Jumat, 20 November 2026   |   Sabtu, 9 Jum. Akhir 1448 H
Pengunjung Online : 0
Hari ini : 29.408
Kemarin : 95.893
Minggu kemarin : 821.392
Bulan kemarin : 11.429.130
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Berita

02 februari 2008 02:51

Muzium Kesenian Perlu Promosi

Muzium Kesenian Perlu Promosi
Koleksi Koleksi Kesenian Islam Malaysia

Kuala Lumpur- Kewujudan Muzium Kesenian Islam tidak boleh dipandang ringan kerana muzium ini adalah salah satu inisiatif untuk mendekatkan minat generasi kini supaya lebih menghargai kesenian yang dibawa oleh Islam.

Justeru itu, rata-rata pengunjung yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini meminta agar promosi tentang muzium tersebut dirancakkan lagi memandangkan muzium itu telah popular di kalangan pelancong asing.

Seorang pengunjung yang ditemui, Kartini Ilias, 28, berpendapat lokasi muzium tersebut yang agak tersorok menyebabkan ia kurang dikunjungi pelawat.

Ujarnya, walaupun lokasinya terletak berhampiran Masjid Negara, namun ramai pengunjung yang tidak tahu akan kewujudannya.

"Oleh sebab lokasinya agak terselindung, muzium ini perlu dipromosikan dengan lebih banyak untuk pengetahuan umum. Apabila banyak promosi yang dilakukan, pasti orang ramai mengetahui tentang muzium ini.

"Selain itu, pihak muzium juga perlu mengadakan pelbagai aktiviti di muzium ini supaya pengunjung tidak bosan untuk kerap mengunjunginya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang pengunjung berbangsa India, T. Theventharan, 24, melahirkan rasa kagum melihat pameran kesenian kaligrafi Islam di muzium tersebut.

"Walaupun pada mulanya saya terasa bosan, namun suasana berubah apabila berada di dalamnya kerana saya amat kagum dengan kesenian yang dipamerkan di mana gabungan susun atur artifak berkenaan sangat teliti dan kemas.

"Saya pasti akan mengunjungi muzium ini lagi dan akan mempromosikan kepada rakan-rakan saya," ujarnya.

Seorang mahasiswa jurusan seni bina dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurlaila Izyan Mad Zin, 24, berkata, dia tertarik untuk melihat seni bina yang dibina di muzium tersebut.

"Tujuan saya melawat muzium ini adalah untuk melihat seni bina muzium yang kaya dengan kesenian yang berasal dari negara-negara Asia Barat di mana saya boleh mempelajari sesuatu daripada konsep seni bina yang digunakan.

"Lagipun, seni bina yang digunakan di sini amat jarang ditemui dan mempunyai nilai kesenian yang tinggi," katanya.

Bagi Tan Kang Hung, 24, pengalamannya yang pertama kali mengunjungi muzium tersebut telah menimbulkan rasa kagum dalam dirinya terhadap kesenian Islam.

"Sebelum ini saya tidak pernah mengetahui tentang muzium ini yang mempamerkan pelbagai kesenian Islam yang menarik.

"Jika sebelum ini saya tidak pernah mengetahui tentang artifak kesenian Islam yang berada di China, hari ini saya dapat melihatnya sendiri dan saya amat kagum dengan kehalusan seni tersebut.

"Selain itu, muzium ini juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kafe, kedai cenderamata serta perpustakaan kanak-kanak yang amat menarik," ujarnya.

Sumber : utusan.com.my
Kredit foto : kecik2best.blogger.com

 


Dibaca : 1.287 kali.

Tuliskan komentar Anda !