Selasa, 1 September 2026 |Arbia', 18 Rab. Awal 1448 H
Pengunjung Online : 616
Hari ini
:
16.270
Kemarin
:
31.139
Minggu kemarin
:
32.264.566
Bulan kemarin
:
43.463.948
Anda pengunjung ke 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
AGENDA
Belum ada data - dalam proses
Artikel
13 februari 2008 08:42
Latar Ringkas Tentang Orang Asli Semenanjung Malaysia Dan Bahasa Mereka
Oleh : Dr. Hj. Mohd Sharifudin Yusop
1. Pendahuluan
Genap 100 tahun lalu, Skeat dan Blagden (1906: 283)menegaskan bahawa bahasa-bahasa masyarakat Orang Asli sedang diancam kepupusan terutamanya kerana mereka sedang berusaha menguasai BM walaupun untuk penggunaan dalam kalangan sesama mereka. Menurut mereka;
"Nevertheless the process of decay which these dialects are undergoing is now in most parts of the Peninsula advancing at such rate as to justify the presumption that in a few generations there will be little or nothing left, except, possibly, in the two or three remote tracts where at present bilingualism has hardly begun to spear."
Menurut bancian terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Data Maklumat Asas JHEOA, 2004: 4), bilangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia ialah seramai 147 412 orang. Mereka terdiri daripada tiga kelompok suku bangsa, iaitu Negrito (4 001), Senoi (81 826) dan Melayu Proto (61 585). Ketiga-tiga suku bangsa itu pula terbahagi kepada 6 suku kaum setiap satu. Negrito terdiri daripada suku kaum Kintak, Kensiu, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh. Penempatan utama mereka ialah di hutan dan pinggir hutan Kelantan, Selatan Thai dan Utara Perak. Senoi pula terdiri daripada suku Temiar, Semai, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mahmeri. Kebanyakan mereka terdapat di bahagian tengah Semenanjung Malaysia, meliputi pedalaman Perak, Pahang dan Terengganu. Manakala Melayu Proto pula terdiri daripada suku Temuan, Semelai, Jakun, Orang Seletar, Orang Kanaq dan Orang Kuala atau Duano. Suku bangsa ini boleh ditemui di bahagian tengah dan selatan Semenanjung seperti di Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.
Pengelompokan suku bangsa dan suku kaum Orang Asli telah menjadi perdebatan sejak awal abad ke-19 lagi. Pada awalnya antropologis seperti Miklucho-Maclay (1878), Clifford (1891), Schmidt (1903), Skeat dan Blagden (1906), dan beberapa orang yang lain telah mengelompokkan mereka berdasarkan ciri-ciri fizikal dan budaya hidup. Namun demikian, apabila timbul kekeliruan akibat pertindanan ciri-ciri tersebut, para peneliti tersebut telah beralih kepada ciri-ciri bahasa dan dialek pertuturan untuk membezakan mereka. P.W Schmidt misalnya membuat penelitian terhadap bahasa Semang dan bahasa Sakai di Melaka (Benjamin, 1976: 38). Namun demikian justeru kajiannya terbatas kepada dua suku itu sahaja, maklumat tentang suku-suku lain yang terdapat di bahagian lain Semenanjung Tanah Melayu tidak dibentangkan.
