Sabtu, 28 November 2026 |Ahad, 17 Jum. Akhir 1448 H
Pengunjung Online : 1.400
Hari ini
:
38.459
Kemarin
:
96.363
Minggu kemarin
:
2.656.496
Bulan kemarin
:
11.429.130
Anda pengunjung ke 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
AGENDA
Belum ada data - dalam proses
Artikel
30 mei 2008 01:45
Suara Chairil Anwar dalam Sanubari Joseph Selvam (Penyajak Tamil Malaysia)
Oleh : Profesor Madya Dr. Krishanan Maniam
Puisi adalah genre yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam melimpahkan perasaan manusia yang terpendam. la dapat membawa isu-isu yang kompleks kepada paparan luar dengan mudah. Biasanya perasaan dan pemikiran adalah sesuatu yang sangat sukar untuk ditafsir dan diterangkan pada seseorang yang lain. Tetapi, puisi merupakan genre sastera yang berkesan dalam usaha membongkar perasaan dan pemikiran manusia. Suka, duka, muram, ketawa, runsing, riang, tangis, gembira kusut, jernih adalah di antara perkara-perkara yang menjadi abstrak dan individu akan menghadapi masalah untuk menterjemahkannya kepada orang lain dengan betul. Tetapi, genre puisi dengan ungkapan-ungkapan yang dipilih dan padat berisi boleh menerangkan maksud sebenar mesej seseorang karyawan.
Di samping itu, puisi juga merupakan suatu dokumen sejarah sosial sesuatu masyarakat. lni adalah kerana para karyawan bukan sahaja merakamkan perasaan dan pemikiran diri mereka tetapi, merei juga turut menggambarkan kehidupan masyarakat sekelilingnya. Usman Awang (1983, 132) berkata,
"Bahan puisi ialah kehidupan seorang penyair harus membukakan pancaindera, fikiran dan perasaannya kepada seluruh kehidupan, dan tidak hanya kepada hal-hal yang bersangkutan dengan diri sendiri sahaja.. "
Dengan demikian, sesebuah puisi itu bukan sahaja mewakili seorang karyawan tetapi keseluruhan masyarakat yang diwakili olehnya. Puisi yang dicipta juga turut memaparkan suatu gambaran secara terperinci mengenai unsur-unsur kepercayaan dan kebudayaan. Bentuk-bentuk puisi seperti syair, gurindam, seloka, pantun dan sajak adalah karya-karya yang membawa gambaran-gambaran masyarakat dari zaman ke zaman. Pada peringkat awal genre sastera ini digunakan untuk memberi pengajaran kepada masayarakat. Tetapi, konsep ini kini bertukar dan karya merupakan alat pengkritik masyarakat yang paling tajam dan efektif. Kini, bentuk sastera sajak menjadi pengucap yang kritis dan sinis terhadap manusia. Selain daripada penampilan perasaan dan pemikiran karyawan genre-genre ini juga turut memberi kesan yang mendalam kepada para pembaca. la akan mengocak kolam rasa dan menusuk sanubari pembaca karana kandungan karya pula digaulkan dengan emosi, imaginasi dan idea. Dengan itu, boleh disimpulkan bahawa genre sajak telah berjaya dalam pemberian maksud dan pengertian liku-liku hidup dan ia ditangani oleh sasterawan dengan berkesan. Chairil Anwar ( 1967, 78) telah memberi pendapatnya seperti berikut,
"Sebuah sajak yang menjadi adalah suatu dunia. Dunia yang dijadikan, diciptakan kembali oleh si penyair, diciptakannya kembali, dibentukannya dari benda dan rohani, keadaan alam dan penghidupan sekelilingnya dia mendapat bahan dari hasil-hasil kesenian lain yang bererti bagi dia, berhubungan jiwa dengan dia, dari pikiran dan pendapat orang lain, segala yang masuk dalam tangapannya, anasir-anasir atau unsur-unsur yang sudah ada dijadikannya, dihubungkannya satu sama lain, dikahwinkannya menjadi satu kesatuan yang penuh (indah serta mengharukan) dan baru, suatu dunia baru, dunia kepunyaan penyair itu sendiri. "
Kenyataan ini, telah menjelaskan penyajak adalah seorang individu yang mempunyai potensi tersendiri di mana pengamatan sasterawan itu akan membawa pengertian yang lebih mendalam terhadap kehidupan. Ini adalah kerana kehidupan ini adalah sesuatu yang kompleks dan ia akan memberi pengertian yang berlainan dalam dimensi yang berbeza-beza.
