Close
 
Senin, 21 Agustus 2017   |   Tsulasa', 28 Dzulqaidah 1438 H
Pengunjung Online : 2.929
Hari ini : 20.002
Kemarin : 101.896
Minggu kemarin : 225.915
Bulan kemarin : 10.532.438
Anda pengunjung ke 103.024.428
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Artikel

19 desember 2008 05:02

Kepulauan Riau sebagai Pusat Tamadun Melayu Nusantara

Kepulauan Riau sebagai Pusat Tamadun Melayu Nusantara
Komplek Makam Raja Jaafar

 

Oleh: Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar[2]

Pengenalan

Perkataan tamadun sering digunakan oleh para sarjana untuk menggambarkan pencapaian dalam aspek kebendaan (material) dalam sebuah masyarakat. Namun demikian, dalam perkembangannya, istilah ini dikaitkan dengan pencapaian yang tinggi dalam sains dan teknologi agar ia sesuai dengan tamadun barat. Tamadun secara etimologi berasal dari perkataan madanna dalam bahasa Arab. Perkataan ini merupakan kata kerja yang merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota, serta perbutan memperhalus budi pekerti. Kemudian ada kata madani yang merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan kepada pembangunan serta kehalusan budi pekerti yang terpuji.

Ini secara lebih jelas disokong melalui perkataan hadarah yang berasal dari kata hadara yang merujuk kepada perbuatan duduk di bandar dan perilaku kehidupan yang tinggi. Ini secara tidak langsung menunjuk arti keadaan dan tingkat kemajuan kepada kehidupan jasmani dan rohani dalam sesuatu bangsa dan masyarakat. Pendapat Barat yang berkaitan dengan tamadun merujuk kepada perkataan civilitation yang berasal dari kata latin, civitas, yang berarti bandar atau kota. Ini dikaitkan dengan penggabungan antara ketinggian budaya dengan kemajuan kebendaan dalam suatu masyarakat.[3]

Orang-orang Melayu di wilayah Rumpun Melayu atau dikenali dengan sebutan Malay Archepelago dan Dunia Melayu turut mempunyai warisan Tamadun Melayu yang setaraf dengan warisan tamadun dunia yang lain. Kekuatan Tamadun Melayu berteraskan kepada perwujudan pelbagai etnik dan bangsa Rumpun Melayu yang berteraskan kepada perluasan warisan budaya yang mengikut sempadan geopolitik, sebaliknya berkembang mengikut persefahaman geobudaya dan yang bersikap positif dan berfikir serta menghayati warisan budaya dalam konteks Tamadun Melayu serumpun.

Warisan Tamadun Melayu tetap unggul dan mempunyai kekuatan jatidiri berteraskan bahasa Melayu dan seni budaya Melayu serumpun. Warisan tamadun Melayu terus berkembang pesat sejak pengaruh Islam diterima oleh masyarakat Melayu pada abad ke-7 bermula dari warisan tamadun Melayu di Sriwijaya, Majapahit, Perlak-Pasai, Kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Johor-Riau dan kekal hingga sekarang.

Kepulauan Riau dengan Pulau Penyengat sebagai pusatnya telah memberi sumbangan yang besar dalam memperkasakan warisan seni budaya dan bahasa Melayu di Rumpun Melayu atau Dunia Melayu sejak abad ke-18 dan 19. Ia mempunyai hubungan yang erat dan mempunyai pertalian silaturahim dengan negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu (Malaysia). Warisan seni budaya dan bahasa Melayu tetap menjadi pedoman utama kepada warga rumpun Melayu dalam bidang seni sastra, budaya, bahasa, agama di Rumpun Melayu. Banyak ilmuan dan pemimpin dari Rumpun Melayu datang dan berguru kepada cendikiawan dari Kepulauan Riau, dan mempunyai ikatan silaturahim, serta kekeluargaan Melayu Serumpun. Berdasarkan hal tersebut, Melayu diidentifikasi sebagai orang yang beragama Islam, berbahasa Melayu, dan mengamalkan adat resam Melayu. Melayu perlu juga dilihat dalam konteks yang lebih luas berpaksikan kepada warga rumpun Melayu yang mempunyai pelbagai suku bangsa atau etnik seperti Jawa, Bugis, acheh, Minangkabau, Banjar, Madura dan sebagainya.

Konsep bangsa Melayu serumpun yang berteraskan "geo-culture" tetap hidup segar dan berkembang sehingga sekarang. Sebutan Melayu Jawa, Melayu Bugis, Melayu Aceh, Melayu Minangkabau, Melayu Riau, Melayu Madura sewajarnya diperkembangkan dan disemarakan dalam jiwa kita.

Latar Belakang Pulau Penyengat

"The Island of Mars" atau yang disebut oleh orang Melayu sebagai Pulau Peningat terletak 1500 km dari Tanjung Pinang merupakan sebuah pulau kecil dan mempunyai struktur tanah yang berbukit-bukit. Pulau ini adalah tempat kediaman Yang Dipertuan Muda (Viceroy) dan pegawai-pengawainya yang lain. Pada bagian selatan dan timur pulau ini terdapat beberapa kampung yang luas. Tempat kediaman Yang Dipertuan Muda merupakan bangunan menarik, salah satunya ialah Balai Penghadapan. Selain itu keberadaan pintu gerbang yang tinggi berhias atap berbentuk bulat bertujuan melindungi pintu gerbang itu. Tidak jauh dari tempat itu, terdapat sebuah masjid yang mempunyai empat menara dan satu kubah. Binaan ini disaluti simen dan dicat dengan warna putih dan dapat dilihat dengan jelas dari jauh. Menurut cerita, bentuk bangunan ini mengikut model Masjid Besar (Masjidil Haram) di Makkah.[4] Namun demikian, beberapa sarjana setempat menyangkal pendapat tersebut, karena menurut mereka masjid ini sangat berbeda dengan Masjidil Haram.

Di kaki bukit pulau tersebut terdapat makam-makam Yang Dipertuan Muda yang telah meninggal dunia selain daripada sebuah jeti yang diperbuat daripada batu yang berfungsi sebagai pelabuhan masuk barang-barang dagangan. Jeti tersebut dilengkapi dengan beberapa buah bangunan batu yang bertujuan untuk mengutip hasil cukai. Jeti dan masjid tersebut dianggarkan dibina pada sekitar tahun 1848 hingga1849. Namun begitu terdapat sumber lain yang menyatakan masjid tersebut dibina pada tahun 1832 (1249H).[5] Di bagian Timur Laut pulau ini terdapat sebuah benteng yang dilengkapi dengan meriam yang dibina pada tahun 1848 dan dikibarkan bendera Lingga yang berwarna hitam. Manakala di bahagian Utara dan Barat pulau tersebut tidak didiami sehingga tidak tidak terdapat bangunan apa-apa. Di tempat tersebut hanya terdapat pohon-pohon kayu dan buah-buahan yang tumbuh secara liar.

Asal Nama Pulau Penyengat

Kata "Penyengat" berasal dari sejenis tebuan/tabuhan yang dikaitkan dengan peristiwa dimana salah seorang awak kapal yang sedang mencari air disengat tabuhan hingga jatuh pingsan. Walaupun peristiwa tersebut terjadi sebelum 1803, yaitu sebelum pulau ini dibuka,[6] peristiwa ini telah disetujui oleh tokoh budaya tempatan yang mengambil sempena nama pulau ini. Keadaan politik yang berubah dari masa ke masa juga menyebabkan perubahan nama pulau ini. "Pulau Penyengat Indrasakti" adalah nama baru yang membawa kemegahan kepada penduduknya, dan ia semakin dikenali oleh banyak orang. Sungguhpun begitu, Orang Belanda lebih suka menamainya "Pengjengat" atau "Pengjingat" manakala Orang Inggris lebih mudah menyebut "Peningat", "Pulo Pinigad" dan juga "the Island of Mars".

Pulau Penyengat dan Hubungannya dengan Kesusastraan.