Kajian yang dilakukan oleh Skeat dan Blagden (1906: 409-412) lebih menyeluruh kerana meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Mereka membuat kesimpulan bahawa bahasa-bahasa Orang Asli terbahagi kepada tiga kelompok; iaitu Semang, Sakai dan Jakun. Berasaskan penelitian ini, Hunt (1952) memperincikan lagi pembahagian tersebut kepada empat kelompok; iaitu bahasa Negrito, bahasa Senoi, bahasa Jakun, Semelai dan Orang Asli, dan dialek Melayu Asli. Akhirnya, Benjamin (1976: 37-128) menyimpulkan bahawa terdapat hanya tiga kelompok bahasa Orang Asli; iaitu bahasa Asli Utara, Asli Tengah dan Asli Selatan. Bahasa Asli Utara dituturkan oleh suku-suku kaum dalam kategori suku bangsa Negrito, bahasa Asli Tengah dituturkan dalam kalangan suku-suku kaum kelompok Senoi, dan bahasa Asli Selatan pula dituturkan oleh suku-suku kaum bangsa Melayu Proto. Pandangan inilah yang dipakai oleh JHEOA untuk mengkategorikan masyarakat Orang Asli tersebut keseluruhannya. Secara terperinci, bandingan jumlah Orang Asli mengikut suku kaum menurut bancian 2003 adalah seperti dalam rajah berikut.
Bandingan Jumlah Orang Asli Berdasarkan Suku Kaum
Suku bangsa
Suku Kaum
Bilangan
Negrito
Kintak Kensiu Jahai Mendriq Bateq Lanoh
157 232 1 843 164 1 255 350
Senoi
Temiar Semai Che Wong Jahut Semoq Beri Mahmeri
25 725 43 892 664 5 104 3 545 2 896
Melayu Proto
Temuan Semelai Jakun Orang Kanaq Orang Seletar Orang Kuala (Duano)
22 162 6 418 27 448 87 1 407 4 067
Dengan tumpuan terhadap bilangan suku kaum Melayu Proto, statistik dalam jadual di atas menunjukkan bilangan yang paling sedikit ialah suku kaum Kanaq. Bilangan 87 orang itu jika merujuk tahap hayat bahasa oleh Wurm di atas, boleh dianggap agak kritikal. Manakala bagi satu lagi suku iaitu Duano, walaupun angka mereka masih kelihatan bertahan dalam konteks warisan budaya dan bahasa, namun daripada tinjauan awal yang telah dibuat dan seterusnya dibuktikan melalui kajian yang dijalankan, mendapati mereka sedang berhadapan dengan ancaman globalisasi dan urbanisasi yang begitu hebat.
2. Dapatan KajianMasa Depan Dialek Duano Dan Dialek Kanaq
Suku Duano atau lebih dikenali sebagai Orang Kuala dan Orang Laut tinggal di petempatan dan rizab khusus di sepanjang pantai barat negeri Johor. Di daerah Batu Pahat, petempatan mereka ialah Kampung Minyak Beku, Kampung Sri Pantai, Kampung Bumiputera Dalam, Kampung Sri Tanjung dan KampungNelayan. Di daerah Pontian pula mereka terdapat di Kampung Kuala Benut (seterusnya KKB), Kampung Sungai Dungun, Pontian Kecil, Kampung Kukup Laut dan Kampung Api-api. Terdapat satu kelompok yang tinggal terasing; iaitu di Sungai Layau, Kota Tinggi. Ini adalah petempatan baru dengan sebahagian besar penghuninya berasal dari daerah Pontian. Kampung yang menjadi kajian kes ialah KKB yang merupakan petempatan asal suku kaum Duano ini. Sebelum menjadikan kampung ini sebagai petempatan mereka, orang Duano berasal dari Kepulauan Riau, khususnya pulau Bakuan, Perigi Raja, Congcong, Kuala Lajau, Kuala Tungkal, Kuala Enok dan Kuala Retih (sumber Informan). Bilangan penduduk KKB ialah seramai 435 orang (berdasarkan bancian kajian pada 2004).
Satu-satunya petempatan Orang Kanaq ialah di Kampung Sungai Selangi (seterusnya KSS), dalam daerah Kota Tinggi. Mereka dipercayai satu-satunya kelompok Kanaq yang masih wujud kerana tidak dapat dikesan kehadiran mereka di mana-mana pulau dalam Kepulauan Riau yang merupakan tempat asal nenek moyang mereka. Kesimpulan ini adalah berdasarkan fakta-fakta sejarah dan juga maklumat semasa yang diperoleh daripada sumber-sumber JHEOA sendiri dan juga dari sumber laman web Kerajaan Riau; iaitu http://www.riau.go.id. Pulau asal orang Kanaq ialah di Lingga. Dengan bilangan yang begitu kecil; iaitu hanya 87 orang, usaha pewarisan bahasa Kanaq sukar sekali untuk dipastikan.