Penyajak Chairil Anwar dan Joseph Selvam
Chairil Anwar adalah penyajak terulung Indonesia. Beliau dilahirkan di Medan, Sumatera pada 26 Julai 1922 dan meninggal dunia di Jakarta pada 28 April 1949 dalam usianya 27 tahun. Walaupun kehidupannya di dunia ini amat singkat tetapi hasil karyanya cukup bererti dan ia membarakan hati nurani sasterawan kesusasteraan Melayu pada amnya dan khususnya sasterawan Indonesia. Chairil Anwar merupakan penyajak pelopor dalam pengarangannya kerana dia telah menghasilkan suatu penulisan yang sangat tajam dengan penggunaan kata-kata baru. Corak penulisannya adalah berbeda dengan sasterawan Indonesia yang mewarisi Pujangga Baru. Chairil Anwar (1967, 79) sendiri memberi pendapatnya mengenai ciri-ciri sesuatu karya seperti berikut ,
"Sesebuah sajak, sebuah hasil kesenian menjadi penting dan bererti bukanlah kerana panjangnya atau pendeknya, tetapi adalah kerana tingkatnya, darjatnya, kadarnya. Yang menentukan ini adalah dalamnya (kerana ketinggiannya, keluasannya, jauhnya) penglihatan, kupasan, pandangan si seniman tadi dalam menyatukan, memadukan suasana, kehidupan dan tokoh."
Dengan itu, Chairil Anwar percaya bahawa liku-liku hidup yang dilalui oleh seseorang penyair adalah faktor utama dalam penentuan kekuatan sajak-sajak tersebut. la jua telah memberi pendapat bahawa interaksi seseorang dengan kehidupan dan falsafah kehidupan yang dipegang juga akan menentukan mutu sesuatu karya sastera. Chairil Anwar juga tidak mempunyai cita-cita yang tinggi dalam ciptaan karyanya. la juga tidak percaya pada orang-orang yang mengatakan bahawa mereka telah melakukan sesuatu melalui ciptaannya. H.B. Jassin mengemukakan pendapat Chairil Anwar seperti berikut,
"Dia tidak setuju dengan seniman-seniman yang begitu, dapat ‘wahyu‘ begitu pula menuliskannya dan menganggap pekerjaannya sudah selesai. Inilah sebabnya maka hasil seni kita masih dangkal- pichik benar, kata Chairil. Tak lebih dari angin lalu saja. Menyejukan kening dan dahipun tidak! jangankan masuk meresap...”
Justeru itu, boleh dikatakan bahawa Chairil Anwar tidak banyak memberi keberatan kepada pengarang ataupun pencipta karya. Tetapi ia menyatakan karya itu sendiri akan menentukan nasibnya berdasarkan dengan kehebatan menjangkau zaman. Selain daripada itu, Chairil Anwar yang mempelopori sasterawan ‘Angkatan 45‘ telah menerangkan aspek-aspek yang akan menjadi pegangan sasterawan zaman ini dan meluahkan pemikirannya terhadap sasterawan yang mewarisi tradisi seperti berikut,
"Tiap seniman harus seorang perintis jalan. Penuh keberanian, Tenaga hidup, Tidak segan memasuki hutan rimba penuh binatang-binatang buas, mengharungi lautan lebar-tak bertepi, seniman ialah tanda dari hidup yang melepas bebas. Kita anak dari masa lain. Dulu mereka tidak berani berterang-terang, selalu memilih jalan yang liku-liku, sungguhpun mereka membela diri dengan mengatakan pemandangan mereka tentang penghidupan dan segalanya lebih lebar dan lebih luas. Tetapi aku curiga.."
(H.B. Jassin, 1967, 80)
Pandangan ini telah menunjukkan bahawa Chairil Anwar sudah keluar daripada landasan tradisi sastera yang ditetapkan oleh sasterwan yang terdahulu.
