Anda pengunjung ke 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
AGENDA
Belum ada data - dalam proses
Berita
14 juli 2008 04:09
Teroka Cara Jadikan Warisan Melayu Satu Kekuatan
Tingkatkan identiti orang Melayu melalui penglibatan dalam segala aspek kehidupan
Singapura- Masyarakat Melayu harus meneroka cara-cara untuk menjadikan warisan Melayu, termasuk bahasa dan budaya Melayu, satu kekuatan yang boleh dimanfaatkan.
Menyatakan demikian, Anggota Parlimen GRC Hong Kah, Encik Zaqy Mohamad, berkata satu cara untuk meningkatkan lagi warisan budaya dan bahasa ialah dengan meningkatkan identiti orang Melayu.
`Peningkatan ini boleh juga dicapai menerusi penglibatan kita dalam segala aspek kehidupan.
“Anak Melayu yang berjaya di pentas global akan menjadi kebanggaan seluruh masyarakat,” katanya.
Berucap di majlis pesta pantun, anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS) di Taman Warisan Melayu pagi kemarin, Encik Zaqy menambah bahawa dalam pada orang Melayu meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris, mereka juga harus terus menghidupkan bahasa Melayu.
Lantas, usaha PBMUKS menganjurkan pesta pantun sempena Bulan Bahasa 2008 itu amat dialu-alukan kerana ia akan terus memupuk minat anak-anak muda dalam memelihara khazanah orang Melayu.
Encik Zaqy menarik perhatian bahawa orang Melayu mempunyai banyak pantun pusaka yang merupakan aset penting—ia satu khazanah yang memaparkan warisan orang Melayu dari segi pemikiran, kesenian, nilai-nilai moral dan sosial.
“Akal budi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam,” katanya.
Menurut beliau lagi, penghasilan pantun mirip seni kreatif lain seperti senikata lagu dan dialog-dialog drama pementasan.
“Pesta pantun ini bukan setakat untuk meraikan keindahan bahasa dan budaya tradisi Melayu, tetapi untuk meraikan bangsa Melayu agar tidak lupa akan potensi, kecerdasan dan ketangkasan kita,” katanya lagi.
Justeru itu, meskipun masyarakat Melayu kini berada dalam dunia serba maju, usaha memelihara dan menggalak warisan Melayu seperti pantun dan peribahasa harus diteruskan.