Dapatan kajian diperoleh melalui kaedah pemerhatian, kaedah soal selidik dan kaedah temu bual. Kaedah pemerhatian membabitkan beberapa siri lawatan harian dan lawatan bermalam di kedua-dua kampung untuk mendapatkan gambaran sebenar perlakuan bahasa para penduduknya. Melalui kaedah ini juga, temu bual dibuat bersama 4 informan KKB (termasuk Tok Batin Latif Jidin - 76 tahun, seorang pegawai JHEOA dan 2 penutur warga emas) dan 5 informan KSS (terdiri daripada Tok Batin Mutalib - 50 tahun, seorang pegawai JHEOA, seorang guru Tadika keturunan Duano, seorang penutur warga emas dan seorang penutur berusia 20-an). Kaedah soal selidik pula membabitkan kesemua persoalan yang terdapat dalam Model Edwards dan angkubah yang terdapat dalam Model Sasse, yang diubahsuai berdasarkan kesesuaian kedua-dua titik kajian. Responden dipilih secara rambang melibatkan 62 orang dari KKB dan 57 orang dari KSS. Mereka terdiri daripada penduduk yang berusia antara 7 tahun hingga 70 tahun. Pengkaji membahagikan mereka kepada tiga kelompok umur; iaitu 7 hingga 17 tahun (umur persekolahan), 18 hingga 39 tahun (umur bekerja dan berumah tangga), dan 40 tahun ke atas (umur matang, berkeluarga dan stabil).
Dapatan 1: Proses Pewarisan
Di KKB, DD hanya dituturkan dan difahami oleh sebilangan kecil kecil penduduk warga emas (40 tahun ke atas) yang menggunakannya sekali-sekala terutama apabila bertemu dalam majlis-majlis tertentu seperti kenduri-kendara, dan atas permintaan oleh pihak luar seperti pengkaji. Dalam latar seperti itupun sebenarnya mereka banyak menyelitkan perkataan Bahasa Melayu (seterusnya BM) secara peralihan kod dengan DD. Selain itu penutur tua ini juga cenderung menggunakan DD apabila bertemu dengan kenalan lama yang telah berpindah ke petempatan lain. Dari segi sebutan perkataan, golongan ini masih dapat mengingat perkataan-perkataan DD apabila diminta untuk menyebutkannya berbanding perkataan-perkataan BM. Kajian ini juga mendapati bahawa hanya segelintir golongan 18-39 tahun yang boleh memahami beberapa patah perkataan DD tetapi tidak boleh menggunakannya dalam pertuturan. Apabila diminta menyebutkan perkataan tertentu BM dalam DD, mereka menyebutkan secara teragak-agak. Manakala tiada golongan 7-17 tahun yang tahu perkataan-perkataan DD apatah lagi menggunakannya dalam pertuturan. Keadaan ini menunjukkan bahawa DD tidak dapat diwarisi oleh generasi muda kerana golongan pertengahan masyarakat di sini pun tidak mampu menjadi medium kelangsungan warisan bahasa ibunda mereka. Golongan tua tidak menunjukkan inisiatif untuk melakukan sesuatu agar DD dapat dipertahankan sekurang-kurangnya dalam kelompok asal orang Duano di kampung ini. Bagi golongan muda, keperluan menguasai DD tidak relevan kerana penggunaannya yang tidak meluas, malah hanya sekadar menyerlahkan ‘keorangaslian‘ mereka sahaja.
