Close
 
Jumat, 19 September 2014   |   Sabtu, 24 Dzulqaidah 1435 H
Pengunjung Online : 775
Hari ini : 3.536
Kemarin : 16.442
Minggu kemarin : 230.267
Bulan kemarin : 677.761
Anda pengunjung ke 97.134.863
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Artikel

12 oktober 2007 00:01

Mendekati Seni Berteater

Mendekati Seni Berteater
Pendahuluan

Demi menyemarakkan aktiviti persembahan pentas, terutama drama pentas pelbagai pengungkayahan telah ditangani secara menyeluruh oleh pihak-pihak tertentu lebih-lebih lagi kepada penggiat seni. Mereka ini tidak kendur-kendur menanai seutuhnya sebuah platform agar tidak terjatuh. Antara usaha yang dilaksanakan termasuklah seminar, forum dan bengkel mengenai berteater. Selain itu usaha untuk tidak tertumpu kepada aktiviti drama pentas yang bersifat berkala seperti hanya berlangsung pada waktu-waktu tertentu seperti adanya sambutan perayaan tertentu. Untuk merealisasikan jangkauan ini, seperti mana yang kita maklumi bukan saja terletak di bahu para penggiat seni persembahan semata-mata. Ke arah itu, salah satu kepotensialannya ialah penglibatan guru-guru, iaitu sama ada sekolah kerajaan dan bukan kerajaan.

Kenyataannya golongan ini memang mempunyai kecenderungan untuk berteater (yang belum pernah mengikuti sebarang aktiviti-aktiviti teater atau ada yang pernah mengikutinya namun belum lagi mengetahui secara dekat tentang seni teater sebetulnya). Oleh yang demikian, rencana ini dikemukakan untuk mendedahkan dan memberi pengetahuan umum mengenai teater di kalangan pembaca yang berjinak-jinak untuk berteater atau sebagai suatu pengalaman baru. Kandungan rencana ini disesuaikan untuk keperluan dan menepati kehendak pembaca sedemikian sebagai asas mengenal bidang Seni Teater.

Selain kandungan rencana ini berhubung dengan pengenalan dan perkembangan teater namun turut dibincangkan mengikut kepada kesesuaian dan keberkesanan wadah ini kepada para pembaca ialah memperkatakan pengenalan ringkas konsep teater dan drama, titik tolaknya wujudnya drama, rasional berteater, cabaran dan pemikiran bersama menghadapi hambatan dan cabaran berteater di Negara Brunei Darussalam.

Konsep teater dan drama

Anda setentunya ingin untuk mengenali lebih dekat tentang teater, apatah lagi secara tidak langsung atau tidak disedari anda pernah suatu ketika muncul di atas pentas dalam pelbagai acara. Misalnya, sebagai pengacara majlis, menerima sijil, persembahan nasyid, berdikir dan sebagainya. Sekurang-kurangnya anda merasakan pijakan sesebuah pentas yang menjadi tumpuan khalayak yakni merasakan situasi di atas pentas yang ditonton khalayak.

Apabila anda ingin mengenali lebih dekat dalam melakukan seni teater anda harus mengenali ruang lingkupnya agar tertanam benih cinta anda dalam seni teater sama seperti suatu penerokaan.

Tetapi, dari manakah kita akan bermula penerokaan itu? Ingat: Ungkapan Melayu menyatakan ‘Tak Ada Angin Masakan Pohon Akan Bergoyang‘. Oleh itu, betapa signifikannya sebagai langkah awal penorakaan ini meninjau kepada perkataan teater itu sendiri. Ini memang satu kelaziman melihat makan asas atau etimologi sesuatu istilah itu. Selain ‘teater‘, anda juga sering mendengar perkataan ‘drama‘ dan ini mengundang anda dalam kondisi kekecohan, kekeliruan atau bingung. Kedua-dua perkataan ini diguna pakai secara meluas sehingga meletakkannya dalam keadaan seolah-olah bersinonim, padahal pada hakikatnya kedua-dua perkataan ini sama mengandungi perbezaan. Ini sama hal seperti dua orang adik-beradik yang kembar yang ada kemiripan tetapi memiliki perbezaan.

Memang tidak dinafikan bahawa kekeliruan atau kebingungan ini secara tidak langsung berpunca dan turut berlaku kepada penggiat, pengamat, pengkaji, sarjana yang sukar menyepakati pelbagai dapatan yang dikemukakan. Walau bagaimanapun, perlu juga ada satu tanggapan yang perlu dipegang untuk memberi laluan pembicaraan ini agar tidak tersasar haluan. Secara etimologinya, perkataan ‘teater‘ berasal dari kata theatron (theamoi) iaitu perkataan Yunani/Greek membawa maksud takjub melihat atau memandang. ‘Drama‘ juga berasal daripada perkataan Yunani/Greek iaitu dram membawa maksud gerak atau aksi.

