Close
 
Minggu, 16 Agustus 2026   |   Isnain, 2 Rab. Awal 1448 H
Pengunjung Online : 416
Hari ini : 11.888
Kemarin : 43.662
Minggu kemarin : 179.363
Bulan kemarin : 11.454.048
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Berita

01 november 2013 15:01

Nasib Bahasa Melayu Ada di Tangan Kebijakan Kerajaan

Nasib Bahasa Melayu Ada di Tangan Kebijakan Kerajaan

Kota Kinabalu, Malaysia - Bukan sekadar acara tahunan, penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 dilihat sebagai bukti kukuh keazaman pihak kerajaan secara berterusan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, tanpa keazaman politik kerajaan dan sokongan padu daripada setiap lapisan masyarakat, bahasa Melayu kemungkinan akan berhadapan dengan zaman surut yang pastinya sukar untuk dipulihkan.

Katanya, selain dua faktor utama tersebut, keputusan kerajaan menggubal dasar nasional demi memastikan bahasa kebangsaan digunakan secara meluas dalam semua bidang dilihat sebagai satu tindakan tepat.

Menurutnya, hakikat bahawa bahasa Melayu memainkan peranan dan sumbangan besar dalam pembinaan bangsa dan pembentukan negara bangsa tidak dapat dinafikan sama sekali dan hanya golongan jahil sejarah yang berani menafikannya.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang gigih memartabatkan bahasa kebangsaan dengan sokongan semua pihak kerana ia mencerminkan iltizam kita untuk terus memperkukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya dalam ucapan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 peringkat negeri Sabah dan pelepasan Konvoi Kembara Bahasa, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin.

Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asminar Sukardi; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Rosli Abd. Ghani dan Pengarah DBP negeri, Jamaluddin Mohd. Sulong.

Mengulas lanjut, Musa turut mengingatkan orang ramai untuk tidak mengambil mudah atau memandang remeh terhadap bahasa kebangsaan yang merupakan landasan terbaik menyatukan semua bangsa di negara ini.

Katanya, selain memastikan kedaulatan bahasa kebangsaan terus terjamin dan terpelihara, usaha memperluas penggunaan bahasa itu perlu dilakukan bermula dari peringkat sekolah serta dalam bidang lain termasuk pentadbiran dan kehakiman.

Tegas beliau, warga universiti terutama dalam kalangan pensyarah juga perlu memperlihatkan iltizam mereka dalam menggunakan bahasa kebangsaan kerana pelaksanaan itu dilihat telah berjaya melahirkan siswazah berkualiti.

"Gesaan ini sebenarnya bukan suatu yang baharu dalam melahirkan modal insan berjaya kerana ia pernah dilaksanakan suatu masa dahulu dan terbukti berjaya melahirkan siswazah berkualiti, bahkan mampu menghasilkan buku ilmiah, kajian serta tesis hebat di pelbagai peringkat pengajian.

"Namun, soal memperkasakan bahasa kebangsaan bukan hanya dipikul oleh warga pendidik semata-mata, malah usaha itu juga harus disokong oleh seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa," katanya.

 

Sumber: http://www.utusan.com.my


Dibaca : 1.306 kali.

Tuliskan komentar Anda !