Di KSS, DK difahami oleh semua peringkat usia. Proses pewarisan berlaku dengan baik walaupun saban hari, kata-kata asal DK semakin hilang kerana berganjak menggunakan kata-kata BM. Penguasaan kosa kata dalam kalangan generasi muda tidaklah sebaik golongan tua tetapi komunikasi menggunakan DK masih saling faham dan lancar. Masalah yang mereka hadapi sebenarnya ialah dari segi bilangan kosa kata yang terhad hingga menyebabkan DK tidak dapat berkembang. Perkahwinan dengan orang luar berlaku dalam sebuah keluarga. Menantu berkenaan itu tinggal menetap di KSS dan menggunakan BM dalam pertuturannya. Sedikit sebanyak beberapa perkataan DK telah difahami tetapi tidak dapat bertutur seperti penutur jatinya.
Dapatan 2: Mobiliti Penutur
Sebahagian besar responden KKB yang berusia 18 tahun ke atas bekerja di luar kampung atau jika tidakpun, sering berurusan dengan orang luar untuk menjual hasil tangkapan laut dan tanaman mereka. Kesemua responden yang masih bersekolah, belajar di sekolah di luar kampung. Ada segelintir yang tinggal di asrama khusus untuk anak-anak Orang Asli yang terletak di pekan Benut. Bagi kedua-dua kelompok ini pertembungan dengan orang luar dan budaya luar tidak dapat dielakkan. Manakala bagi golongan tua yang tidak lagi bekerja, mereka juga tidak terkecuali daripada bersemuka dengan masyarakat luar, malah sering dilihat menjamu selera di gerai-gerai yang terdapat di pekan Benut. Dalam semua pertembungan ini, DD tidak pernah digunakan kerana tidak difahami oleh orang lain. BM mendominasi latar pertuturan dan menjadi satu-satunya bahasa yang difahami dan boleh dituturkan oleh semua peringkat umur. Perkataan-perkataan DD juga semakin hilang dari ingatan golongan tua kerana jarang sekali digunakan dalam mana-mana situasi dan mereka juga jarang dicabar untuk menggunakannya.
DK di KSS dapat dilestari di semua peringkat usia terutamanya kerana mobiliti penduduknya hampir statik. Tidak ada golongan dewasa yang bekerja di luar kampung kerana kebanyakan mereka menjadi buruh di ladang sawit mereka sendiri di bawah kelolaan FELCRA. Ladang ini terletak di petempatan mereka sendiri. Pernah 2 orang Kanaq cuba bekerja sebagai pengawal keselamatan di luar kampung tetapi hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja. Bagi golongan yang masih pada usia persekolahan, kadar ponteng sekolah amat tinggi dalam kalangan mereka. Sekolah terdekat terletak kira-kira 8 kilometer dari kampung. Tiada penduduk yang tamat persekolahan hingga darjah 6. Kebanyakannya berhenti setakat darjah 3 atau 4 sahaja. Sekali-sekala penduduk kampung keluar secara berkumpulan ke bandar Kota Tinggi atau pergi ke dusun mereka di Lebak Mincin yang terletak kira-kira 15 kilometer jauhnya. Corak mobiliti yang sedemikian menyebabkan pertembungan mereka dengan masyarakat dan budaya luar menjadi amat terhad. Keadaan ini menyebabkan DK dapat kekal dalam kalangan mereka dengan satu-satunya anasir ancaman datang dari sumber media elektronik, khususnya radio dan televisyen. Kosa kata BM masuk melalui medium ini dan mula diserap oleh generasi muda terutamanya. Justeru bilangan kosa kata yang terhad (sekitar lebih kurang 300 sahaja), banyak kata-kata BM digunakan mengikut cara sebutan mereka sendiri; pantas dan ringkas.