Kebetulan kedua-dua perkataan ini mempunyai unsur yang rapat dalam teater itu sendiri iaitu melihat, menonton sesuatu (apa?). Tentulah menonton aksi atau gerak! Keakraban kedua-dua istilah ini memungkinkan kedua-duanya seolah-olah bersifat sinonim dan saling bertukar ganti diguna pakai. Berbalik kepada bicara awal, kita perlu juga mengemukakan pandangan yang perlu kita pegang untuk membezakan kedua-dua istilah ini yang sememangnya mempunyai perbezaan yang tidak sengaja disedari.

Rahmah Bujang (1982) membezakan kedua-dua istilah ini iaitu drama berhubung dengan yang tertulis (naskhah) manakala teater adalah suatu pengerjaan atau produksi pementasan secara keseluruhan bermula dari skrip, pengarahan, penyediaan teknik lakon dan pementasan dan respons khalayak.

Dengan erti kata yang lain, teater sebagai sebuah lakonan yang dipersembahkan (di atas pentas) dengan aksi-aksi yang tertentu mengikut skrip yang akan dipersembahkan, iaitu lakonan yang dipersembahkan kepada penonton. Ringkasnya, teater berhubung dengan pementasan, sementara drama berhubung dengan naskhah/teks (skrip). Walau bagaimanapun, hasilan skrip sangat-sangat memerlukan pementasan untuk dipersembahkan kepada khalayak penonton, jika tidak kuranglah seri sesebuah karya drama itu.

Kemunculan teater dan drama

Setelah membincangkan tentang konsep teater dan drama secara ringkas, sekarang timbul pula persoalan bilakah dan siapakah (bangsa) yang mula-mula mengerjakan tradisi drama. Sekali lagi, kita menemui jalan yang tidak tembus kerana tidak ada ketentuan yang tepat bila bermulanya kegiatan berdrama dan bangsa apakah yang memulakannya. Kajian demi kajian dilakukan sehingga rata-rata sarjana mengemukakan pelbagai andaian tetapi akhirnya mereka mengambil satu jalan sepakat mempercayai bahawa drama muncul sebagai aktiviti secara naluriah yang seiring dengan kegiatan keagamaan yang berupa bentuk persembahan kepada supernatural.

“The origins of the theatre go back far into the past, to the religious rites of the earliest communities. Throughout the history of mankind there can be found traces of songs and dances in honour of a god, performed by priest and worshippers dressed in animal skins, and of a potrayal of his birth, death and resurrection. Even now similaries can be discovered among primitive peoples.” (Phyllis Hartnoll, 1997:7)

Fenomena ini dapat dilihat dengan kewujudan tamadun manusia itu sendiri dalam period prasejarah. Ringkasnya, terdapat tiga tamadun besar manusia dalam period pra- sejarah, iaitu Mesir, Greek dan India. Dalam rencana ini penulis tidak akan membincangkan secara mendalam dan panjang lebar mengenainya. Melihat perkembangan drama kuno di Barat, beberapa orang sarjana menyifatkan bahawa Greecelah yang dapat dianggap sebagai ‘birth place of the drama‘. Meskipun ada pendapat yang menyifatkan kurun ke-2 dan ke-3 (zaman kerajaan Firaun) Mesir sudah memiliki pementasan drama. Malangnya, tidak banyak tulisan yang membicarakan drama di Mesir sebagai sumber bukti. Tambahan pula dari segi etimologinya drama atau teater itu sendiri berasal dari bahasa Yunani/Greek (Abdul Rahman Napiah, 1987).

Senario teater/drama di Brunei Darussalam tidak jauh bezanya dengan negara-negara lain, yang menanggapi bahawa drama/teater muncul berhubung dengan upacara ritual. Bermula dengan bentuk teater tradisional iaitu bersifat ritual mengalami perubahan menjadi satu bentuk persembahan kebudayaan. Sebagai contoh dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu-Brunei yang mengandungi beberapa fasa seperti majlis berbedak (siang dan malam), malam berpacar, berjaga-jaga, bersanding dan berambil-ambilan adalah unsur-unsur teater yang berhubung rapat dalam kehidupan seharian masyarakat. Tambahan pula dengan pelbagai aktiviti dan perlakuan seperti mekap, kostum, tingkah laku, pengangun, penunda adalah merupakan aspek-aspek bentuk teater. Bagi Masyarakat Kedayan Brunei mempercayai bahawa persembahan ritual alai bubu dapat mengubati pesakit dengan cara memberi persalinan (kostum) pada sebuah bubu dipegang oleh beberapa orang pembantu dan diberi semangat magis melalui mantera nyanyian seperti berikut:

Tak Bamban Ya Luka
Tak Bamban dibasari
Main jangan dipermudahkan
Si Bamban kan menari

Ya Basir o ya Basir
Terompak Kayu Sani
Ya Allah rompak padi
Hantu Mayung Hantu Rimba
Bergoyang di dalam bubu
Bergoncang dalam bubu
Jangan sopan jangan malu
Orang banyak kan meliat
Si Bamban pandai berhantu.

Bubu itu pun bergerak dan mengalai sambil dipegang oleh beberapa orang supaya dapat dikawal dan tidak terlepas. Persembahan ritual ini mengandungi unsur-unsur asas teater seperti latar, dialog (mantera nyanyian), aktor (pesakit, bomoh, dll), props (bubu, alat muzik dan sebagainya) kostum dan sebagainya. Apabila masa berganti masa dan akan senantiasa tetap berlalu, tadinya persembahan ini pada dasarnya bertujuan untuk persembahan upacara ritual pengubatan atau penyembuhan pesakit bertukar menjadi satu persembahan yang bersifat hiburan atau cultural performance.

Unsur kehidupan Manusia Dalam Drama

Secara umum dalam sesebuah drama itu unsur cerita menjadi keutamaan iaitu menceritakan tentang manusia yang melakukan sesuatu sekalipun pelakonnya berwatak binatang, tetapi mempunyai sifat-sifat manusia. Kehidupan manusia yang mempunyai unsur dramatik, teaterikal dan semantik membentuk sesebuah drama. Keluarga, kawan, tingkah laku dalaman dan luaran, sosial, politik, sukan dan rekreasi, aktiviti budaya, pendidikan, ‘business‘ adalah di antara aspek kehidupan seseorang sama ada secara langsung atau tidak secara langsung memberi ruang ketegangan dan konflik, mimicry dan pertontonan, makna dan nilai.

Unsur dramatik kehidupan bersumber daripada kewujudan ketegangan dan konflik dalam kehidupan itu sendiri. Sebagai manusia yang mempunyai sifat masing-masing seperti kemahuan, cita-cita, dan keperluan sendiri. Walaupun kebanyakannya sudah dapat dipenuhi atau sedia ada diisi namun bagi kehidupan seharian individu adakalanya terdapat juga beberapa kemahuan, kehendak yang belum dapat tertunai malah tertolak! Timbullah yang dinamakan konflik apabila ketegangan berlaku antara kemahuan dan halangan/saingan.

Rasional Seni Teater

Apakah pula rasionalnya berteater? Rahmah Bujang (1982) menjawab persoalan ini dengan mengemukakan empat perkara seperti berikut:

  • Sebagai jalan keluar/pelepasan setelah penat bekerja.
  • Sebagai keperluan kanak-kanak dalam persiapan untuk menghadapi usia dewasa.
  • Sebagai unsur rekapitulasi (ikhtisar), iaitu melihat lakonan sebagai satu perulangan peristiwa yang telah lalu.
  • Sebagai satu pernyataan reaksi yang bersifat emosional dan sosial.

Perlu ditekankan kepada para pembaca khususnya di kalangan guru bahawa berteater bukan hanya semata-mata untuk menghibur atau bersuka-suka, tetapi salah satu jalan mengasuh ketahanan mentaliti kepada semua yang menjayakan sesebuah teater, apatah lagi kepada kanak-kanak (murid-murid) secara tidak langsung membentuk perkembangan sahsiah mereka dan mengawal daripada gejala yang tidak diingini. Kanak-kanak akan diberikan peranan masing-masing untuk dipertanggungjawabkan dalam mengadakan pementasan drama. Aktiviti yang sihat sebegini memang dialu-alukan dalam sekolah bukan saja sebagai persediaan satu-satu majlis, tetapi mengisi aktiviti luar akademik (ECA) yang diadakan seminggu sekali.

Komunikasi Teater

Untuk menyampaikan hajat berteater kita harus juga melihat pelaluan sesebuah drama itu yang disebut sebagai komunikasi teater/drama. Terdapat tiga pelaluan penting dalam drama iaitu sumber, media dan sasaran. Sumber merujuk kepada skrip (penulisan skrip) dan produksi (termasuk pelakon, pengarah, jurukamera. Media didominasikan oleh Pentas, Radio, Televisyen dan Filem. Manakala sasaran sudah setentunya adalah masyarakat yang berposisi sebagai penonton atau khalayak. Perlu diingat bahawa media harus ada kaitannya dengan sasaran, misalnya pentas mungkin memuatkan 300 orang penonton tertakluk kepada saiz panggung; atau radio yang hanya merangsang kepada pendengaran sahaja (Zefri Ariff, 2003).

Cabaran Masa Kini

Bergiat dalam seni teater ini tidak kurang hebatnya hambatan cabarannya di negara kita. Antara cabaran tersebut ialah 1) sejauh mana komitmen kita atau kecintaan kita dalam genre ini. Apatah lagi dalam kesusasteraan Melayu di Brunei, drama merupakan genre sastera yang baru dan berkembang jauh ketinggalan berbanding dengan genre sastera yang lain seperti cerpen, novel, dan sajak1. Orang boleh mengatakan minat, tetapi jika minat tidak dilakukan dengan daya usaha tidak jauh beza dengan ungkapan Melayu manis kata di bibir saja.; 2) Di mana kedudukan seni teater ini? Dapatkah ia mengisi ruang marketability atau untuk barang komoditi pasaran yang boleh menguntungkan; 3) Oleh itu bagaimanakah kita dapat meyakinkan kepada pihak-pihak tertentu? Konflik nilai antara komersial dan nilai moral yang terkandung dalam seni teater; 4) Sekarang kita hidup dalam dunia tanpa sempadan kesan daripada ledakan teknologi informasi dan komunikasi (ICT). ICT cukup mempengaruhi cara kehidupan manusia sehingga memberi pelbagai pilihan termasuklah mengisi ruang hiburan. Kesannya, seni teater mahu tidak mahu terpaksa competitive dengan peralatan hiburan yang canggih melalui kemajuan ICT.

Dari hambatan ini masihkah ada ruang permintaan masyarakat untuk berteater dalam kehidupan mereka terutama dengan kemunculan dan kemajuan ICT yang menjadi agenda utama dalam pembangunan sesebuah negara. Signifikan ICT jelas dan tidak dapat digugat kedudukannya dalam segenap lapangan kehidupan manusia sejagat.

Selain itu, dapatkah kita memberi laluan atau ruang dalam kesibukan kita pada masa kini untuk berteater. Kehidupan seharian kita dijaduali dengan komitmen pekerjaan sebagai periuk belanga kita, menghantar anak sekolah pada waktu pagi, menjemput anak sekolah pada waktu tengah hari, menghantar anak sekolah ugama di sebelah petang, pulang bekerja terus menjemput anak sekolah agama, pada waktu malam sambil menyiapkan kerja rumah anak-anak juga dihantar ke sekolah tambahan, manakala pada hari Jumaat anak-anak dihantar untuk belajar mengaji, sebelah petang ada kalanya jemputan kenduri-kendara dan pada hari Ahad pula diisi dengan menghadiri jemputan kahwin dan sebelah petang disambung dengan majlis-majlis lain.

Penutup

Bukanlah tujuan rencana ini memberi gambaran untuk mengendurkan para pembaca untuk mendekati seni teater, tetapi itulah hakikatnya yang sekarang ini kita hadapi. Pemikiran bersama diperlukan sama seperti sebuah organisasi drama yang masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawabnya. Pengarah (leadership) harus bijaksana dalam organisasi drama ini untuk kelangsungan yang berterusan dalam berteater.

Bacaan

  • Adhy Asmara, Dr. 1983. Apresiasi Dramai. Yogyakarta: C.V Nur Cahaya
  • Abdul Rahman Napiah. 1987. Drama Moden Malaysia: Perkembangan dan Perubahan Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Cooper., C. W. 1955. Preface to Drama: An Introduction to Dramatic Literature and Theater Art. New York: Ronald Press.
  • Dk. Norzana Pg. Rosli. 1997."Teater Avant-Garde Zefri Ariff Brunei”. Brunei: Jabatan Kesusasteraan Melayu, FASS. UBD.
  • Haji Abd. Rahman Mohd. Yusof. 1984. "Perkembangan Teater di Brunei" dalam Beriga. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Ikhtisar Bahasa Dan Sastera. 1983. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Luere, J. and Sidney Berger (ed.). 1998. The Theatre Team Westport: Greenwood Press.
  • Muhammad Abd. Latiff. 1980. Suatu Pengenalan Sejarah Kesusasteraan Melayu Brunei. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Rahmah Bujang (Peny.) 1982. Drama Melayu 25 Tahun Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • ___. 1994. Drama Melayu: Dari Skrip ke Pentas Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Saparman Bakri. 1982. Alam Teater. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Zefri Ariff Brunei. 2003. Di Balik Kertas dan Pentas. Brunei: Jabatan Kesusasteraan Melayu, FASS, UBD.
  • 1 Lihat Muhammad Abd. Latiff, A Rahman Yusof; Ikhtisar Budaya dan Sastera, Zefri Ariff; membincang kan tentang sejarah dan perkembangan teater/drama di Brunei.

Sumber : www.brunet.bn
Kredit foto : blontankpoer.blogsome.com


Dibaca : 2.501 kali.

Tuliskan komentar Anda !