Sebenarnya, Chairil Anwar telah membawa keluar daripada hagemoni Pujangga Baru yang juga mengatakan membuat perubahan-perubahan dalam sastera Indonesia. Meskipun begitu, kemodenan yang ditonjolkan oleh Chairil Anwar adalah suatu lompatan yang jauh dan ia adalah perubahan paradaim. Kata-kata pilihan Chairil Anwar dalam sajaknya adalah diksi yang penuh dengan makna dan penggunaannya juga sangat berbeza dari teman-teman terdahulu. la juga memilih bahasa percakapan sebagai ungkapan sajak-sajaknya yang betul-betul memberi sifat kedaerahan yang ingin diangkat olehnya. Segala kelainan dan cara penyampaian yang tajam telah digemari bukan sahaja sasterawan Indonesia tetapi dalam banyak negara terutamanya di Malaysia, sepertimana teori-toeri poskolonial yang memberi kepentingan kepada teks tetapi bukan pada pengarangnya. Teks juga akan memberi makna yang berbeza-beza berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman seseorang pembaca yang membacanya.
Dengan itu, penyajak Joseph Selvam berketurunan Tamil telah menceburi penulisan sajak-sajak dalam bahasa Melayu. la adalah salah seorang yang melibatkan diri dalam penulisan sajak-sajak dalam bahasa Melayu pada awal-awal lagi iaitu pada tahun 1965. Joseph Selvam dengan jayanya dapat mengorak langkah dalam dunia sajak Melayu adalah kerana Majalah Balai Muhibbah terbitan Kementerian Perpaduan. Majalah ini menggalakan penulis-penulis bukan Melayu menghasilkan karya-karya kreatif. Joseph Selvam mengakui peranan Majalah Bala Muhibbah (Oktober,1977,16) seperti berikut,
"hanya balai muhibbah sahaja yang mengenalkan saya sebagai seorang penulis, apabila sajak-sajak dan cerpen-cerpen saya disiarkan. lni jelas menunjukkan peranan Balai Muhibbah untuk melahirkan penulis-penulis bukan Melayu "
Di samping pengakuan ini,beliau juga telah memberitahu bahawa perangsang untuk dirinya pada sajak-sajak adalah sasterawan dari Malaysia dan Indonesia. lni jelas terbukti bahawa pengaruh Chairil Anwar adalah sangat kuat pada sajak-sajak Joseph Selvam.
Tuhan
Tuhan merupakan tema universal dan ramai menanganinya daripada pelbagai sudut. Chairil Anwar yang tidak banyak memberi pandangan yang serius terhadap Tuhan juga akhirnya menerima hakikat Tuhan. Dalam sajak ‘Doa‘ ia telah menyerah kepada Tuhan.
"Kepada pemeluk teguh Tuhanku Dalam termanggu Aku masih menyebut namamu Biar susah sungguh Mengingat kau penuh seluruh Cahayamu panas suci Tinggal kerdip lilin di kelam sunyi Tuhanku Aku hilang bentuk Remuk Tuhanku Aku mengembara di negeri asing Tuhanku Di pintu mu aku mengetuk Aku tidak bisa berpaling"
Dalam sajak ini, Chairil Anwar yang sering dikatakan sebagai seorang yang devian dan tidak berada dalam arus perdana, tidak berminat pada hal-hal ketuhanan. Tetapi sajak ini telah menunjukkan bahawa ia juga percaya pada Tuhan dan ia juga berpeluang menemu kembali Tuhan Yang Maha Esa.
Sajak ini juga telah memberi kesan pada Joseph Selvam yang menghasilkan sajak berjudul “Ku Temui Kau”. Dalam sajak ini, penyajak telah merakamkan pengalaman ketuhanannya.
“Ku cari kau Di tebing sungai Di taman bunga Di lereng gunung Di hutan rimba Ku cari kau Di senyuman bunga Di pemandangan indah Di lautan bait-bait puisi Di siulan unggas-unggas murni Pada suatu senja Ketika aku duduk kesepian Suatu suara dalam hembusan bayu Membuka rahsia Dan aku mula mengenal kau Dan dengan tiba-tiba Ku rasa terlalu dekat dengan mu Dekat dalam hati nuraniku Dengan rasa bahagia Melimpah setiap ruang jiwa Ku sebut nama kau sampai ke urat nadi Dengan denyut ghairah meresap Ku sujud ke arah Mekah Menyembah kau”
Sajak Joseph Selvam juga menunjukkan betapa tekad hatinya ingin berjumpa dengan Tuhan. Sajak ini juga seperti dalam ‘Doa” iaitu mencari tuhan merata-rata sehingga mengembara negeri asing. Pada akhir sajak, kedua-dua penyajak menemui Tuhan dengan cara yang tersendiri. Chairil Anwar telah mengatakan bahawa ia mengetuk pintu Tuhan dan tidak akan berpaling dari arahnya. Joseh Selvam pula telah menemui Tuhan ke arah Mekah dan ia terus akan menyembahnya.