Dapatan 3: Sikap Bahasa Penutur
Kesemua golongan penutur DD di KKB tidak melihat DD mempunyai masa depan berbanding BM yang dominan. Malahan, sebahagian besar generasi muda dan pertengahan kelihatan berusaha mengikis imej Orang Asli yang dilabelkan ke atas keturunan mereka dengan menggunakan BM sebagai bahasa ibunda mereka. Sementelah paras rupa dan ciri-ciri fizikal lainnya menyamai orang Melayu, Orang Duano menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai orang Melayu. Di sinilah lahirnya gelaran ‘Orang Melayu Kuala‘ yang bukan sahaja secara umumnya digunakan oleh masyarakat luar, malahan secara rasmi diiktiraf oleh JHEOA sendiri. Gerakan ini sungguh berkesan kerana jika tidak diserlahkan oleh pengkaji keturunan Sweden, Oyvind Sandbukt dalam tulisannya tentang suku kaum ini pada tahun 1975 dan 1982, perkataan Duano itu mungkin tidak diketahui oleh generasi pertengahan. Hasil penelitian pengkaji pula memperkenalkan Duano kepada generasi yang lebih lebih muda, tatkala kajian ini dilaksanakan. Secara kasarnya, satu proses penghapusan etnik sedang berlaku dan orang Duano tidak keberatan menerima imej Melayu sebagai citra bangsa mereka. Satu perkara yang pasti ialah golongan tua tahu perkataan itulah yang menjadi nama sebenar keturunan mereka tetapi pada masa yang sama, mereka seolah-olah merestui penghapusan etnik yang sedang dihadapi oleh anak cucu mereka. Kepada pengkaji, golongan tua ini secara pesimistik menyatakan bahawa DD tidak boleh membawa mereka ke mana-mana. Justeru, bagi mereka arus globalisasi harus dilayani bagi memastikan mereka tidak ketinggalan lagi berbanding orang Melayu.
Bagi suku Kanaq pula, tidak banyak yang boleh mereka lakukan untuk memperkembangkan DK selain menggunakannya dalam lingkungan tertutup mereka. Perkembangan pesat dunia komunikasi di luar yang dibawa masuk melalui media radio dan televisyen memperkenalkan mereka dengan perkataan-perkataan BM yang dominan dan dapat mengungkap hal-hal yang berlaku dalam kalangan mereka sendiri. Justeru kemiskinan kosa kata, mereka tidak punya banyak pilihan. Asal-usul mereka sebagai Orang Laut yang hidup serba ringkas, memerlukan mereka menyerap banyak kosa kata ‘orang darat‘ supaya boleh mengungkap kehidupan, persekitaran dan budaya yang baru bagi mereka. Namun demikian, hanya segelintir sahaja individu di KSS yang membuka diri kepada pengaruh kosa kata BM, terutamanya Tok Batin sendiri dan juga seorang informan wanita berusia dalam lingkungan 70 tahun bernama Mak Yam. Kedua-dua mereka merasakan perlu menguasai BM kerana sering berurusan dengan orang luar; Tok Batin dengan pegawai JHEOA, manakala Mak Yam pula yang berkemahiran mengurut sering dikunjungi orang luar untuk mendapat khidmatnya. Selain mereka, kebanyakan penduduk Kanaq di KSS merasakan tidak perlu sangat menguasai BM kerana mereka sendiri jarang berkomunikasi dengan orang luar, dan jika berlaku pertemuanpun, mereka lebih suka mendiamkan diri; seperti yang selalu pengkaji hadapi apabila berkunjung ke KSS. Mereka sering berusaha mengelakkan diri. Apabila terpaksa bersemuka, mereka lebih banyak membisu selain mengangguk atau menggelengkan kepala sebagai respons kepada pertanyaan pengkaji. Dengan sikap yang sedemikian, proses penyerapan BM ke dalam DK dan penuturnya berlaku secara agak perlahan. Satu lagi tabiat yang dilihat menyumbang kepada kelembapan proses dominasi BM ini ialah sikap mereka yang lebih suka berdiam diri dan tidak banyak bercakap walaupun sesama mereka sendiri. Kegemaran mereka sehari-harian ialah bersantai-santai tanpa melakukan apa-apa (terutama di luar musim buah-buahan dan apabila tidak ke ladang kelapa sawit) dan duduk di tepi rumah sambil memerhati keadaan sekeliling.
