Close
 
Sabtu, 5 September 2026   |   Ahad, 22 Rab. Awal 1448 H
Pengunjung Online : 320
Hari ini : 10.485
Kemarin : 28.306
Minggu kemarin : 32.264.566
Bulan kemarin : 43.463.948
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Berita

28 mei 2015 07:36

Memelihara Seni Dondang Sayang

Melaka, Malaysia - Dondang sayang merupakan sejenis persembahan balada cinta Melayu tradisio­nal yang mana para penyanyinya bertukar-tukar pantun tanpa persediaan dalam gaya yang riang dan adakalanya menimbulkan suasana lucu.

Kebolehan berpantun bukan sa­haja dimiliki oleh orang Melayu tetapi masyarakat Baba Nyonya, Portugis dan Chitti.

Senario ini jelas dapat dilihat di negeri Melaka, apabila kaum-kaum lain boleh meyanyikan dondang sayang dengan baik sekali.

Dondang Sayang juga dikenali dengan nama Dendang Sayang oleh orang Melaka dan ia membawa dua pengertian iaitu apabila di­sebut ‘berdendang’ bermakna ‘ber­nyanyi’ untuk bersuka-suka atau menghiburkan hati.

Apabila disebut ‘sayang’ ia akan mebawa erti ‘kasih’ iaitu melakukan gerak-laku yang lembut dan penuh mesra.

Melalui dua pengertian tersebut maka bolehlah didefinisikan Dondang Sayang atau Dendang Sa­yang itu lagu ‘Kasih’ atau nyanyian ‘Kasih’.

Dondang sayang wujud di Me­laka sejak kurun ke-16 dan ia dipercayai dipengaruhi muzik tradisio­nal masyarakat Portugis.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, nyanyian itu dipersembahkan untuk menghi­bur­kan tetamu dan pedagang yang singgah di Melaka.

Namun begitu, seni persembahan tersebar keluar dari lingkungan istana setelah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka.

Pada masa itu, nyanyian dondang sayang masih merupakan puji-pujian tentang kebesaran Kerajaan Melayu Melaka dan kesedihan kerana kejatuhannya.

Ia kemudian dikembangkan oleh pembesar yang meminati seni ini lalu tersebar pula kepada rakyat jelata.

Terdapat satu perkara yang menarik, iaitu dondang sayang bukan sahaja terdapat di Malaysia malah ia juga dikenali di Singapura dan Indonesia terutama Sumatera.

Namun begitu, terdapat perbezaan yang jelas terutama dari segi lenggok dan loghat nyanyiannya.

Apabila lagu dondang sayang semakin diminati ramai, lagu ini didendangkan dengan iringan rebab, rebana dan tetawak dan kemudian menjadi kegemaran keturunan Ba­ba Melaka.

Manakala di kepulauan Riau, don­dang sayang sering dijadikan persembahan pembukaan sebelum sesuatu acara atau majlis diadakan.

Kini, persembahan dondang sa­yang diiringi alat muzik seperti biola, rebana, gong atau tetawak, gendang dan akordion.

Kebiasaannya persembahan don­dang sayang akan diiringi oleh seseorang pemain biola, rebana, tetawak dan dua orang pemain gendang.

Alat muzik ini merupakan gabungan simbolik yang mencerna satu sejarah kegemilangan negeri Melaka pada masa dahulu.

Era 1950-an adalah zaman peralihan bagi dondang sayang apabila seni persembahan ini semakin diminati ramai.

Dondang sayang mula mendapat tempat yang lebih meluas apabila ia disiarkan menerusi radio, sejak tertubuhnya Jabatan Penyiaran yang dikenali sebagai Radio Malaya ketika itu.

Ramai penyanyi dan pemantun dondang sayang dilahirkan dari pentas bangsawan, antaranya S. M Salim (Tan Sri) dan Normah Salim.

Penghujung era tahun 1950-an, dondang sayang maju setapak lagi apabila mula dipertandingkan di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sempena majlis sambutan tertentu seperti perayaan hari ulang tahun kemerdekaan negara.

Kini dondang sayang antara seni persembahan yang amat diminati oleh orang ramai.

Popularitinya merentasi gene­rasi terutamanya di negeri Melaka kerana semua peringkat usia mengemari irama dondang sayang ini.

Malah dondang sayang turut dilestarikan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak secara bersendirian.

Sumber: http://www.utusan.com.my


Dibaca : 1.153 kali.

Tuliskan komentar Anda !