Politik
Walaupun terdapat beberapa sajak Chairil Anwar menyentuh isu politik, sajak ”Persetujuan dengan Bung Karno” pula membawa erti yang lebih mendalam. Ini adalah kerana sajak ini menerangkan situasi Negara Indonesia setelah merdeka
Ayo! Bung Karno kasi tangan mari kita bikin janji Aku sudah cukup lama dengan bicaramu Dipanggang di atas apimu, digarimu lautmu Dan mulai tgl. 17 august 1945 Aku melangkah kedepan berada rapat di sisimu Aku sekarang api aku sekarang laut Bung Karno! Kau dan Aku satu zat satu urat Di zatmu di zatku kapal-kapal kita belayar Di uratmu di uratku kapal-kapal kita bertolak & berlabuh
Dalam sajak ini Chairil Anwar telah berjanji dengan Presiden negara Indonesia bahawa ia akan bertungkus lumus dalam usaha membina negara Indonesia. Di sini Chairil Anwar bukan seorang tetapi ia adalah wakil rakyat Indonesia.
Dalam sajak “Pada Negara ini” Joseph Selvam telah menyuarakan isi hatinya terhadap tanggungjawabnya kepada negara. Di sini juga, Joseph Selvam bukanlah seorang individu tetapi, ia mewakili seluruh rakyat yang kini menikmati kemerdekaan.
"Pada negara ini Segala kesetiaan ku Tidak kemana lagi! Di antara berbilang bangsa Sebuah dangau didirikan Dengan harmoni Penghuni-penghuni sukaria Tanpa menghiraukan Keturunan bangsa Pelukan agama Pertuturan bahasa Saling wujudkan Suasana Muhibbah Sentiasa eratkan Tali persaudaraan Negara ini Tanah tumpah darahku Ibu pertiwiku Pada negara ini Kucurahkan Segala kesetiaanku Segala cintaku Selama-lamanya
Sepertimana Chairil Anwar berjanji pada Bung Karno, Joseph Selvam berjanji bahawa segala budinya akan ditaburkan dalam negara ini demi kesejahteraan negara ini. Walaupun Chairil Anwar tidak memasukkan unsur pelbagai kaum dalam sajaknya, Joseph Selvam tidak melupakan usaha kerajaan dalam menyatupadukan rakyat pelbagai kaum demi kejayaan yang sebenar dan mencapai cita-cita murni mendapatkan kemerdekaan
Cinta
Cinta adalahsuatu tema yang universal dan semua karyawan akan memulakan penghasilan karya mereka dengan menggunakan tema. Di sini, Chairil dan Joseph Sevam telah menunjukkan cinta yang tinggi nilainya. Dalam kedua-dua sajak didapati persaan cinta mengalir dengan penuh perasaan. Sajak Chairil Anwar yang berjudul, “Dengan Mirat” membicarakan perasaan cinta itu antara maya dan alam nyata. Bayangan cinta masih membuai kedua-dua merpati sejoli dan memberi peluang supaya mereka dapat memahami satu sama lain di samping menumpang kasih.
“Kamar ini jadi sarang penghabisan Di malam yang hilang batas Aku dan engkau hanya menjengkau Rakit hitam ‘kan terdamparkah Atau terserah Pada putaran hitam? Matamu ungu membatu Masih berdekapankah kami atau Mengikut juga bayangan itu”
Dalam sajak ini, Chairil Anwar hanya menggunakan kata-kata yang mudah sahaja tetapi cinta yang dikatakan itu adalah sangat kuat.
Sajak Joseph Selvam pula yang bertajuk ‘Kasih Sayang‘ membawa kisah cinta yang erat. Kedua-dua kekasih yang digambarkan dalam sajak ini mengharungi kehidupan cinta yang sejati.
"Kasih sayang Antara cahaya ke emasan bulan Dan angin lembut membisikan cintamurni Kemesraan Dalam kesunyiaan Antara dakapan Merangkum sebuah pendakian Keriaan hidup melimpah Kenikmatan mengalir Dalam arus madu jabat Pada lautan beralun lembut Berkicau burung keriangan Melihat damai sebuah pantai
Joseph Selvam telah membawa keriangan dunia ini dalam kehidupan kedua-dua orang yang dilamun cinta. Seperti Chairil Anwar, la ingin menjelaskan kesucian dan kemurnian cinta dan kasih. Sajak Joseph Selvam juga tidak memakai perbendaharaan kata yang susah difahami tetapi mudah dan jelas. la juga berusaha untuk mencapai tujuannya iaitu cinta adalah sesuatu yang harus disanjungi.
