Close
 
Selasa, 19 Mei 2026   |   Arbia', 2 Dzulhijah 1447 H
Pengunjung Online : 1.608
Hari ini : 20.379
Kemarin : 19.896
Minggu kemarin : 249.195
Bulan kemarin : 15.288.374
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Berita

26 april 2007 08:39

Sekolah Kembar Pererat Kuala Lumpur - Jakarta

Sekolah Kembar Pererat Kuala Lumpur - Jakarta
Putrajaya- Program sekolah berkembar antara Malaysia dan Indonesia yang bakal dimeterai Julai ini mengeratkan lagi hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pendidikan antara kedua-dua negara, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Hishammuddin berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu membolehkan pelbagai kegiatan pertukaran pelajar dan guru diadakan antara sekolah terbabit.

Katanya, persetujuan mengadakan program sekolah berkembar itu dicapai pada Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo) ke-42 yang diadakan, di Bali, baru-baru ini.

“Program ini diharap mampu mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan guru di kedua-dua negara,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pelajaran Indonesia, Prof Dr Bambang Sudibyo, di pejabatnya, di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, program sekolah berkembar itu akan membabitkan sekolah yang pernah dihadiri pemimpin kedua-dua negara, iaitu sekolah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan sekolah Presiden Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, juga sekolah Najib dan Yusuf.

“Ia sebagai simbolik kepada program pertukaran pelajar dan guru sedia ada dengan Indonesia,” katanya sambil menambah ia juga membabitkan sekolah beliau dengan Dr Bambang.

Mengenai pertemuannya dengan Menteri Pelajaran Indonesia itu, Hishammuddin berkata, mereka membincangkan persiapan Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Majlis Seameo ke-43 tahun depan serta pelbagai perkara membabitkan isu pendidikan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Dr Bambang berkata, Indonesia berminat untuk belajar daripada kejayaan dan pengalaman Malaysia merangka program pendidikan berkualiti untuk dilaksanakan.

“Indonesia berharap hubungan erat terjalin menerusi Seameo boleh dijadikan landasan kepada Indonesia untuk menimba pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam bidang pendidikan,” katanya.

Hishammuddin yang turut menerima kunjungan Duta China ke Malaysia, Cheng Yonghua, kemudian berkata, beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke China pada 19 hingga 25 Mei ini atas jemputan kerajaan negara itu.

Katanya, lawatan yang turut disertai timbalannya, Datuk Hon Choon Kim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta itu diharap akan menjurus kepada hubungan kerjasama lebih terbuka antara kedua-dua negara.

“Selain mengadakan perbincangan dengan Kerajaan China, saya juga akan melawat beberapa sekolah sukan dan sekolah seni bagi membantu kementerian mengukuhkan lagi pengisian Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan,” katanya.

Sumber:

www.bharian.com.my (Berita Harian Malaysia)
Dibaca : 1.743 kali.

Tuliskan komentar Anda !