Close
 
Selasa, 23 Juni 2026   |   Arbia', 7 Muharam 1448 H
Pengunjung Online : 0
Hari ini : 4.328
Kemarin : 15.843
Minggu kemarin : 155.704
Bulan kemarin : 9.252.016
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Berita

21 juni 2007 03:45

Umat Islam Bertanggungjawab Tonjol Ajaran yang Betul

Umat Islam Bertanggungjawab Tonjol Ajaran yang Betul

Moscow- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk menonjolkan ajaran Islam yang sebenarnya kepada dunia.

Tanggapan salah di Barat terhadap Islam disebabkan mereka kurang faham mengenai Islam yang sebenarnya, kata Perdana Menteri.

Malaysia amat memahami perkara ini kerana ia sebuah negara berbilang kaum dan agama, katanya ketika berucap di Institut Perhubungan Antarabangsa Moscow di sini (20/6) selepas dianugerahkan ijazah doktor kehormat sempena lawatan tiga hari beliau ke Rusia.

"Malaysia menerima pakai pendekatan yang betul dalam mengamalkan agama Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di negara kami. Kami menjadikan Islam sebagai penyumbang dan bukannya penghalang kepada perpaduan.

"Kami telah meminta umat Islam di Malaysia menerima Islam Hadhari sebagai jalan yang betul dalam mengamalkan agama itu.

"Dan kami telah meminta yang bukan Islam supaya memahami bahawa ianya satu bentuk tadbir urus yang menjanjikan keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, budaya atau agama," katanya.

Abdullah berkata Malaysia menawarkan Islam Hadhari kepada peringkat antarabangsa sebagai satu sumbangan ke arah membolehkan dunia memahami Islam.

"Islam Hadhari akan mengingatkan umat Islam, dan mendedahkan kepada yang bukan Islam, bahawa Islam sebenarnya adalah satu agama yang toleran, progresif dan cintakan keamanan," katanya.

Abdullah juga berkata Malaysia menyokong penuh pelbagai usaha pada peringkat antarabangsa untuk mengukuhkan lagi persefahaman antara budaya dan tamadun khususnya antara yang di Barat dan dengan dunia Islam.

"Kami yakin dialog seperti ini akan mendedahkan hakikat bahawa Islam itu adalah satu agama yang menyokong universalisme dan bukannya eksklusiviti," katanya.

Perdana Menteri berkata dialog antara budaya dan tamadun perlu melibatkan semua peringkat masyarakat antarabangsa seperti cendekiawan, penulis, aktivis, ahli akademik dan wartawan.

Dalam soal ini, katanya, masyarakat dunia boleh memainkan peranan sebagai pemangkin dan dialog ini mesti mendapat sokongan kerajaan.

Beliau berkata keamanan dan keselamatan sebenarnya tidak dapat diwujudkan sehinggalah isu-isu seperti penggunaan paksaan oleh yang kuat terhadap yang lemah bagi mendapatkan perolehan politik, strategik dan wilayah, diselesaikan.

Abdullah berkata Rusia, selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu, mampu memainkan peranan utama bagi mendapatkan komitmen semua negara anggota PBB khususnya kuasa besar bagi menerima pendekatan secara multilateralisme.

Katanya konflik antara Barat dan dunia Islam sekarang telah mula dikaitkan kepada dimensi agama hanya apabila perang terhadap keganasan menyalahkan Islam sebagai agama yang menggalakkan keganasan, satu takrif yang salah.

"Saya sentiasa yakin manusia sejagat dapat hidup dengan harmoni sekiranya isu-isu politik dan strategik diselesaikan selaras dengan pengurangan jurang salah faham antara budaya dan tamadun.

"Terpulang kepada kita untuk membuat pilihan. Dan saya harap masyarakat antarabangsa akan membuat pilihan yang tepat sebelum peluang ini lenyap sama sekali," kata Abdullah.

Sumber : Bernama
Kredit foto : www.utusan.com.my


Dibaca : 1.007 kali.

Tuliskan komentar Anda !