Keinsafan
Penyajak selalunya akan mengenal diri terlebih dahulu sebelum menguji isu-isu lain. Dengan demikian, Chairil Anwar dan Joseph Selvam telah menghasilkan sajak-sajak individualistik iaitu perasaan diri mereka Chairil Anwar dalam sajak berjudul ‘Penerimaan‘ ingin menjelaskan perasaan dirinya.
"Kalau kau mau ku terima kau kembali Dengan sepenuh hati Aku masih tetap sendiri Kutahu kau bukan yang dulu lagi Bak kembang sari sudah terbagi Jangan tunduk! Tentang aku dengan berani Kalau kau mau ku terima kembali Untukku sendiri tapi Sedang dengan cermin aku enggan berbagi
Sajak begini boleh ditafsir daripada pelbagai sudut. Walaupun sajak ini memaparkan isu keinsafan tetapi ia juga boleh dilihat sebagai cerminan diri.
Joseph Selvam pula membicarakan suasana mengharapkan keinsafan daripada pihak lain dalam sajaknya ‘Pembangkang‘. Di sini, Joseph Selvam tidak mengatakan siapa dia pembangkang tetapi, ia merujuk kepada sesiapa yang merosakkan perpaduan.
"aku menanam Pohon-pohon muhibbah Di tanam jiwaku Setiap hari Dengan berhati-hati Kusiramnya Dengan air toleransi Dengan baju berbudi Bila ia berbunga perpadauan Ku ajak kau memetik Menyerikan sanggulmu Kau pula datang Bermuka garang Dengan parang Dan akupun sedari Kesilapanku”
Dalam sajak ini, penyajak cuba menginsafkan orang yang belum mengenali aspek perpaduan dan keharmonian. Di samping itu, Joseph Selvam juga ingin menerangkan bahawa orang yang membina perpaduan juga harus insaf bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk berusaha memupuk perpaduan dalam kalangan semua orang.
Lain-lain
Selain daripada perbincangan, isu-isu pemaparan dalam sajak penyajak Tamil Malaysia juga merasai pengaruh pengucapan sajak. Sajak Chairil Anwar menggunakan perkataan-perkataan singkat untuk menghujah mesejnya. Cara ini juga digunakan oleh Joseph Selvam dalam sajak‑sajaknya. Sajak Joseph Selvam yang berjudul, ‘Belantara‘ membawa perkataan singkat untuk menerangkan mesej yang abstrak.
“Dunia ini Adalah Sebuah belantara lblis & Syaitan Buas Ganas Menghisap darah Mencekik leher Dengan cara paling kejam”
Chairil Anwar telah menarik perhatian penyajak dalam aspek penggunaan perkataan singkat yang boleh memberi makna yang cukup besar. Perkataan ini juga seperti jarum-jarum yang boleh menusuk hati.
Kesimpulan
Pengolahan sajak Chairil Anwar adalah sesuatu yang lain daripada yang lain. la merupakan suatu berontakan kepada hegamoni yang sekian lama mengongkong dunia sastera. Tetapi kehadiran Chairil Anwar telah memecahkan institusi yang ingin mentadbir dunia sastera dengan berbagai-bagai peraturan. Tetapi, pemudahan pengucapan yang dikenalkan oleh Chairil Anwar bukan sahaja menjadi suatu penerokaan untuk sajak-sajak Indonesia, malah penyajak-penyajak Malaysia juga menerima pengaruhnya.
Bibliografi :
Dr. Faruk, 1999, Penghantar Sosiologi Sastera, Yogyakarta : Pustaka Pelajar.
Hamzah Hamdani, 1988, Pemikiran Sastera Nusantara, Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka.
H. B. Jassin, 1967, Kesusasteraan Indonesia Moden dalam kritikan dan Esei, Melaka Penerbitan Abass Bandong.
Majalah Balai Muhibbah, 1975,1976,1977,1987.
Raja Raeswary, 2002, Nada-nada Islam dalam Sajak-sajak Joseph Selvam, Al Islam, September.
Umar Junus, 1981, Mitos dan Komunikasi, Jakarta: Penerbit Sinar Harapan.
__________________
Profesor Madya Dr. Krishanan Maniam, Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya