Close
 
Jumat, 8 Mei 2026   |   Sabtu, 21 Dzulqaidah 1447 H
Pengunjung Online : 1.430
Hari ini : 29.018
Kemarin : 31.042
Minggu kemarin : 209.627
Bulan kemarin : 15.288.374
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Artikel

29 maret 2010 07:26

Malaysia dan Indonesia: Di Sebalik Metafora Saudara Serumpun dan Sebangsa

Malaysia dan Indonesia: Di Sebalik Metafora Saudara Serumpun dan Sebangsa

Oleh Awang Hasmadi Awang Mois

Pengenalan

Malaysia dan Indonesia adalah dua buah negara di Nusantara yang telah menarik perhatian ramai pedagang, pengembara, dan penjajah Eropah. Penduduk kedua-dua negara berbahasa Melayu tetapi seperti yang telah ditentukan oleh Tuhan Maha Kuasa, kedua-duanya terpisah oleh Selat Melaka di bahagian Barat Semenanjung Malaysia dan hanya terpisah oleh suatu garisan yang masih diperdebatkan sehingga kini di kawasan yang dikenali sebagai Kalimantan di bahagian daratan dan di Ambalat di bahagian laut berhampiran Sulawesi. Beberapa penulis sejarah Asia Tenggara berpandangan bahawa Selat Melaka, Laut Cina Selatan, Laut Jawa maupun Laut Sulawesi sebagai pemisah kedua bangsa; tetapi ramai juga pengkaji Nusantara yang beranggapan bahawa laut-laut besar itu sebenarnya penghubung beberapa pulau Indonesia dan Malaysia yang seolah-olah terpisah.

Pada zaman purbanya kedua-dua wilayah ini terkenal dengan wira-wiranya yang dikatakan cukup kebal dan gagah perkasa. Yang anehnya apabila penjajah dari Eropah datang di kedua-dua wilayah tersebut pada awal abad ke-16 dan ke-17 kekebalan dan kegagahan panglima atau wira Jawa maupun Melayu pada ketika itu seolah-olah tidak mencukupi untuk menyekat kemasukan, kemaraan dan keghairahan penjajah berkulit putih untuk merampas tanah di Indonesia dan Malaysia serta menjatuhkan maruah bangsa yang sebudaya dan seagama. Justeru sehingga tahun 1945 seluruh Indonesia telah dijajah oleh satu kumpulan bangsa Eropah bernama Belanda sementara Semenanjung Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia pula telah dijajah oleh satu lagi bangsa Eropah bernama British sehingga tahun 1957.

Boleh diakui bahawa penilitian dan perancangan awal kedua-dua bangsa Eropah ini cukup bijak sehingga kedua-dua wilayah Malaysia dan Indonesia telah terbahagi dua melalui apa yang dikenali sebagai perjanjian Anglo-Dutch pada tahun 1824. Seperti dewa-dewa Yunani purba yang begitu berpengaruh ke atas kehidupan wira-wira Greece dan Troy seperti Achilles, Ulysses, Raja Priam dan Hector yang diceriterakan oleh Homer dalam karya agungnya The Iliad, kedua-dua penjajah dari Eropah bernama Belanda dan British ini juga sangat berpengaruh dalam kehidupan dan minda kedua-dua bangsa semasa dan sesudah kedua-dua negara ini merdeka.

Apakah yang telah ditinggalkan oleh kedua-dua penjajah British dan Belanda kepada kedua-dua bangsa Nusantara setelah merdeka? Tanpa menyebut harta dan khazanah kedua-dua buah negara yang telah dibawa lari ke Muzium Amsterdam atau British Muzium di London, sebenarnya banyak perkara yang telah ditinggalkan oleh kedua-dua penjajah kepada Indonesia dan Malaysia. Antara tinggalan yang terbesar dan sangat penting dalam kehidupan penduduk kedua-dua negara ialah sistem pendidikan, sistem politik, sistem birokrasi dan lebih utama pada pandangan penulis ialah perbatasan yang memisahkan kedua-dua wilayah bernama Malaysia dan Indonesia.

Kesemua yang telah ditinggalkan oleh dua bangsa Eropah ini telah membentuk dan mempengaruhi minda dan pemikiran penduduk di wilayah Indonesia dan Malaysia. Kesannya berpanjangan dan terlihat dalam banyak dasar dan tindakan yang diambil oleh kedua-dua bangsa. Dengan terlukisnya sempadan antara Malaysia dan Indonesia semasa perjanjian British dan Belanda pada tahun 1824, maka lengkaplah proses pemisahan dan pengasingan antara kedua-dua bangsa. Syukur kita perbatasan yang dilukiskan oleh kedua-dua penjajah dan mentor Indonesia dan Malaysia tidak setinggi dan setebal Tembok Berlin yang suatu ketika memisahkan German Timur dan Barat atau sekejam dan sezalim tembok Yahudi tajaan Amerika yang sedang didirikan di bumi Palestin dengan kerjasama negara dan bangsa Arab bernama Mesir. Namun begitu, satu perkara yang menarik mengenai apa yang disebut sebagai “perbatasan” ialah sungguhpun ia hanya berupa sebatang kayu atau tembok setinggi dan sebesar Tembok Besar China -  cukup berpengaruh ke atas fikiran, minda maupun psikologi manusia.

Dalam bukunya yang bertajuk Nations and States, Nicholas Tarling telah mentakrifkan perbatasan (frontier) sebagai, “something that is crossed, characteristically from state to state, a line often dividing security from danger, neutrality from war. They are also something that is moved or advanced ... sometimes no more than lines on a map. They were often designed to avoid future disputes rather than resolve present conflicts. ... governments and peoples had to accept the frontiers they inherited, illogical though they might be, ineffective though they might have been (1998: 47-8).” Apa yang telah dinyatakan oleh Tarling mengenai perbatasan ini cukup benar kerana dalam hubungan Malaysia dengan Indonesia ia telah menjadi cukup bermasalah – ia telah memisahkan rakyat kedua-dua buah negara tetapi pada masa yang sama ia terbukti berjaya  menyekat dan mengelak berlakunya konflik pada masa kini maupun pada masa akan datang.

Tujuan Kertas Kerja

Sungguhpun Indonesia dan Malaysia sudah terpisah, diasuh serta terdidik oleh dua bangsa Eropah mengikut acuan dan gaya yang berbeza, pemimpin dan penduduk kedua-dua wilayah tetap menganggap dan melihat diri mereka sebagai “saudara” dan “sebangsa”. Malah sebelum Indonesia dan Malaysia mencapai kemerdekaan sudah ada beberapa usaha nasionalis Melayu dan Indonesia untuk menubuhkan apa yang disebut sebagai Melayu atau Indonesia Raya. Namun usaha besar seperti yang pernah diperjuangkan oleh Muhamad Yamin bersama Badan Penyelidik Usaha Kemerdekaan Indonesia (BPUKI) di Indonesia dan Ibrahim Yaacob bersama rakan-rakannya seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi pada tahun 1945 usaha untuk menjayakan gagasan Melayu Raya atau Indonesia tinggal impian sahaja kerana pelbagai masalah praktik (Abdul Rahman Embong 2001: 44).

Kertas kerja ini tidak berhasrat untuk membincangkan sesuatu yang baru; sebaliknya ia hanya cuba menyelidiki dan membincangkan secara mendalam maksud istilah “saudara” dan “sebangsa” dan bagaimana kedua-dua konsep telah membantu, membentuk di samping membantut beberapa perkara dalam hubungan Indonesia dan Malaysia. Lebih-lebih lagi makalah ini ingin melihat bagaimana kedua-dua negara yang mengaku ber-“saudara” dan “sebangsa” ini menangani suatu fenomena yang cukup mencabar iaitu apa yang disebut sebagai zaman pasca-moden atau fenomena globalisasi.

Keinginan untuk membicarakan konsep-konsep seperti “saudara” dan “sebangsa” ini timbul kerana sungguhpun penduduk Indonesia dan Malaysia sudah mengaku diri mereka sebagai “saudara” dan “sebangsa”, salah faham, malah konfrontasi atau pertentangan bersenjata pernah terjadi antara Indonesia dan Malaysia sehingga ramai yang terkorban dan hidup menderita. Ini tentu sekali menimbulkan persoalan adakah ini yang kita harapkan dari hubungan yang kita selalu laung-laungkan sebagai persaudaraan?

Penulis berpandangan bahawa apa yang terkandung dalam konsep seperti “saudara” atau “bangsa” amat penting untuk difahami dan dijelaskan supaya hubungan antar dua negara sentiasa terkawal dan terurus bagi faedah dan kebaikan semua. Lebih-lebih lagi konsep seperti “saudara” dan “hubungan saudara” amat penting diketahui supaya kita rakyat biasa tidak terpengaruh oleh apa yang boleh disebutkan sebagai inconsistency antara teori dan praktik dan lebih-lebih lagi perbezaan antara apa yang pernah disebutkan oleh pemikir Greek yang agung iaitu Plato sebagai beda antara appearance dan reality. Dalam tulisannya Plato pernah berkata bahawa apa yang terlihat di paras permukaan itu berbeda dari keadaan yang sebenar atau realiti. Yang di permukaan itu seolah-olah sentiasa dalam keadaan berubah-ubah (flux) manakala realitinya tidak berubah (fixed) dan kekal (eternal) Untuk tujuan itu penulis akan bermula dengan membicarakan konsep bangsa (nation) dan seterusnya akan melihat semula pengertian konsep saudara seperti yang difahami dalam pengajian kekerabataan (kinship studies) dalam bidang antropologi sosial.

Istilah bangsa adalah satu istilah yang cukup bermasalah dalam bidang antropologi. Pada peringkat awal perkembangan bidang antropologi, istilah bangsa ditakrifkan dalam bahasa Inggeris sebagai ras dan dikaitkan dengan ciri-ciri fizika manusia. Maka itu ada apa yang dikatakan sebagai bangsa Caucascoid, Negroid dan Mongoloid. Penduduk Melayu dan Jawa di Nusantara boleh dikategorikan sebagai bangsa Mongoloid. Suatu ketika di peringkat awal perkembangan disiplin antropologi perbezaan fizika antara manusia juga sering dikaitkan dengan keupayaan mental atau intelektualnya. Ini ternyata telah menjadi satu masalah sehingga pihak Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu telah campur tangan dan mengeluarkan satu dokumen yang menyangkal korrelasi tersebut.

Dalam penggunaan hariannya, istilah ”bangsa” boleh merujuk kepada kategori manusia yang mempunyai ciri-ciri fizika (phenotype) maupun ciri-ciri budaya tertentu. Justeru kalau kita bercakap tentang “bangsa Cina” apa yang dimaksudkan adalah seorang atau sekolompok manusia yang mempunyai cirri-ciri fizika, budaya dan bahasa tertentu. Memang dari segi teknikalnya istilah yang digunakan untuk merujuk kepada orang Cina bukanlah istilah yang tepat. Sebaliknya istilah yang lebih tepat digunakan adalah istilah suku kaum Cina (Chinese ethnic group).

Dalam bidang antropologi apa yang sering disebut sebagai bangsa oleh anggota masyarakat biasa sebenarnya dikenali sebagai nation. Menurut Anthony D Smith, istilah “nation” atau “bangsa” merujuk kepada satu, “named human population sharing an historic territory, common myths and memories, a mass public culture, single economic and common rights and duties for all members” (1995: 56-7; 1999: 37). Takrif yang diberikan oleh Smith menegaskan bahawa istilah bangsa merujuk kepada satu komuniti sosial atau budaya, satu komuniti yang mengongsi satu wilayah serta sejarah dan budaya sepunya. Sebaliknya Benedict Anderson (1991) mentakrifkan nation sebagai suatu komuniti politik yang diidamkan (imagined- dibayangkan, dihasratkan). Fenomena yang disebut sebagai bangsa itu disifatkan sebagai imagined kerana ahli-ahli sebuah bangsa yang terkecil sekalipun sebenarnya tidak mengenali, tidak pernah berjumpa, apatah lagi pernah mendengar tentang anggota masyarakat yang lain. Namun begitu dalam fikiran setiap anggota masyarakat itu memang wujud suatu gambaran tentang persekutuan atau perpaduan mereka.

Seterusnya saya akan cuba menghurai maksud “saudara” seperti yang dipakai oleh penutur bahasa Indonesia. Dalam Kamus Lengkap: Inggeris-Indonesia, Indonesia-Inggeris, karya Wojowasito dan Poerwadarminta istilah saudara telah ditakrifkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai brother, sister; friend; comrade, companion maupun colleague (1980: 243). Manakala istilah “bangsa” pula ditakrifkan sebagai people; race, stock; nation; family; generation; sex; rank, station; nobility; species, group (ibid, 39). Dalam Kamus Umum Bahasa Indonesia, J.S. Badudu dan Sutan Mohammad Zain telah mentakrifkan istilah “saudara” sebagai: (i) orang yang seibu dan sebapak; (ii) ada hubungan keluarga dan, (iii) teman, kawan, orang sekampung atau seper kumpulan (1996:1228).