Pulau Penyengat menjadi terkenal setelah menjadi pusat pentadbiran oleh pihak Yang Dipertuan Muda Riau, yaitu pada masa pemerintahan Raja Jaafar (1805-1831). Raja Jaafar dianggap sebagai perancang pembangunan yang memadukan nilai-nilai agama dan kebudayaan. Kemajuan pendidikan agama dan penerapan nilai-nilai Islam yang dicapai berkaitan erat dengan kewibawaan pembesar-pernbesar dalam pentadbiran. Pendidikan Agama Islam yang diajarkan kepada rakyat di Pulau Penyengat bercorak tradisional dan berpusat di istana serta di masjid. Selain pengajian al-Quran, juga diajarkan ilmu lain, seperti figh, usuluddin, dan tasawuf. Kitab-kitab yang menjadi bahan bacaan di antaranya adalah al-Thullab karya Abdul Rauf al-Singkel dari Aceh. Beliau merupakan guru agama Ungku Puteri dan keluarganya, termasuk Raja Jaafar (Yang Dipertuan Muda Riau). Ia berasal daripada Minangkabau dan meninggal dunia pada 1824. Selain Abdul Rauf al-Singkel, terdapat guru agama lain, seperti Abdul Rashid seorang Melayu, dan Syed Syeikh yang datang dan Melaka.

penyengat

Dalam masa pentadbiran Raja Jaafar, kegiatan organisasi tasawuf telah mulai berkembang, namun tidak terdapat data apakah raja Jaafar menjadi organisasi tersebut atau tidak. Kegiatan ini meahirkan banyak karya yang telah diterjemahkan antaranya, Sabil al-Hidayah wa’lRisyad fi Zikr Nubdhah min Fada’il al-Kutb al-Hadaddad karya Ahmad ibn Hassan ibn ’Abdillah Haddad ibn Sayid ’Aluwi Ba’aluwi dari Terim, Hadramaut. Dalam bidang syair, lahirnya Syair karangan Bintan Basa Melayu bertarikh 1226H (1811) yang tidak diketahui pengarangnya. Syair ini menceritakan tentang perayaan seorang raja di Bintan. Raja Jaafar mangkat di Lingga (kemudian dipindahkan ke Pulau Penyengat) pada 13 Rejab 1247H (18 Disember 1831).

Raja Abdul Rahman merupakan putera sulung Raja Jaafar menganntikan pentadbiran Riau. Beliau dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Riau yang ke-7 (1831-1844) untuk meneruskan agenda yang dibawa oleh ayahnya, yaitu meneruskan kegiatan keagamaan dan memantapkan kedudukan Pulau Penyengat sebagai pusat perkembangan syiar Agama Islam di rantau ini. Strategi yang dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan cara menjemput para ulama luar negeri berkunjung ke Penyengat. Di antara ulama-ulama tersebut adalah Habib Syeikh al-Sagoff, Syed Hassan al-Hadad. Kiai Beranjang, Haji Syahabuddin, Haji Abu Bakar Bugis, Syeikh Ahmad Jibrati. Kita lihat para ulama tersebut ada yang datangnya dari Timur Tengah dan ada juga yang datang dari Nusantara. Dimanakah guru-guru itu memberikan pengajarannya? Hai ini tidak begitu jelas, mungkin dilakukan di rumah salah seorang pembesar Penyengat ataupun di masjid. Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman dengan inisiatifnya telah membangunkan masjid teramat indah yang masih dapat kita jumpai pada hari ini. Masjid itu didirikan pada 1 Syawal 1249H (11 Febuari 1834).

Dalam zaman pentadbiran Raja Abdul Rahman (1834-44) telah muncul beberapa orang pengarang. Kemunculan bakat pengarang sebagai efek dari golongan ahli agama dan mereka yang bekerja dengan institusi agama. Karya-karya yang bersifat fiksyen yang tidak bercanggah dengan agama telah mula dihasilkan. Contohnya Syair Siti Zawiyah / Haris Fadzilah yang dihasilkan oleh Bilal Abu yang merupakan pegawai di Masjid Raya. Syair pada asalnya tidak tercatat nama pengarang pada teksnya tetapi dilihat pada catatan Klinkert yang kemudiannya.

"Syair Haris opgesteld door Toewan Bilal Ahoe priester aan de Moskee: op het eiland Pengjengat tahns 184 reeds dertig jaren dood. Afgeschreven door eene Maleische vrouw van Pengjingat of Mars"

Pada masa ini, juga lahir sebuah syair sejarah yang berjudul Syair Ungku Puteri yang dihasilkan oleh Raja Haji Ahmad ibn Raja Haji fi Sabilillah pada tahun 1260H (1844M).

Pada masa pentadbiran Raja Abdul Rahman ini, juga telah dihasilkan kitab terjemahan berjudul Kitab al-Hikam karya Tajuddin Abu’l Fadl Ahmad ibn Muhammad ibn Abdul Karim ’Ataullah. Pergerakan kegiatan tasawuf di zaman Raja Jaafar dan Raja Abdul Rahman juga telah membawa munculnya Tarikat Khalawatiyah/Sammaniyah yang sebelumnya aktif di Pulau Bayan.[7]

Pentadbiran Yang Dipertuan Muda Riau yang ke-8 (1844-57), yaitu Raja Ali bin Raja Jaafar telah menjadikan Pulau Penyengat semakin maju dan kegiatan agama serta kesusasteraan telah mula dipertingkatkan. Dalam masa yang sama beliau merupakan pengikut tasawuf Naqsyabandiah. Oleh karenanya, pada masa pentadbiran beliau, tasawuf ini berkembang sangat pesat. Dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya, Raja Ali telah mengadakan peraturan-peraturan tertentu di antaranya memerintahkan perempuan memakai tudung kepala, melarang rakyat berjudi dan menyabung, dan melarang pesta-pesta yang keraian. Dasar yang dilaksanakan oleh beliau adalah sangat berbeda dengan ayahandanya yang menggalakan pegawai-pegawainya untuk bermain muzik barat, seperti biola.

Dalam pentadbiran beliau juga, tarekat Naqsyabandiah yang dibawa oleh Syeikh Ismail mulai berkembang di Pulau Penyenga. Semua pembesar-pembesar di Pulau Penyengat telah menganut tarekat tersebut, di antaranya adik Yang Dipertuan Muda sendiri, yaitu Haji Abdullah dan sepupunya Raja Ali Haji, pengarang buku Tuhfat al-Nafis yang terkenal itu. Tarikat ini juga mendapat sambutan yang luar biasa,terutamanya dari para pembesar yang keturunan Bugis.

Dalam pentadbiran Raja Ali, kegiatan bersifat intelektual dalam pelbagai bidang di Pulau Penyengat semakin meningkat, dan kebanyakan mereka telah terdedah dengan kegiatan-kegiatan yang bercorak keagamaan dan kesusasteraan. Di antara tokoh-tokoh yang terkenal itu di antaranya adalah Raja Ali Haji, anak Raja Haji Ahmad yang merupakan pembesar dalam zaman pentadbiran Raja Jaafar. Raja Ali Haji dilahirkan pada tahun 1809, merupakan pengarang dari Pulau Penyengat yang paling berbakat, tidak sahaja karena melahirkan karya yang bayak, tetapi juga menguasai berbagai macam bidang keilmuan, seperti segi agama, sejarah, sastra dan bahasa. Pada tahun 1847, karya beliau yang berjudul Syair Sultan Abdul Muluk telah diterbitkan oleh Roorda Van Eysinga di Batavia. Beliau juga melahirkan Gurindam Duabelas, buku tatabahasa berjudul Bustanu al Katibin dan sebuah risalah kecil berjudul Muqaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Mulk Khususan Maulanan wa Sahibina wa Akhina Yang Dipertuan Muda Raja ’Ali al Madadbir al-Riauwiyyah wa Sairi Dairatihi. Karya ini diterbitkan pada 1857M. Kandungannya merupakan nasihat yang ditujukan terhadap Raja Ali, Yang Dipertuan Muda Riau kala itu. Nasihat-nasihatnya berdasarkan kepada hukum-hukum Islam.

Raja Haji Abdullah yang merupakan adik Yang Dipertuan Muda Riau, selain terkenal sebagai ketua organisasi Tarekat Naqsyabandiah, beliau juga seorang yang mempunyai bakat kepengarangan. Beliau lebih gemar menghasilkan karya yang berbentuk fiksyen syair. Karya pertamanya adalah Syair Madhi dalam tahun 1266H (1849M). Salah satunya tersimpan di Leiden dan pada naskah tersebut ada catatan Klinkert.

"Opgesteld door den vorigen onderkoning van Riouw Radja Abdoellah KI. Oct 1864."

Seorang lagi pengarang yang muncul pada masa ini, yaitu Daing Wuh yang berasal dari Pulau Penyengat. Beliau telah menghasilkan sebuah syair yang berjudul Syair Sultan Yahya. la merupakan sebuah syair fiksyen yang berlatarbelakang Timur Tengah. Salah satu naskahnya tersimpan di Universiti Leiden. Beliau telah meninggal dunia di Pahang pada tahun 1851. Di samping itu, juga terdapat pengarang yang menghasilkan Syair Sultan Mahmud pada pertengahan tahun 1850-an. Beliau adalah Encik Kamariah yang merupakan pengasuh Sultan Mahmud (Sultan Mahmud Muzaffar Syah 1844-57). Berdasarkan naskah yang disimpan di Universiti Leiden, terdapat juga catatan yang diberikan oleh Klinkert:

"Sjair Soelthan Mahmoed de vorige Sulthan van Lingga, die door het Gouv. Vervallen verkloard is van den troon. Opgesteld door Entjik Kamariah, de pengasoeh of kindermeid die sulthan Mahmoed heeft opgepast in zijne jeugd."

Raja Ali selaku yang dipertuan Muda juga menghasilkan sebuah syair yang bertajuk Syair Nasihat sebagaimana yang telah dibincangkan dulu. Beliau mempunyai pribadi yang sangat baik, warak, dan dalam menjalankan petadbiran mengikut lunas-lunas Islam serta gemar menjemput ulama-ulama luar untuk berkunjung ke Pulau Penyengat. Di antara para ulama yang pernah datang ke Penyengat adalah Saiyid Abdullah Bahrin dan Tuan Haji Hamim dari Banjar. Pada zaman ini, beliau sangat menekankan perkembangan intelektual seperti halnya dalam bidang agama dan sastra. Beliau meninggal dunia pada 23 Zulkaedah 1273H.

Selepas itu, wilayah Riau diambilalih pentadbirannya oleh Raja Haji Abdullah (1857-1858) sebagai Yang Dipertuan Muda Riau. Beliau seorang yang sangat alim dan warak sehingga ada pihak yang mengatakan beliau adalah Yang Dipertua Muda Riau yang sangat alim. Beliau adalah Yang Dipertuan Muda yang pertama menunaikan fardu haji di Makkah. Ini tidak mengherankan karena beliau berguru kepada Raja Ali Haji sepupunya. Di antara buku-buku yang diajarkan di Pulau Penyengat ketika itu ialah Umm al-Barahin dan Jaw-harat al-tawhid (ilmu usuluddin), Awamil dan Ajurumiyyah (tatabahasa Arab), Bidayat al-Hidayat dan Minhaj al’Abidin (tasawuf). Semasa menunaikan fardu haji, beliau mengambil kesempatan memperbaiki bacaan al-Quran. Ketika pulang, beliau membawa pulang dua orang ulama ke Riau, yaitu Syeikh Ahmad Jibrati dan Tuan Syahabudin ibn Syeikh Muhammad Arsyad Banjar.[8]

Dalam bidang kesusasteraan, selain melahirkan Syair Madi (18.19) beliau menghasilkan Syair Qahar Masyhur, yang saat ini tersimpan di Universiti Leiden. Terdapat catatan yang dibuat oleh Klinken.

"Opsteller Radja Abdoellah, de vorige onderkoning van Riouw, oom van den tegenwoordigen. Gestorven in 1858"

Teks ini dikarang oleh Raja Abdullah yang merupakan Yang Dipertuan Muda Riau, Bapa saudara kepada Yang Dipertuan Muda Riau pada masa itu (Raja Muhammad Yusuf (1858-1899)).[9]

Tokoh Pulau Penyengat.

Raja Ali Haji dilahirkan dalam masa Kesultanan Melayu Riau, yaitu kira-kira pada tahun 1809 hingga 1870. Beliau pernah dilantik sebagai penasihat utama Yang Dipertuan Muda Riau[10] dan ketokohannya bukan sahaja dalam bidang pentadbiran tetapi meliputi bidang penulisan. Para sarjana nusantara ada yang berpendapat bahwa Raja Ali Haji merupakan seorang pujangga terakhir dari peradaban Melayu lama.[11]

Pandangan tersebut didasarkan pada kenyataan bahwa pada saat ini tidak ada lagi peradaban Melayu sebagai pernah terjadi seblum abad ke 19. Pada abad tersebut, keberadaan sebuah negara kota seperti Melaka, Pasai dan Aceh yang mempunyai pelbagai tokoh yang sangat agung di nusantara, tidak kira sama ada dalam bidang kesusastraan atau bidang agama. Berbeda pula keadaannya setelah abad ke-19, pelbagai kegiatan berkembang di Pulau Penyengat dipelopori oleh Raja Haji Ali. Pujangga ini masyhur bukan hanya karena kepengarangannya saja, tetapi juga penguasaannya dalam disiplin keilmuan.

Hal ini jelas dapat dilihat dengan hasil karya beliau yang bukan saja sebagai salah satu sumber sejarah (Tuhfat al-Nafis) tetapi juga memberi garis panduan dalam bidang tata bahasa (Bustan al-katibin dan Kitab Pengetalman Bahasa) dan juga kenegaraan (Muqaddimah fi Intizam dan Thamaratul al-Muhimmah).

Perkembangan Ajaran Tarekat Naqsyabandiah.

Raja Muhammad Yusuf adalah seorang yang kuat mengamalkan amalan Tarekat Naqsyabandiah. Ia sering berkunjung ke Lingga, yaitu di Rodat, daik Lingga dan juga di Masjid Pulau Penyengat. Untuk memenuhi keperluan pengikut-pengikutnya melakukan wirid, beliau telah menghasilkan beberapa risalah yang telah diterbitkan. Salah satu karyanya yang paling terkenal adalah "Kaifiat al-zikri ’la Tarigatu’l muja-didiatu’l Ahmadiah" yang telah diterbitkan di Bandar Riau pada 1313H (1895M). Dari risalah ini, dapatlah kita lihat dua perkara penting yang menjadi titik tekan kegiatan tarekat ini di Riau, yaitu corak zikir yang diamalkan dan susur galur tarekat ini yang berkembang di Pulau Penyengat.

Perkembangan Alat Cetak.

Perkembangan alat cetak telah merancakkan lagi usaha Yang Dipertuan Muda kearah membina keintelektualan dikalangan para pembesar di Pulau Penyengat. Sejarah awal kegiatan percetakan di Pulau Penyengat tidak begitu jelas, namun dari beberapa data diperkirakan bearawal pada tahun 1880-an. Perkitaan ini dibuat berasaskan kepada terbitan beberapa buah karya Raja Ali Haji yang dicetak, seperti Muqaddimah fi Intizam al-wazaif al-Mulk, khususan ila maulana wa sahibna Yang Dipertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir al-Riauwiyah wa Sairi Dairatihi pada 1304H (1886M).

Selain itu juga, beberapa karyanya yang lain juga sempat dicetak ketika ia masih hidup, diantaranya Gurindam Duabelas yang diterbitkan oleh E. Netscher, Syair Abdul Muluk yang diterbitkan oleh P.P. Roora van Eysinga, dan Bustan al-Katibin dibicarakan oleh H. Von de Wall.

Perpustakaan di Pulau Penyengat.

Dalam pentadbiran di Pulau Penyengat, penguasaan terhadap agama Islam amatlah dititikberatkan. Pendidikan yang diberikan tidak bersifat formal, tetapi dengan cara mengundang guru-guru agama ke pulau ini. Kesempatan disediakan seluas-luasnya kepada para pembesar kerajaan dan para intelektual untuk memelajari dan memahami agama Islam. Di samping itu juga menyediakan bahan-bahan bacaan untuk rujukan. Ini secara tidak langsung memberikan inspirasi kepada Raja Muhammad Yusuf untuk menubuhkan perpustakaan. Perpustakaan ini terletak di kompleks bangunan Masjid Raya, Pulau Penyengat, dan kini dikenali sebagai Khutub Khanah Marhum Ahmadi. Perpustakaan ini dilengkapi dengan buku-buku tempatan dan juga tidak ketinggalan buku-buku arab yang dihadiahkan oleh Universiti al-Azhar Mesir.[12]

Sebagian sarjana yang pernah berkunjung ke Pulau Penyengat, seperti Hamka turut mengakui perpustakaan ini amat tinggi nilainya kerana mempunyai buku-buku yang mahal. Ia meliputi pelbagai bidang seperti fiqh, tafsir, tasawuf, dan falsafah. Selain itu, beberapa hasil karya yang dihasilkan pada zaman Raja Muhammad Yusuf dan hasil tulisan Raja Ali Haji serta keluarganya dapat ditemui diperpustakaan ini, seperti Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu serta Bugis. Sungguhpun begitu, terdapat kelainan yang di tampilkan oleh adik beliau[13] Raja Haji Daud ibn Rata Haji dimana ia menghasilkan karya yang berjudul Syair Pengiran Syarif Hasyim. Karya ini berunsur sejarah yang menceritakan keluarga diraja Riau, yaitu Pengiran Syarif Hasyim yang membantu Belanda mengalahkan musuhnya di Banjarmasin. Naskah ini juga disebut sebagai Syair Perang Banjarmasin, ditutis pada tahun 1287H (1870M)."

Kesimpulan

Kepulauan Riau tetap memainkan peranan yang sangat penting, dan memberikan sumbangan yang besar dalam memartabatkan warisan seni budaya dan bahasa Melayu dalam warisan tamadun di dunia. Sejak abad ke-18, Pulau Penyengat, Lingga, Batam dan Natuna bergerak cergas mengembangkan budaya, persuratan dan bahasa Melayu. Di samping itu juga melahirkan tokoh-tokoh yang dihormati, seperti Raja Ali Haji, Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi dan sebagainya. Sumbangan yang teristimewa apabila warisan puisi Gurindam Duabelas karya Raja Ali Haji mendapat tempat yang teristimewa di negeri-negeri Rumpun Melayu, dan menjadi teras jati diri Melayu serumpun. Paling istimewa lagi apabila dialek Melayu Riau diangkat menjadi percakapan baku Bahasa Melayu.


[1] Pembentangan Kertas Kerja di Seminar Peran Kepulauan Riau dalam Pembinaan dan Pengembangan Bahasa dan Tamadun Melayu Nusantara, Anjuran DMDI, Provinsi Kepulauan Riau, pada 29 November 2008. Catatan editor: Tulisan ini telah mengalami proses editing seperlunya.

[2] Merupakan Pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau juga merangkapAhli Lembaga Pengarah dan dan Pengerusi Biro Sosio Budaya Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
[3] Untuk keterangan lebih lanjut, rujuk artikel Mohd Zuhdi Marsuki, "Konsep Tamadun" dalam buku Tamadun Islam dan Tamadun Melayu, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, 2006, hlm 2.
[4] Pendapat ini dikemukakan oleh G.F. De Bruyn Kops dalam artikelnya yang bertajuk "Sketch of the Rhio-Lingga Archipelago" dalam Journal of Indian Archipelago (JIA) Jilid 8 dan 9, 1855.
[5] Brosur yang dikeluarkan oleh Bapparda, "Tk. 1.
[6] Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,1993, hlm. 5
[7] Sebelum pindah ke Pulau Penyengat, tarikat ini berpusat di Pulau Bayan.
[8] Ayah beliau Syeikh Muhd Arsyad Banjar, seorang ulama terkenal di nusantara ini. Salah satu kita yang dikarangnya adalah Sabila al-Muhtadin (1195 H / 1780 M)
[9] Berdasarkan catatan yang dibuat oleh Klinkert pada tahun 1864-1867.
[10] Yang Dipertuan Muda Riau Raja Ali (1845-1857)
[11] Dikemukakan oleh Mohd Taib Osman dalam salah satu artikelnya dalam majalah tempatan.
[12] Abu Hassan Sham, op.cit.
[13] Berdasarkan kepada naskah yang diperoleh di Perpustakaan Universtas Leiden


Dibaca : 3.782 kali.

Tuliskan komentar Anda !