Dapatan 4: Hak dan Pengiktirafan
Pelabelan orang Duano dan orang Kanaq sebagai Orang Asli sebenarnya menekan mereka daripada mengetengahkan diri dalam arus masyarakat. Hal ini dapat dilihat dengan jelas berlaku di kedua-dua kampung yang dikaji. Mereka sebenarnya menjadi pemalu, hilang nafsu untuk memajukan diri dan lebih rela hidup seadanya daripada menyerlahkan identiti Orang Asli mereka. Pernah berlaku beberapa pelajar Duano yang bersekolah menengah di bandar Pontian bertindak lari dari sekolah kerana mereka ‘diejek‘ sebagai orang yang tidak bertamadun. Begitu juga yang berlaku dalam kalangan anak-anak Kanaq yang tidak mahu ke sekolah kerana sering dipandang jijik, hamis dan lembam oleh murid-murid sekelas. Bagi orang Duano yang lebih berani mendedahkan identiti mereka, tekanan menjadi lebih kuat kerana dalam masa mereka mencuba mengikis imej tidak bertamadun itu, mereka tetap dikenal pasti kerana mereka tinggal di rizab Orang Asli.
Sambil itu pula ada pihak luar yang sentiasa berusaha untuk memanipulasi keorangaslian mereka dengan menceroboh tanah yang telah dirizabkan tetapi tiada pewartaan yang rasmi di pihak yang berkuasa. Pihak luar ini juga masuk melalui cara perkahwinan campur terutamanya dalam kalangan penduduk Duano di KKB. Pengaruh budaya luar menyerap masuk secara pantas sehinggakan anak-anak hasil perkahwinan sedemikian tidak lagi mengenali identiti Duano mereka. Di KSS, fenomena ini tidaklah begitu rakus sekali. Malahan sebaliknya, lebih banyak tekanan daripada pihak luar, lebih pasif jadinya orang Kanaq dan kepasifan ini memelihara jati diri mereka.
Satu lagi bentuk tekanan yang dihadapi ialah dasar JHEOA yang berkaitan dengan sosioekonomi Orang Asli. Dasar yang dilaksanakan selama ini menyebabkan kebanyakan penduduk kedua-dua kampung ini dikelabui budaya subsidi. Segala-galanya boleh mereka perolehi melalui bantuan pelbagai macam yang disediakan JHEOA. Malah untuk membeli cermin mata pun ada disediakan subsidi. Apatah lagi peralatan sekolah, peralatan menangkap ikan dan peralatan pertanian yang lain. Di KSS, perkahwinan anak muda juga dibiayai sepenuhnya oleh JHEOA dan pihak JAIJ. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, sudah timbul satu kesedaran dalam kalangan kedua-dua kelompok suku kaum ini bahawa segalanya yang mereka miliki kini tidak bersifat kekal dan tidak terjamin untuk diwarisi anak cucu mereka. Pada hakikatnya,identifikasi mereka, budaya mereka, malahan petempatan mereka hanyalah bersifat sementara; sementara Akta Orang Asli 1954 masih termaktub dalam Perlembagaan Negara. Mereka tidak diberi hak dan pengiktirafan kekal dan hal ini menyebabkan masa depan mereka sebenarnya tidak menentu. Misalnya dalam hal tanah, mereka tidak memiliki geran indvidu dan khusus terhadap tanah yang mereka diami dan mereka usahakan. Dalam beberapa kes pencerobohan tanah di rizab mereka, akhirnya hal itu selesai begitu sahaja dan mereka menanggung kerugian. Dalam hal pelestarian budaya, mereka tidak ada pilihan lain selain meninggalkan cara hidup dan tradisi mereka jika ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain. Tiada dasar yang dapat menjamin kelangsungan citra keduanoan dan kekanaqan mereka. Tiada bantuan dalam bentuk apa pun untuk mengelakkan DD dan DK daripada menghadapi tahap obsolesensi masing-masing.
3. Rumusan
Secara keseluruhannya, DD dan DK tidak mempunyai banyak pilihan. Kedua-duanya tidak dapat bertahan menghadapi sama ada globalisasi mahupun glokalisasi. Analoginya; jika tidak penuturnya ke samudera mencari gelombang, gelombang datang melanda mereka di petempatan mereka sendiri. Segala angkubah mendatangkan kesan kepada tahap hayat kedua-dua bahasa itu. Mahu tidak mahu, para penuturnya dan para pengkaji bahasa juga tidak dapat menolak bahawa DD dan DK sudah memasuki alam obsolesensi masing-masing dan menanti masa sahaja untuk berkubur. Golongan warga emas yang minoriti di KKB, hanya menghitung hari untuk meninggalkan warisan yang tidak tersampaikan. Selepas mereka, tidak ada lagi generasi Duano yang boleh bertutur dalam DD. Bagi orang Kanaq pula, sekiranya berlaku sesuatu terhadap sebilangan kecil mereka pun, DK akan tergugat kerana bilangan yang ada sahaja sudah begitu kecil untuk menjamin perkembangannya. Dengan sikap ketertutupan mereka, DK seperti selamat dalam dakapan. Namun demikian DK tidak dapat berkembang jika mereka terus demikian. Sekurang-kurangnya dua daripada akar umbi BM sudah mengalami obsolesensi dan bakal reput dalam tempoh yang tidak lama lagi. Mampukah BM menongkat langit glokal?
Bibliografi
Benjamin, G. 1976. Austroasiatic Subgroupings and Prehistory in the Malay Peninsular. Dlm. Jenner. P., Thompson L.C. dan Starosta S., (pnyt.). Austroasiatic Studies: 37-128. Honolulu: University of Hawaii Press.
Campbell, L.dan Muntzel, M.C. 1989. The Structural Consequences of Language Death. Dlm. Nancy C. Dorian (pnyt.). Investigating Obsolescence: Studies in LanguageContractionand Death:181-196. Cambridge: CambridgeUniversity Press.
Collins, J.T. 1986. Antologi Kajian Dialek Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_________. 1997. Dialek-dialek Melayu Yang Terancam Pupus? Laporan Dari Semenanjung Malaysia. Dlm. Jurnal Dewan Bahasa: 772-792. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dorian, Nancy. 1989. Investigating Obsolescence: Studies in Language Contractionand Death. New York: CambridgeUniversity Press.
Fishman, J.A. 1991. Reversing Language Shift: Theoritical and Empirical Foundations of Assistance to Threatened Languages. Clevedon, UK: Multilingual Matters.
___________.2002. Endangered Minority Languages: Prospects for Sociolinguistic Research. International Journal on Multicultural Societies, Vol. 4, No. 2. UNESCO.
Grenoble, L.A. dan Whaley, L.J. 1998. Endangered Languages. Cambridge: Cambridge University Press.
__________________________.1998. Towards a Typology of Language Endangerment. Dlm. Grenoble, L.A. dan Whaley, L.J. (pnyt.). EndangeredLanguages: 22-54. Cambridge: CambridgeUniversity Press.
http://www.riau.go.id
JHEOA Malaysia. 2004. Data Maklumat Asas JHEOA sehingga 31 Disember 2003.
Kamus Dewan Inggeris-Melayu, 1991. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Skeat, W. W. Blagden, C.O. 1906. Pagan Races of the Malay Peninsula.Vol. I& II. London: Macmillan and Co.
Wurm, S.A. 1999. Languages in Danger – The Life and Death of the World‘s Languages.Multiethnica. No. 24-25: 28-35. Sweden: Centre forMultiethnic Research, Uppsala University.
______________________________
Dr. Hj. Mohd Sharifudin Yusop
Unit Kecemerlangan Warisan Bangsa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia