergi ke kampung-kampung yang berdekatan pada waktu petang sebelum pertunjukan itu dan turut memberi tahu bahawa permainan tersebut akan diadakan di kampung yang tertentu pada waktu lain. Di antara pengumuman tersebut berbunyi begini :
Jage lupa adik kakak ini mala dikir barat di pade sekolah Alo Bakat denge tuke karutnya mat Yeh de Sudin: Tok Joranya Ripin ana denge Daud Bukit Abed serta penyanyi wanita Che Esah Sayonara de Zaleha Gula Batu Datela berghama-ghama
d. Tempat Bermain
Permainan dikir barat dimainkan di atas pentas. Biasanya, bentuk pentas dibina mengikut corak permainan sesebuah dikir barat.
1) Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Percuma
Jika permainan ini dipertunjukkan di hari perayaan atau majlis perkahwinan maka bangsal atau pentas didirikan setinggi 4 kaki. Pertunjukan ini percuma dan semua penonton dapat melihat dari jauh. Bangsal ini biasanya diperbuat daripada buluh berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa.
2) Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Yang Dikenakan Bayaran
Kadang kala terdapat juga penganjur yang mengadakan permainan ini dengan tujuan mengutip wang. Penonton dikenakan bayaran masuk.
Kedudukan pentas pertunjukan ini amat rendah. Oleh itu, hanya orang yang masuk ke kawasan panggung sahaja dapat melihat pertunjukan. Pentas ini berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa dan dibina di tengah-tengah padang yang dikeliling oleh pagar yang juga diperbuat daripada daun kelapa.
Persediaan Alat-alat Musik
a. Rebana Ibu dan Anak
Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan alat ini diperbuat daripada kayu yang tidak dalam (5" - 6" dalam). Belulang dikemaskan dengan menggunakan pancang kayu di antara cincin dan bahagian bawah badan rebana. Rebana anak lebih kecil daripada rebana ibu.
b. Tetawak
Tetawak diperbuat daripada perunggu berbentuk bulat. Alat ini mempunyai dinding yang tebal serta berbusut di tengah permukaan. Bunyi pukulan tetawak lebih tinggi daripada gong. Biasanya tetawak digantung dan dipalu pada busutnya.
Pakaian
Permainan dikir barat di Kelantan yang berasal dari Patani tidak mempunyai pakaian tertentu atau menarik untuk dipakai oleh juara, tukang karut mahupun awok-awok. Ini tidak dapat dinafikan kerana permainan ini merupakan permainan rakyat biasa yang diadakan di kawasan sawah padi dan kampung. Oleh itu, mereka tidak mementingkan pakaian kerana tujuan utama ialah memberi hiburan yang berupaya memuaskan selera penonton. Jadi pasukan-pasukan dikir barat dari kelompok ini memakai pakaian biasa ketika membuat persembahan.
Ahli-ahli Kumpulan
Setiap pasukan dikir barat mempunyai seorang tukang karut, seorang juara dan beberapa orang awok - awok (selalunya antara 15-30 orang).
a. Awok - awok
Awok - awok adalah sekumpulan orang yang berdikir dalam permainan dikir barat. Kebiasaannya awok-awok terdiri dari muda-mudi belasan tahun (tetapi mereka tidak pernah bercampur) dan kerana faktor usia inilah orang menamakan mereka sebagai budak-budak dikir. Pada praktiknya orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awok-awok.
Gelaran awok-awok ini mengambil sempena dari nama kumpulan orang-orang nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua dipanggil sebagai jeragan dan keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awok-awok dalam permainan dikir barat yang di bawah jagaan ketua mereka iaitu juara. Tugas awok-awok ialah mengikut atau mengulangi secara beramai-ramai. Seni kata lagu yang didendangkan oleh juara dan tukang karut mereka. Sebenarnya, awok-awok melahirkan suara latar atau korus bagi permainan dikir barat.
b. Juara (Tok Juara)
Juara merupakan orang yang kedua penting dalam satu pertunjukan dikir barat. Tugasnya ialah berdikir sebelum tukang karut mengarut. Pada waktu tertentu juara juga terpaksa mengarut iaitu sewaktu menunggu ketibaan tukang karut (biasanya di awal permainan) tetapi karutnya tidak panjang. Juara tidak menyanyi tetapi berdikir sambil duduk di sepanjang masa permainan. Tukang karut pula mendendangkan karutnya sambil berdiri dan menari. Suara juara yang baik dan merdu boleh menaikkan semangat tukang karut dan awok-awok pasukannya. Tema yang dibawa oleh juara selalunya menjadi panduan kepada tukang karut untuk mengarut kerana selepas juara berdikir tukang karut akan mengarut pula.
Juara juga bertindak sebagai ketua dan guru kepada seluruh awok–awoknya sebab segala bentuk dikir yang merupakan suara latar atau korus, yang diperlukan adalah dari ajaran dan arahan juara. Walau bagaimanapun, tukang karut tidak terikat dengan tindakan juara atau awok-awok sewaktu berlangsungnya persembahan. Lagu dan seni kata boleh dianggap sebagai ciptaan juara. Awok-awoknya dilatih terlebih dahulu sebelum permainan dikir barat diadakan dan seorang juaranya selalu mempunyai beberapa pasukan awok-awok yang terdekat dengan tempat permainan dikir barat akan dipilih atau ditugaskan oleh juara bagi mewakili pasukannya ketika mengadakan persembahan di daerah tersebut.
c. Tukang Karut
Orang yang memainkan peranan utama dalam pasukan dikir barat ialah tukang karut. Tugas tukang karut yang penting ialah berpantun dan bersyair. Pantun dan syair yang didendangkan mengikut selera tukang karut. Idea, isi, bahasa dan persoalan yang terkandung dalam puisi berkenaan (pantun dan syair) selalunya dikemukakan secara spontan.
Tukang karut juga boleh menyanyi pelbagai jenis lagu. Biasanya, lagu-lagu sendiri lebih dipentingkan oleh tukang karut dan kerap kali menjadi masyhur, terkenal serta menjadi sinonim dengan namanya seperti Seman Wau Bulan, Dolah Kulai Malam, Awang Ikan Duyung dan Iain-lain. Tukang karut merupakan watak yang mempunyai kebolehan semulajadi kerana tidak semua orang boleh menjadi tukang karut.
Cara Persembahan
Dalam permainan ataupun persembahan dikir barat selalunya ada dua pasukan yang mengambil bahagian pada suatu masa. Mereka akan berbalas pantun, sindir-menyindir ibarat orang berkelahi. Walau bagaimanapun, keadaan ini hanya dianggap sebagai hiburan dan disampaikan dalam loghat Kelantan. Permainan akan dimulakan tepat pada pukul 10.00 malam. Berkemungkinan keadaan sunyi dan sepi pada waktu malam memberikan sumber ilham kepada tukang-tukang karut. Manakala awok-awok kedua-dua pasukan pula mengambil tempat masing-masing iaitu duduk bersila mengelilingi pembesar suara ibarat orang yang sedang menghadapi satu hidangan.
Lagu Karut Dikir Barat
Kebanyakan lagu karut dikir barat lahir secara spontan dari ilham tukang-tukang karut itu sendiri sewaktu mengarut di dalam permainannya. Apabila sedap didengar lagu berkenaan akan menjadi terkenal dan menjadi ikutan tukang karut lain. Nama lagu-lagu ciptaan ini amat terkenal dan menjadi kesukaan ramai. Di antara lagu dikir barat yang terkenal ialah:
Karut Kelantan cepat
Karut Kelantan anyo` (Perlahan)
Karut Petani
Karut Wok Yoh
Karut pendek
Karut Yengki Cepat
Karut Yengki Anyo`
Karut Yengki Tengah (Sederhana)
Karut Yengki a ding dong
Karut Alo
Karut Selampit
Karut Menora
Karut Jenaka Mak Yong
Karut Wau Bulan
Terdapat tiga jenis dikir :
Irama Melayu Asli
Irama Padang Pasir
irama Hindustan
Alat-alat muzik dipalu oleh awok-awok yang terdiri dari rebana ibu, rebana anak, tetawak, buah rumba dan seruling. Persembahan bermula apabila juara pasukan A mengalunkan lagu dikirnya mengalu-alukan kedatangan penonton-penonton. Di antara lagunya berbunyi demikian :
Inilah resam dunia Insan rang sama dibeza-beza Yang miskin mengapa dihina Yang kaya selalu dimulia ... (suara latar)
Selamat malam selamat datang Para penonton budiman Terlebih dahulu harap maafkan Salah silap jangan dicaci jangan
Malam ini sungguhlah bertuah Cahayanya terang cuaca Pantun dan lagu kami mempersembahkan Untuk hiburan saudara dan saudari
Dunia ini hanya sementara Tempat mencari bekalan Miskin kaya mengapa dibeza Hanya bahagia diharapkan
Tempat mencari bekalan Walau di buku dan di hutan Hanya bahagia diharapkan Tetapi yang miskin mengapa ketinggalan
Walau di bukit dan di lautan Kerjasama bergotong-royong Tetapi yang miskin selalu ketinggalan Mungkinkah itu salah ibu mengandung.
Juara ini terpaksa menambah beberapa rangkap pantun lagi sementara menunggu tukang karut pasukannya naik ke pentas. Antaranya :
Terima kasih saudara Mana datang ini malam Tukang karut masuk mari Lewat masa sampai jam
Terima kasih tuan kerja Dan juga kongsi-kongsi Ambo tera nok mulo-mulo Buat mula tanda jadi
Terima kasih ketua kampung Tuan penghulu dan penggawa Silap salah minta ampun Baso dia main goni
Selepas itu pasukan B mengambil giliran dan juaranya akan berdikir seperti yang dilakukan oleh pasukan A iaitu memperkenalkan diri serta mengucapkan selamat datang serta perlu menambah beberapa rangkap pantun lagi seandainya tukang karutkumpulannya belum sampai.
Apabila tiba giliran pasukan A semula tetapi tukang karutnya tidak juga muncul, jadi terpaksalah tukang nyanyi wanitanya naik ke pentas untuk mempersembahkan beberapa buah lagu. Kebanyakan lagu yang dinyanyikan merupakan lagu - lagu yang popular pada ketika itu tetapi disampaikan dalam loghat Kelantan. Selesai sahaja penyanyi wanita menyanyi juara akan berdikir semula. Di antara lagu tersebut berbunyi demikian :
Muda mudi di bangku pelajaran Jago diri jangan diabaikan Dirimu itu wajiblah dijaga Janganlah sampai tergoda ... (suara latar)
Dengarlah adik abang berkata Nasihat abang sebagainya pelita Bolehlah menerang segalalah benda Untuk dirimu dek masalah tua
Andainya jadi kecemaran Rosakkan diri meranalah badan Jiwa terseksa di dalam badan Hidup derita dek sepanjang zaman
Di bangku pelajaran jangan main asmara Ikutlah dek gurumu berkata Jauhlah dadah dan ganja Itu perkara dek jadi merhahaya
Sekaranglah ini dah dapat dilihat Bagaimana gara-gara orang yang terlibat Hidup terseksa oh sungguhlah dahsyat Dikeji diseksa oleh masyarakat
Dengarlah dek abanglah berkata Jangan menyalahgunakan dadah Perbuatan sia-sia tidaklah terkira Mugopun salah undang-undang pun salah
Sekianlah dahulu abanglah berkata Lepaslah adik lelaki dan perempuan Carilah ilmu penuh di dada Untuk kemudahan diri hari kemudian
Setelah selesai juara pasukan A ini berdikir, tiba-tiba tukang karutnya naik ke pentas dan ini diikuti oleh tukang karut pasukan B. Tukang karut pasukan A mula mengarut dan bunyinya demikian.
Selamat malam saudara Terima kasih saudari Hilang royak timbul cerita Mulo-mulo ambo gori
Terima kasih saudari Kecil besar tuo mudo Mulo setak mula gori Walau letih tubuh ambo
Kecil besar tuo mudo Peminat dikir barat Letih lesu tubuh ambo Tubuh badan kure sihai
Tukang karut ini akan mencipta pantun atau karutnya di atas bangsal atau pentas secara spontan. Mereka akan mengemukakan berbagai - bagai tema. Di antaranya ialah budi dan jasa, pelajaran, pembangunan, dakwah dan percintaan. Kadang kala tukang karut ini akan sindir-menyindir, kata-mengata, keji-mengeji dan pukul memukul di antara satu sama lain. Ini dilakukan dengan tujuan berhibur semata-mata. Tukang karut terus menyambung karutnya :
Karut Kelantan Slow (perlahan)
Hilan royak balik sana Nok timbul alik sini Nati dengar kawe demo Nak royak gitu gini
Pada perkara masa sekare Kena kita berjago-jago Kerajaan kita duduk lare Dia royak semo-semo
Bagi yan ore muda Jangan amal salah dadah Keno kita berjago-jago Hok termake payah bedoah
Kalau sapo-sapo ke rumah Kena pakat-pakat payung Kalau tubuh kita lemoh Keno jago kesihate
Saudara saudari Ibu-ibu bapa-bapa Mulo-mulo tanda jadi Mulo-mulo buka tekok
Keluarga muslimin Anak cucu Tok Adam Baso dia main goni Mulo-mulo pembukaan
Pembangunan adik kakak Benar benar di Malaysia Keno fikir dengan otak Fikir dengan akal
Aman makmur bahagia Melayu, Cina dan India Bersatu pada di negara Itulah negara Malaysia
Keno hapus segala musuh Yang pertama ni komunis Bersatu kita baru kukuh Walau belia beliawanis
Setelah itu tiba masanya pula untuk tukang nyanyi wanita pasukan B menyanyi dan ini akan diikuti oleh juaranya berdikir.
Seterusnya tibalah giliran pasukan A sekali lagi. Juaranya akan berdikir dan tukang karutnya akan mengarut. Kemudian tiba pula giliran pasukan B. Juaranya akan berdikir dan selepas itu disambut oleh tukang karutnya. Temanya juga sama dengan pasukan A. Biasanya tukang karut pasukan A tidak melagukan lagu yang serupa dengan pasukan B walau pun temanya sama. Mereka akan bergilir-gilir membuat persembahan ini hingga pukul tiga pagi atau waktu rehat. Ketika mereka berdikir dan mengarut inilah diselitkan selingan atau penambahan unsur-unsur nyanyian lagu-lagu lucu, lucah, dan sebagainya. Lagu-lagu ini dalam loghat Kelantan ataupun lagu-lagu saduran dari piring hitam. Lagu ini sebagai hiburan ataupun untuk menghilangkan rasa mengantuk para penonton.
Jam pada pukul tiga pagi adalah waktu rehat. Tukang karut dan juara akan turun berjalan-jalan di sekeliling tempat bermain. Pada masa inilah penganjur mengumumkan pertandingan, tikam pulut, tikam rokok, kain lepas, tikam basikal dan lain-lain permainan. Ketika itu juga peminat-peminat dikir barat mengambil kesempatan menempah tukang karut dan juara untuk bermain di tempat mereka pula.
Selepas waktu rehat kedua-dua pasukan ini akan naik ke pentas semula. Mereka akan memulakan dengan lagu dikir yang lebih panas. Kebanyakan yang disampaikan pada waktu ini adalah lagu-lagu berunsur lucah. Begitu pun terdapat juga lagu yang berunsur pengajaran dan nasihat di sebaliknya. Sebelum acara berakhir tukang karut akan mengarut serentak. Misalnya, tukang pasukan A memberi pembayang manakala tukang karut pasukan B pula akan memberi maksud pantun.
Akhir sekali untuk penghabisan persembahan, tukang karut sebelah pihak akan mengalunkan lagu sedih. Di antaranya lagu Wau Bulan, Kilat Malam, Ikan Duyung, Layang-layang dan lain-lain lagi. Di samping itu, tukang karut ini meminta maaf dan mengenangkan nasib sebagai tukang karut.
Lagu Wau Bulan
i wa i wa bulan wau bulan teraju tiga ...
Minta maaf adik kakak sekalian Kalau ada silap jangan simpan dalam dado Tinggal kasih menolak sayang Kalau panjang umur semula pulok kita jumpo
Oh samo-samo paling belakan Selamat tinggal nok baliklah ambo
Oh ambo ini pakar ilmu tolo saran Orang sayang orang merai waktu muda
Kalau dah tua habis Sayan ni aban Taruh butir buat bako letok atas paro
Tak dak aroh ini malam Sampai pun ye time dan maso
Oh ada salah nok minta maaf Aban jangan taruh bimban dalam dado
Takut terkasar takut tersalah benar Mana tahu kerajaan puak ambo
Oh rasa bebas cari makan Turut untuk badan kecil jual suara
Ni ibarat burung terbang Di mana dahan di situlah tempat ambo
Oh ada anok betina atau jantan Mintok aban jangan tiru pengarai ambo
Kalau tak adok ilmu pengujian Balah ni contoh buat kijo Oh kita taat ambo nak pesan
Kalau dah habis tok sah ingat bila-bila Maklum saja demo rama amba soran Tok boleh nok buat tok boleh nok jago
Oh selamat tinggal selamat baik selamat jalan Tok payah tunggu nok sudahlah ambo Oh ni assalamualaikum ambo beri salam Hilan royak doh habis alik ambo
Pembaharuan dalam Permainan Dikir Barat
Semenjak pihak RTM (Radio Televisyen Malaysia) menyiarkan dikir barat ini sebagai salah satu rancangannya dan juga semenjak diadakan pertandingan dendang rakyat, dikir barat mengalami beberapa proses perubahan dari beberapa segi. Perubahan dan pembaharuan berlaku dalam aspek pakaian, tempat, cara persembahan dan juga lagu-lagu yang didikirkan untuk permainan ini.
Pada asalnya tiada pakaian seragam dalam permainan dikir barat. Walaubagaimanapun, semenjak diadakan pertandingan dikir barat dalam dendang rakyat kebanyakan pasukan dikir barat mempunyai pakaian masing-masing. Biasanya, awok-awok memakai baju yang sepasang serta bersamping dan kepala dililit dengan kain yang bercorak balik atau sebagainya. Juara, sebagai ketua berpakaian lain daripada awok-awok, berbaju sepasang dan mengikat kain di kepala dan sampin yang juga diperbuat daripada kain batik. Tukang karut pula memakai baju sepasang, baju luar (overcoat) dan mengikat kain di kepala seperti tanjak.
Dari segi persembahan, pada asalnya awok-awok duduk bersila mengelilingi pembesar suara seperti sebuah bulatan dan tok juara serta tukang karut duduk di tengah. Semenjak diadakan pertandingan, awok-awok duduk bersila di dalam dua barisan yang menyerupai bentuk separuh bulatan.
Pembesar suara diletak di hadapan barisan hadapan iaitu di tengah-tengah kumpulan. Juara dan tukang karut juga duduk di barisan hadapan. Alat-alat muzik dipegang oleh awok-awok yang duduk di tepi.
Lagu-lagu yang didikirkan kebanyakannya bertemakan pembangunan, dasar ekonomi kerajaan, pelajaran, perpaduan dan lain-lain. Begitu pun tidak terdapat lagu-lagu yang berunsur lucah didikirkan seperti tahun-tahun sebelum pertandingan.
Penutup
Demikianlah persembahan dikir barat yang asalnya adalah dalam bentuk dikir tetapi diubahsuai dengan pantun masyarakat Melayu. Kemudian persembahan ini diselitkan lagu-lagu lucu, sedih yang bertujuan untuk hiburan.
Dikir barat berkembang begitu pesat dengan tertubuhnya beberapa kumpulan dikir barat di tanah air. Pada masa yang sama permainan ini telah menjalani beberapa proses perubahan serta pembaharuan. Dikir barat bukan sahaja berfungsi sebagai arena hiburan tetapi juga mampu menyampaikan amanat kerajaan kepada rakyat dengan berkesan, terutamanya dalam mengubah cara penghidupan dan pemikiran rakyat sesuai dengan peredaran masa.
Diterbitkan oleh :
Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan Bahagian Pembangunan Kebudayaan dan Kesenian Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. 2003