Jumat, 27 November 2026   |   Sabtu, 16 Jum. Akhir 1448 H
Pengunjung Online : 0
Hari ini : 21.059
Kemarin : 96.363
Minggu kemarin : 2.656.496
Bulan kemarin : 11.429.130
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Berita

19 mei 2007 05:40

Tuanku Zara Kini Bergelar Raja Puan Besar Perak

Tuanku Zara Kini Bergelar Raja Puan Besar Perak

Kuala Kangsar- Tuanku Zara Salim, yang diijab kabul semalam sebagai isteri Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, hari ini diisytihar sebagai Raja Puan Besar Perak pada satu istiadat di Istana Iskandariah, Bukit Chandan.

Orang Kaya Temenggong Paduka Raja, Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain, sebaik selesai membaca perisytiharan kurnia gelaran itu, telah melaungkan "Daulat, Daulat, Daulat" dan diikuti oleh para hadirin dan diikuti dengan paluan nobat.

Lantikan Tuanku Zara, cicit kepada Sultan Kedah ke-24 Sultan Abdul Hamid Halim Shah, sebagai Raja Puan Besar Perak, mengisi kekosongan gelaran itu sejak dua dekad lepas.

Istiadat itu, yang dihadiri 150 kerabat Diraja terdekat serta dif kenamaan, bermula pada pukul 10.05 pagi dengan Wan Fathir, yang juga Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Hussain membaca perisytiharan kurnia gelaran yang diperkenankan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berkuatkuasa mulai hari ini.

Pengurniaan gelaran itu dibuat mengikut Bahagian Kedua Fasal 35(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang memperuntukkan Sultan Perak mengurniakan gelaran itu kepada isteri Raja Muda Perak.

Diiringi Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan Datuk Seri Noraini Jane, Tuanku Zara, yang berpakaian kebaya labuh berenda Perancis berwarna emas dengan taburan manik berwarna ungu, firuz dan merah jambu, menghadap Sultan Perak untuk menerima watikah perisytiharan gelaran.

Tunku Soraya ialah anakanda Sultan Kedah serta isteri Raja Kechil Sulung Perak, Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris, manakala Noraini Jane, adalah isteri Raja Kechil Tengah Raja, Datuk Seri Ashman Shah.

Pada istiadat itu, Sultan Perak turut menganugerahkan Tuanku Zara dengan Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Dihormati (DKSA), darjah tertinggi yang dikurniakan khas kepada ahli-ahli keluarga Diraja.

Istiadat disaksikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun, Raja Nazrin Shah, Raja Di Hilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa, ibu bapa, Tuanku Zara, Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan isteri.

Gelaran Raja Puan Besar Perak yang dikhaskan untuk isteri Raja Muda Perak kosong sejak dua dekad lalu berikutan kemangkatan Raja Muda Perak pada masa itu Raja Ahmad Siffuddin Sultan Iskandar Shah pada April 1987.

Gelaran itu terakhir disandang oleh isteri Almarhum Raja Ahmad Siffuddin, Raja Nor Izan Raja Abdul Rashid selama tiga tahun dan selepas kemangkatan baginda, Raja Nor Izan menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia. Raja Nor Izan meninggal dunia pada 14 Julai 1998.

Tuanku Zara, 34, anak bongsu daripada empat beradik, merupakan lulusan kejuruteraan kimia daripada University of Nottingham dan pernah bertugas dengan anak syarikat Petronas, Petlin (M) Sdn Bhd sebagai pengurus produk, dan, sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Raja Muda Perak, adalah Pengarah Urusan Forthwave Consulting Sdn Bhd, syarikat pembangunan perisian dan kejuruteraan teknikal hidrokarbon di Kuala Lumpur.

Anak kelahiran Perak ini, yang merupakan satu-satunya puteri keluarga Salim Davidson, amat berminat dengan aktiviti sukan lasak dan merupakan bekas perenang negeri Perak.

Bapanya, Salim Davidson adalah seorang peguam terkemuka, dan ibunya Sharifah Azaliah adalah anak Menteri Besar Kedah yang ketiga, Tan Sri Syed Omar Syed Abdullah Shahabudin. Isteri Syed Omar, Tunku Aminah, adalah anakanda Sultan Kedah ke-24 Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan juga adinda kepada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sumber : Bernama.com


Dibaca : 7.468 kali.

Tuliskan komentar Anda !