Sabtu, 21 November 2026   |   Ahad, 10 Jum. Akhir 1448 H
Pengunjung Online : 4.085
Hari ini : 71.543
Kemarin : 95.893
Minggu kemarin : 821.392
Bulan kemarin : 11.429.130
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Berita

07 juni 2007 03:35

Promosi Budaya Bukan Sekadar Pameran

Promosi Budaya Bukan Sekadar Pameran

London– Datuk Seri Najib Tun Razak mahu promosi kebudayaan dan kraf bukan sekadar mempamerkan warisan budaya tetapi merupakan satu manifestasi kepada hubungan sejarah, persahabatan dan perasaan muhibah antarabangsa.

Selain itu, kata Timbalan Perdana Menteri, ia juga boleh mengeratkan hubungan antara negara dalam pelbagai bidang.

“Sebagai contohnya, Minggu Malaysia yang diadakan di Covent Garden, London. Saya mahu acara tersebut turut menitikberatkan hubungan yang telah terjalin antara Malaysia dan United Kingdom (UK), bukan sahaja dari segi sejarah, persahabatan malah kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

“Saya berharap dengan pertunjukan kebudayaan dan fesyen batik serta songket, gerai-gerai jualan makanan tradisional Malaysia dan promosi kraf boleh meningkatkan lebih ramai pelancong dari UK untuk menikmati sendiri keindahan, keramahan masyarakat dan pelbagai kemudahan yang ditawarkan negara,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Malam Gala sempena Minggu Malaysia di sini semalam.

Minggu Malaysia yang diadakan kali kedua di Covent Garden itu merupakan usaha bersepadu kerajaan Malaysia memperkenal dan mempromosikan negara kepada masyarakat London melalui pendekatan kebudayaan, kesenian, hasil tani, makanan, kraftangan dan pelancongan.

Aktiviti itu bermula hari ini hingga 10 Jun ini. Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique; Ketua Dewan Rakyat Parlimen UK, Jack Straw; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Abd. Aziz Mohamed dan Ketua Setiausaha KeKKWa, Datuk Zakiah Ahmad.

Menurut Najib, Malaysia mempunyai budaya yang pelbagai, lahir daripada kumpulan etnik berbeza serta bebas mengekalkan tradisi kebudayaan dan identiti masing-masing.

“Malaysia bukan umpama kain yang ditenun dengan seurat benang, satu pewarna dan sehelai kain tetapi lahir daripada kebudayaan yang pelbagai, hormat menghormati dan toleran kepada budaya. Ia merupakan identiti, imej dan kekuatan kita.

“Itulah yang menjadi asas kuat kepada kejayaan politik, sosial dan ekonomi Malaysia. Inilah yang akan kita tunjukkan kepada masyarakat London, selama berlangsungnya Minggu Malaysia tersebut,” jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri yang mengadakan lawatan kerja sehari ke London berkata, pada tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia dan UK merupakan pasaran pelancongan yang utama.

“Seramai 252,000 pelancong dari negara ini telah melawat Malaysia pada tahun lalu iaitu satu peningkatan sebanyak 17 peratus jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

“Tetapi malangnya, bilangan itu masih jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah pelancong UK melancong ke negara jiran. Justeru itu, diharapkan dengan adanya Minggu Malaysia di London ini, ia dapat menarik lebih ramai pelancong dari negara ini melawat Malaysia,” tambahnya.

Sumber : Utusan.com.my


Dibaca : 1.582 kali.

Tuliskan komentar Anda !