Anda pengunjung ke 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
AGENDA
Belum ada data - dalam proses
Berita
03 mei 2007 09:18
Pameran Sulung Kebaya Nyonya Di Melbourne Khamis Ini
Melbourne- Pameran sulung Kebaya Nyonya di Muzium Imigresen di sini yang akan dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Jannette Howard, isteri Perdana Menteri Australia John Howard pada Khamis ini (3/5), bukan sekadar mengetengahkan kekayaan warisan budaya Malaysia, bahkan turut memaparkan asimilasi Cina ke dalam budaya Melayu pada abad ke-19.
Pengurus Muzium Imigresen Padmini Sebastian berkata ia merupakan pengalaman yang boleh dikongsi dengan penduduk Australia memandangkan mereka belum pernah mendapat pendedahan seperti itu, sekaligus mendatangkan manfaat kepada mereka.
Beliau berkata pameran itu bukan hanya menumpukan kepada rekabentuk yang rumit bagi setiap kebaya, iaitu pakaian tradisional masyarakat Peranakan dan Melayu, tetapi juga memberikan penduduk Australia gambaran sepintas lalu mengenai budaya kaum Peranakan.
"Pameran ini amat penting bagi Victoria dan juga Australia, ia menyediakan maklumat dan pengetahuan terkini," beliau memberitahu Bernama di sini pada Rabu.
Pameran empat bulan itu yang dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) dan dibantu oleh Muzium Imigresen, Muzium Victoria, turut menggalakkan pertukaran budaya antara kakitangan muzium itu dengan rakyat Malaysia dalam usaha mereka mengadakan pertunjukan yang julung-julung kali diadakan di Australia.
Sebastian berkata kerjasama rapat dengan Penyayang membolehkan pameran itu diadakan hanya dalam masa tujuh bulan berbanding tempoh 18 bulan yang biasanya diambil bagi menganjurkan pameran seperti itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Leela Mohd Ali berkata pameran "Kebaya Nyonya: Busana Wanita dari Malaysia", yang tumpuan utamanya ialah koleksi kebaya isteri Abdullah, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, turut mendapat sokongan padu daripada rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran atau berhijrah ke Australia, terutamanya mereka yang tinggal di Melbourne.
Sekumpulan 22 orang daripada mereka akan mendendangkan lagu-lagu rakyat seperti Rasa Sayang Eh, Enjit-enjit Semut dan Gelang Sipaku Gelang pada majlis perasmian itu dengan kaum wanitanya mengenakan baju kebaya, manakala beberapa orang lagi akan memperagakan sebahagian daripada pakaian yang akan dipamerkan, katanya.
Bagi konsultan Penyayang untuk persembahan itu, Baba Peter Wee, usaha Penyayang dalam mempromosikan kekayaan warisan budaya Kebaya Nyonya, terutamanya sejak empat tahun lepas amat "luar biasa."
Wee, 60, yang terbabit dalam mempromosikan budaya Peranakan selama lebih 20 tahun, berharap pameran itu yang diadakan di Melbourne, sebuah bandar raya yang kaya dengan budaya, kesenian dan fesyen, akan menggalakkan pereka fesyen di Australia untuk menggunakan rekabentuk kebaya dalam hasil ciptaan mereka.
Ini akan menggalakkan lagi perkembangan kebaya daripada sebagai pakaian tradisi wanita Malaysia, Singapura dan Indonesia ke persada antarabangsa.
Lee Foundation States of Malaysia adalah penaja utama pameran itu di samping Leighton Malaysia dan Leighton Australia yang selain menaja, turut menyelia pembinaan set pameran.
Pameran itu memberi pendedahan tentang Sejarah Peranakan Melaka dan mengimbas semula evolusi kebaya serta keindahan kebaya yang dipakai semasa sambutan perayaan di samping sebagai pakaian nyonya semasa berkabung.
Ini merupakan pameran keempat Kebaya Nyonya selepas pertama kali dianjurkan di Balai Senilukis Negara beberapa tahun lepas. Kali terakhir pameran itu diadakan ialah di Muzium Peradaban Asia di Singapura.