Dalam Kamus Dewan (Bahasa dan Pustaka) takrif untuk istilah saudara hampir sama dengan apa yang terdapat dalam Kamus Indonesia karya Badudu dan Zain (ibid). Kamus Dewan mentakrifkan saudara sebagai: (i) orang yang sama ayah dan ibunya dan (ii) orang yang ada hubungan kekeluargaan, sanak (1989:1121). Menurut kajian klasik Judith Djamour di Singapura, istilah saudara, “…is applied to relatives by blood, by adoption, and sometimes with the addition of the term ipar to affines, saudara ipar.”

Menurut Robin Fox (1967:16-34) mereka yang disebut sebagai saudara atau apa yang disebut sebagai kin dalam bidang antropologinya selalunya terdiri daripada orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang sebenar (actual) atau sangkaan dengan ego. Malah hubungan kekeluargaan yang sebenar (genetic kinship)-lah yang menjadi model atau contoh bagi hubungan kekeluargaan yang bersifat rekaan (fictive). Maka itu dalam kajian tentang kekerabatan (kinship) mereka yang dikatakan mempunyai pertalian darah tidak semestinya mempunyai hubungan sedarah yang sebenar. Sebaliknya hubungan itu boleh bersifat andaian (assumed) anggaapan (putative) atau rekaan (fictive). Yang penting ialah pengakuan masyarakat ke atas siapa yang didakwa sebagai “saudara”. Dalam kehidupan bermasyarakat memiliki atau mempunyai saudara itu sangat penting kerana setidak-tidaknya kalau seseorang itu ada saudara dia ada kedudukan sosial; sebaliknya orang yang tidak bersaudara itu adalah seperti orang yang mati yang terbaring bersendirian dan tanpa berteman. Seperti yang tersebut dalam peribahasa Melayu seseorang yang tidak bersaudara adalah seperti, “sebatang kara”.

Signifikan dan Ciri-ciri Saudara

Semua orang sudah sedia maklum apa gunanya saudara dalam kehidupan manusia atau kehidupan bermasyarakat. Pada asasnya hubungan kekerabatan atau saudara ini digunakan oleh setiap manusia untuk menjalin ikatan sosial. Ia memberikan seseorang manusia hak (rights), tuntutan (claims) tanggungjawab (obligations) dan juga ikatan (contract). Bagi seseorang yang pernah melihat sendiri hubungan ini dalam keluarga orientasi atau familinya dia mungkin sudah melihat bagaimana hubungan seorang anak (ego) dengan seorang ayah yang dikira berada memberikan seorang anak itu kedudukan sosial (social status) dan hak (penggunaan) ke atas harta yang dimiliki oleh seorang ayah seperti kereta Mercedes siri terbaru seorang ayah, tuntutan insurans ayah yang banyak kalau seorang ayah itu meninggal kerana kemalangan, tanggungjawab untuk menjaga nama baik ayah dan semacam perjanjian atau kontrak untuk menjaga ayah apabila si ayah sudah pension dan tidak boleh bekerja lagi.

Apakah pandangan ahli-ahli antropologi Barat tentang mereka yang mempunyai hubungan saudara atau keluarga. Menurut Keesing, “Close relatives, or fellow clansmen, should support one another, cooperate, avoid quarrels, and so on; yet the anthropologists often observe enmity, not amity, subversion not support, and feuding, not solidarity”(1975:125). Tambah Keesing lagi, kalau dilihat pada apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang saudara kepada saudaranya yang lain memang terdapat kesejajangan antara teori dengan praktik dan apa yang disebut sebagai yang ideal dengan yang  actual (ibid).

Apakah sebabnya perkara seperti ini boleh berlaku? Pada pandangan penulis, manusia dari kedua-dua wilayah yang mengaku diri mereka bersaudara adalah cucu-cicit Adam dan Hawa. Oleh kerana mereka cucu-cicit Adam dan Hawa mereka tidak berbeza dengan anak-anak Adam dan Hawa yang pertama dan kedua iaitu Habil dan Qabil. Qabil telah membunuh adiknya Habil hanya semata-mata beliau ingin mengahwini kembarnya yang cantik yang telah dijodohkan oleh ayahnya Adam dengan si Habil. Ternyata dalam kes Qabil ini manusia sudah digambarkan sebagai mahluk yang berkecenderungan untuk mengutamakan kepentingan peribadi (self-interest) daripada perintah Tuhan yang Maha Esa yang menjadikannya apatah lagi perintah kedua-dua ibu-bapa yang bergelar manusia yang dipandang hina oleh mahluk bernama Iblis kerana sifatnya yang berasal dari tanah. Bukan kepentingan peribadi sahaja yang mempengaruhi fikiran dan tindakan manusia.

Sebaliknya manusia yang mengaku bersaudara dari Indonesia dan Malaysia ini juga sentiasa dipengaruhi oleh matlamat yang ingin dicapai (goal attainment). Justeru Keesing telah berkata bahawa kinship atau hubungan saudara adalah bahasa atau idiom yang digunakan untuk memajukan kepentingan politik dan memaksimakan matlamat ekonomi. Dalam hubungan Indonesia dan Malaysia sifat-sifat mengutamakan kepentingan diri dan memaksimakan matlamat ekonomi masing-masing sentiasa berlaku. Persoalan yang boleh kita bangkitkan ialah adakah sifat atau ciri-ciri ini luarbiasa atau aneh dalam hubungan saudara? Pada pendapat penulis kalau Qabil anak Adam boleh dijadikan simbol untuk mewakili manusia maka ciri atau sifat cenderung mengutamakan kepentingan sendiri, bertindak tidak mengikut hukum atau amarah bukanlah perbuatan yang luarbiasa atau ganjil kepada manusia.

Menurut C.C. Harris hubungan saudara adalah hubungan yang dicirikan oleh tanggungjawab yang informal dan pelbagai antara pihak-pihak yang terlibat (1990: 84). Dalam hubungan yang bersifat tidak formal dan luas (diffuse) ini sikap percaya atau yakin (trust) antara satu sama lain sangat penting untuk mengukuhkan hubungan dan persaudaraan. Sebaliknya, sifat ingin mendapat keuntungan atau kelebihan individu (individual advantage) bukanlah asing dalam hubungan antar saudara.. Sebaliknya ia memang berlaku malah hubungan saudara atau kekerabatan sering dicirikan oleh permusuhan dan persaingan, kasih sayang dan kerjasama, benci dan persaingan, sikap mengutama dan mempertahankan diri, tawar menawar (negotiation), pertukaran tetapi bukan pertukaran yang sama nilai (equivalent), egoisme dan kelebihan (advantage).

Dalam konteks hubungan antar Indonesia dan Malaysia oleh kerana terdapat anggapan bahawa kita bersaudara, serumpun bangsa dan seagama maka besarlah lagi tanggungjawabnya, besarlah lagi harapan (expectations) rakyat kedua-dua buah negara pada hubungan yang telah terjalin antara kita. Lantas makin sukarlah lagi usaha untuk mengelakkan diri daripada melaksanakan tanggungjawab sepunya atau bersama dan lagi kecillah kemungkinan untuk perundingan (negotiation) dan lagi besarlah ganjaran atau sanksi yang mengiringi pencapaian tanggungjawab yang telah dilaksanakan. Secara keseluruhannya Harris merumuskan bahawa hubungan saudara adalah hubungan yang bersifat partikularistik, dipengaruhi emosi (affective), diperakui (ascribed) dan mempunyai kepentingan yang sangat luas (diffuse) (1990: 59). Dari segi sifatnya hubungan ini bertentangan dengan hubungan ekonomi tetapi yang anehnya ia berlaku serentak malah wujud bersama dengan hubungan ekonomi. Sebagai hubungan yang bersifat primer ia dipenuhi dan dipengaruhi oleh pelbagai emosi, tidak terlepas daripada persaingan dan gejala mengutamakan diri.

Hubungan Malaysia-Indonesia Dari Segi Realiti

Seperti juga air di laut hubungan antar Indonesia dan Malaysia sering mengalami pasang dan surut. Sebagai seorang yang mempunyai minat personal dan intelektual mengenai apa yang berlaku di Indonesia, terutamanya di Kalimantan Barat, apabila tercetusnya krisis mengenai Blok Ambalat di Laut Sulawesi penulis selalunya dengan cepat melayari internet untuk mengetahui reaksi rakyat Indonesia terhadap krisis antar dua negara. Ternyata dalam banyak isu rakyat Indonesia begitu tersinggung dengan tindakan Kerajaan Malaysia misalnya menangkap buruh asing yang tidak berdokumen atau “Pendatang Asing Tanpa Izin” (PATI). Rata-rata wartawan Indonesia menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak adil”.

Masalah dan perasaan tidak puas hati bertambah tegang berikutan dengan krisis seperti Blok Ambalat di Laut Sulawesi dan beberapa lagi isu yang tidak berkeseduhan selepas itu termasuk isu tarian pendet dan kisah cinta dan asrama yang tidak bahagia antara seorang puteri Indonesia dengan seorang Putera Diraja sebuah negeri Melayu di Malaysia.. Yang menarik perhatian rakyat Malaysia ialah begitu banyak ruang yang diberikan oleh surat khabar Indonesia mengenai isu yang bersifat dua-hala ini jika dibandingkan dengan ruang yang diberikan oleh surat-surat kabar Malaysia yang rata-ratanya milik dan dikawal oleh parti yang berkuasa alias pemerintah Malaysia yang ada. Malah ramai rakyat Malaysia hanya tahu adanya krisis antara Malaysia dengan Indonesia setelah diberitahu kawan melalui e-mel dan sebagainya. Dan apabila mulai sedar berlakunya krisis antar dua negara kita mulai mendengar semula laungan yang biasa seperti “Ganyang Malaysia” dan sebagainya.

Laungan, ancaman dan pelbagai kenyataan dan tuduhan surat kabar Indonesia terhadap Malaysia memang cukup terasa oleh penduduk Malaysia yang ramai daripada mereka Melayu dan beragama Islam. Ancaman dan beberapa ugutan yang serius dan menakutkan member semacam gambaran bahawa persahabatan dan persaudaraan antara dua negara yang serumpun bangsa sudah hampir hancur. Seperti satu kisah persahabatan atau cinta yang hampir musnah tibalah masanya untuk kedua-dua pihak yang bertelingkah menceritakan keburukan dan aib lawan. Sebagai warga Malaysia yang sentiasa memerhati perkembangan yang sedang berlaku di Indonesia laungan dan slogan perang seperti “Ganyang Malaysia”, “Pos Koordinasi Ganyang Malaysia” “Konfrontasi” “Relawan Bersenjata Indonesia Siap Berangkat” memberi gambaran bahawa jiran tetangga kita Indonesia sudah mulai binggung dan tidak terpikul pelbagai masalah besar yang telah dibawa oleh apa yang dikenali dalam dunia akademik sebagai kesan buruk globalisasi, khususnya kesan buruk kebanjiran buruh Indonesia yang menyemberangi sempadan Malaysia-Indonesia untuk mencari rezeki dan kerja secara massa.

Penghijrahan rakyat Indonesia secara massa bukan sahaja menyedari Malaysia bahawa kita sudah berhadapan dengan satu kesan globalisasi malah serentak mengingkatkan rakyat Malaysia bahawa negara Malaysia seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada program transmigrasi Indonesia. Hampir semua rakyat Indonesia sudah tahu bahawa program transmigrasi yang telah dilancarkan secara besar-besaran semasa Orde Baru cukup bermasalah kepada transmigran dan penduduk yang menerima transmigran!

Ramai rakyat Malaysia tahu bahawa sejumlah besar buruh Indonesia yang bermigrasi ke Malaysia telah datang dengan dokumen yang sah. Sebaliknya ramai juga rakyat Malaysia yang tahu bahawa oleh kerana pelbagai masalah di tempat asal mereka ada sebilangan pendatang dari Indonesia yang datang ke Malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah. Malah ada yang sanggup menyeberangi laut dan melintasi hutan menggadaikan nyawa datang untuk ke Malaysia semata-mata untuk mencari pekerjaan dan nafkah bagi menyara keluarga di NKRI. Cerita tentang pelbagai masalah yang dialami oleh pekerja Indonesia semasa mereka berada di Malaysia sebenarnya telah diperburukkan lagi oleh satu komponen penting kepada proses dan fenomena yang bernama globalisasi yang cukup menonjol sifatnya dan sangat berbahaya pengaruhnya iaitu peranan media massa.

Seorang ahli antropologi Islam yang terkenal Akbar S. Ahmed pernah berkata bahawa dalam era globalisasi media massa cukup merbahaya pengaruhnya sehingga beliau melabelkannya sebagai, “ the evil demon ” atau hantu yang jahat (1992: 222). Sekiranya komponen globalisasi yang satu ini tidak diperbudayakan mengikut tatasusila ketimuran, tempatan (localised) atau hukum-hukum Islam (Islamised), sebaliknya menurut saja etika media massa Barat iaitu tempat asalnya, maka seluruh hubungan baik atau persaudaraan  yang telah terjalin antara dua negara akan menjadi mangsa dan boleh berakhir dengan perperangan dan kehancuran.

Penulis percaya sepanjang krisis Indonesia dan Malaysia, warga Indonesia sendiri tidak dapat menentukan siapa sebenarnya yang telah mempermainkan siapa: warga dan pemerintah Indonesiakah yang mempermainkan media-massanya sebagai strategi untuk cuba menakut-nakutkan pemerintah dan rakyat Malaysia di seberang Selat Melaka atau media-massa Indonesia sendiri yang telah mempermainkan warga Indonesia untuk mendapatkan keuntungan secepat dan sepanjang berlakunya krisis diplomatik itu. Yang jelas kalau kita mengikuti perkembangan dalam media massa Indonesia pada sepanjang konflik diplomatik itu terlihat seolah-olah Indonesia sudah mahu melancarkan perang – atau konfrontasi – konfrontasi kali kedua atau kalau dijumlahkan sekali dengan krisis “Tarian Pendet” dan “Kisah Cinta dan Asmara puteri Indonesia dan Putera Malaysia” yang tidak bahagia dan kekal selamanya itu kita sudah ada empat konfontasi yang terbesar antar Malaysia dan Indonesia. Dan kalau menurut laporan dalam media massa Indonesia, relewan-relewan perang dari Indonesia seolah-olah sentiasa siap siaga, menunggu untuk digugurkan dari kapal terbang Indonesia di atas bumi Malaysia setiap kali berlaku persengketaan antara Indonesia dan Malaysia.

Perkembangan ini sangat menarik kepada peniliti di Malaysia kerana sepanjang beberapa krisis antara Malaysia dan Indonesia rakyat Malaysia telah melihat dan mendengar negara mereka dikritik dengan teruk dan bendera yang menjadi lambang kemegahan rakyat Malaysia dengan sedihnya  dibakar sewenang-wenang dan sesuka hati oleh sauda-saudara mereka di Indonesia. Namun begitu, majority rakyat Malaysia meneruskan kehidupan seperti biasa kerana bagi rakyat Malaysia semua yang terjadi itu perkara teknikal dan birokratik dan harus diselesaikan mengikut sifatnya. Memang rakyat Malaysia pun turut khuatir memikirkan bagaimana caranya negara kita akan mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja kalau PATI yang menjadi buruh haram ini kesemuanya dimasukkan ke penjara dan jika memang kehendak Allah berlaku lagi konfrontasi bersenjata antara Malaysia dan Malaysia.

Kita juga terfikir tentu sekali banyak cukai yang kita harus bayar kerana semua pendatang atau pekerja asing yang dipenjarakan itu harus diberi makan dan dibayar elaun hariannya. Kita juga sedar bahawa apa yang berlaku ini semuanya berpunca dari gara-gara beberapa pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab di Malaysia menjemput dan melayani warga Indonesia tanpa mematuhi  prosedur yang sah, tidak mengikut prinsip-prinsip yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa apa tah lagi oleh agama Islam. Ia juga berlaku kerana ramai rakyat Indonesia yang tidak menyedari bahawa yang bertanggungjawab melayani dan menindas pekerja-pekerja dari Indonesia dengan kejam dan tanpa perikemanusiaan itu sebenarnya bukan Melayu dan bukan Islam. Rakyat Indonesia juga terlupa sifat masyarakat di Malaysia sama kompleks seperti Indonesia dan tidak melayani saudara-saudara pekerja sama ada yang haram atau yang halal dari Indonesia mengikut hokum dan kehendak dan hokum Islam itu juga bukan orang keturunan Islam.

Rumusan

Isu-isu yang menyentuh hubungan Indonesia-Malaysia adalah isu-isu kompleks yang telah ditinggalkan oleh penjajah kedua-dua bangsa dan kedua-dua negara. Sebagai negara-negara yang melihat dan mengaku diri saudara dan sebangsa isu-isu yang melibatkan kedua-dua buah negara harus diselesaikan mengikut prinsip-prinsip hidup sebagai saudara atau sebagai satu keluarga yang sama bangsa dan sama agama. Dalam era manusia sudah bercakap tentang ketiadaan sempadan, sempadan yang telah dilukiskan oleh mentor dan penjajah kedua-dua buah negara tidak harus kekal menjadi batu atau tembok yang menghalang kerjasama dan kemakmuran rakyat kedua-dua buah negara. Suatu perubahan besaar dari segi pendekatan dan minda tentu sekali diperlukan oleh dua buah negara yang sudah merdeka dan antara negara yang mempunyai sejarah dan tamaddun yang tertua di Nusantara.

Senarai Bacaan

  • Abdul Rahman Embong. (2001). Negara-Bangsa: Proses dan Perbahasan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Ahmed, Akbar S. & Donan, Hastings. (1994), Islam, Globalization and Postmodernity. London & New York: Routledge.
  • Ahmed, Akbar S. (1992), Postmodernism and Islam: Predicament and Promise. London Routledge.
  • Ave, Jan B. Victor T. King & Joke G.W. De Wit. (1983). West Kalimantan: A Bibliography. Holland/Usa: Foris Publications.
  • Awang Hasmadi Awang Mois. (1998). Kalimantan Barat: Prospek Kajian Borneo. Seminar Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, 26-27 September.
  • Awang Hasmadi Awang Mois. (2002). “Globalisasi dan Kebudayaan: Pengalaman Sarawak”. Dlm. Mohd Yusof Kasim & Sabihah (pnyt). Sarawak dan Sabah dalam Arus Globalisasi. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Awang Hasmadi Awang Mois. (2002). “Rungutan Dayak di Kalimantan“, Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia Kelapan. Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi & Universitas Padjajaran Bandung, Bangi. 8-10 Oktober.
  • Awang Hasmadi Awang Mois. (2002). ”Masyarakat dan Budaya di Kalimantan Barat”. Dlm Rumpun Melayu-Polinisia. Bil. 16. Oktober. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu.
  • Awang Hasmadi Awang Mois. (2005). “Kajian Kalimantan dan Signifikannya dalam Hubungan Malaysia-Indonesia”. Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia Kesembilan. Anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi & Universitas Padjajaran Bandung, UNPAD Bandung 10-12 Mei 2005.
  • Blust, Robert (1984) “Indonesia as a Field of Linguistic Study” in P.E. De Josselin De Jong (ed.). Unity and Diversity: Indonesia as a Field of Anthropological Study. Dordrecht-Holland/Cinnaminson-U.S.A: Foris Publications.
  • Davies, Merryl Wyn. (1988). Knowing One Another: Shaping an Islamic Anthropology. London& New York: Mansell Publishing.
  • Djamour, Judith. (1965). Malay Kinship and Marriage in Singapore. London: The Athlone Press.
  • Giddens, Anthony. (1989). Sociology. Cambridge: Polity Press.
  • Harris, C.C. 1990. Kinship. Milton Keynes: Open University Press.
  • Josselin De Jong, P.E. de (ed.). (1984). Unity and Diversity: Indonesia as a Field of Anthropological Study. Dordrecht-Holland/Cinnaminson-U.S.A: Foris Publications.
  • Josselin de Jong, J.P.B. (1983). “The Malay Archipelago as a Field of Ethnological Study”, in P.E. De Josselin de Jong (ed.). Structural Anthropology in the Netherlands. A Reader, The Hague: Martinus Nijhoff, KITLV, Translation Series 17, pp. 164-182.
  • King, Anthony D. (ed.). (1991). Culture, Globalization and The World System. London: Macmillan.
  • King, Victor. (1972). “Additional Notes on the Malohs and Related People of Kalimantan Barat: The Value of Dutch Ethnography”, Sarawak Museum Journal, Vol. XX, nos. 40-41 (new series), 83-105
  • Lee Khoon Choy. (1999). A Fragile Nation. Singapore: World Scientific.
  • Smith, Anthony D. 1995. Nations and Natonalism in a Global Era. Cambridge: Polity Press.
  • Smith, Anthony D. 1999. “The Nation: Real or Imagined” In Eds. Edward Mortimer and Robert Fine. People Nation and State. London: I.B. Tauris Publishers.
  • Tarling, Nicholas. 1998. Nations and States in Southeast Asia. Cambridge: Cambridge University Press.

Surat Khabar

  • Antara News online, March 16 2005
  • Banjarmasin Post online 16 Maret 2005
  • Pontianak Post online Rabu, 16 Maret 2005
  • Akcaya Online 16 April 1998

__________

Awang Hasmadi Awang Mois, Department of Sociology-Anthropology, Universiti Brunei Darussalam.

Sumber Foto: Dokumentasi BKPBM/www.MelayuOnline.com


Dibaca : 3.120 kali.

Tuliskan komentar Anda !