Close
 
Selasa, 9 Juni 2026   |   Arbia', 23 Dzulhijah 1447 H
Pengunjung Online : 2.013
Hari ini : 21.743
Kemarin : 24.704
Minggu kemarin : 227.151
Bulan kemarin : 9.252.016
Anda pengunjung ke 105.216.314
Sejak 01 Muharam 1428
( 20 Januari 2007 )
IMAGE GALLERY
AGENDA
  • Belum ada data - dalam proses

 

Opini

26 april 2007 07:18

Ilmu Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan

MANUSIA dilahirkan di dalam keadaan yang fitrah. Mereka hidup di dalam suatu persekitaran tanpa adanya corak tingkah laku yang sedia ada untuk membolehkan mereka untuk terus hidup. Namun sebagai makhluk sosial, mereka mempelajari sendiri cara-cara hidup atau survival sendiri dari alam dan diubahsuaikan dan diturun-temurunkan dari satu generasi ke generasi yang lain, dan proses ini dipanggil oleh ahli sosiologi sebagai kebudayaan.

Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu, budaya diertikan sebagai satu peradaban, tamadun atau kemajuan. Manakala menurut Kamus Dewan, kebudayaan bermaksud keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir serta segala hasil kegiataan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kesenian dan kemajuan akal budi.

Dalam konteks sosiologi, iaitu bidang ilmu yang mengkaji keadaan, sifat dan pertumbuhan masyarakat, pengertian kebudayaan itu amat luas dan merangkumi segala cara hidup manusia, juga seperti yang dinyatakan di atas.

Hubungkait Masyarakat dengan Kebudayaan

Masyarakat dan kebudayaan mempunyai pengertian yang berbeza. Kebudayaan adalah merupakan hasilan yang dikongsi oleh masyarakat manusia, sedangkan masyarakat itu sendiri terdiri daripada manusia yang berinteraksi di antara satu dengan yang lain dalam sama-sama berkongsi dan menggubal sesuatu kebudayaan itu. Namun kedua-duanya mempunyai hubung kait yang sangat rapat.

Tanpa adanya kebudayaan, sesuatu masyarakat itu tidak akan dapat hidup dan bertahan. Dan sesuatu kebudayan itu pula tidak akan dapat wujud tanpa adanya masyarakat yang menggunakan dan meneruskannya. Dari itu, semua individu yang terlibat mengambil bahagian di dalam sesuatu masyarakat itu dapat dikatakan ‘berkebudayaan‘.

Para sosiologis mengatakan bahawa kebudayaan itu terdiri dari semua hasilan atau keputusan yang dikongsi bersama oleh masyarakat manusia. Terdapat dua jenis hasilan iaitu hasilan kebendaan dan hasilan bukan kebendaan.

Hasilan Kebendaan

Kebudayaan dari hasilan kebendaan terdiri dari semua jenis objek fizikal. Objek-objek fizikal terdiri dari:

i) Semula jadi, misalnya gunung, bukit, sungai, air, api, tanah dan sebagainya.

ii) Buatan manusia, misalnya rumah, pakaian, kereta, telefon dan sebagainya.

Hasilan yang Bukan Kebendaan

Kebudayaan dari hasil-hasil yang bukan kebendaan ini pula terdiri dari rekaan-rekaan yang lebih abstrak, seperti bahasa, kepercayaan, peraturan, adat resam, sistem politik, moraliti, nilai, sistem kerajaan dan sebagainya.

Kepentingan Ilmu Kebudayaan

Untuk meneruskan kehidupan, sememangnya ilmu kebudayaan itu memainkan peranan yang sangat penting. Kepincangan hidup bermasyarakat boleh berlaku andainya ahli masyarakat itu sendiri tidak mengetahui atau tidak mempelajari ilmu kebudayaannya sendiri.

Pengetahuan ilmu kebudayaan dapat membolehkan setiap individu itu membina dan menyesuaikan atau mengadaptasikan dirinya dengan persekitaran sosial, iaitu dengan membuat dan berkongsi peraturan serta corak tingkah laku yang dapat mengaturkan penghidupan yang lebih teratur dan harmonis. Pengetahuan ilmu kebudayaan mempengaruhi kelakuan manusia sama ada dari aspek pemikiran, penyataan perasaan dan emosi, tindakan dan interaksi sosial masyarakat.

Seperti yang diterangkan di atas, kebudayaan dalam kehidupan itu merangkumi pelbagai aspek, antaranya adat resam, kepercayaan, kesenian, kebahasaan, perundangan, peraturan (nilai) dan sebagainya.

Golongan pendidik atau guru memainkan peranan yang penting dalam membentuk generasi-generasi baru yang akan menggantikan masyarakat atau golongan yang sedia. Guru-guru perlu menerapkan ilmu pengetahuan atau mata pelajaran yang diajarkan olehnya tanpa meninggalkan ilmu dan aspek-aspek kebudayaan. Ini termasuklah dari aspek nilai, agama, adat resam, bahasa dan sebagainya.

Nilai dan Kebudayaan

Sesungguhnya pendidikan tidak dapat dipisahkan dengan nilai. Setiap pendidikan itu harus mempunyai unsur-unsur nilai dan ia adalah merupakan antara perkara yang penting dalam mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Pengajaran yang hanya menekankan fakta-fakta dan ilmu pengetahuan semata-mata sahaja tanpa mengambil kira bagaimana fakta-fakta dan ilmu tersebut dapat digunakan adalah pengajaran sia-sia. Pengajaran harus berlaku serentak, iaitu luaran dan dalaman, kemahiran dan kerohanian untuk kebaikan.

Pengajaran tanpa nilai selalunya digunakan oleh sistem pendidikan sekular yang menular di dunia barat. Akibatnya masyarakat yang lahir dari sistem ini merupakan ilmuan dan golongan terpelajar yang tidak bermoral, yang menjadi punca kepincangan dunia, penyalahgunaan kuasa dan ilmu. Dalam konteks pendidikan, perkara sebegini adalah jauh menyimpang dari matlamat ‘ke arah kesempurnaan insan‘, duniawi dan ukhrawi.

Faedah Ilmu Kebudayaan Kepada Guru

Pendidikan adalah merupakan proses sosialisasi, iaitu suatu proses yang dialami oleh individu dalam menerima rangsangan emosi dan kognitif; suatu proses individu memperolehi kebudayaan masyarakatnya dan sahsiah masing-masing melalui interaksinya atau pergaulannya dengan masyarakat.

Jika seseorang guru tidak mengetahui dan tidak menghiraukan penerapan nilai-nilai murni, nilai-nilai agama, bahasa dan semangat kebangsaan dan kemasyarakatan dalam pengajaran ilmu pengetahuan dalam pengajarannya, maka dapatlah diertikan usahanya, khasnya usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pengajaran-pembelajaran yang efektif hanyalah suatu yang sia-sia sahaja.

Antara nilai-nilai murni yang perlu diselitkan dalam pengajaran di sekolah adalah seperti aspek-aspek berikut:

i) Budi

Kesopanan, belas kasihan, murah hati, saling memahami, sedia memaafkan, mengakui kesalahan diri, hormat-menghormati, taat kepada agama, ibu bapa, bangsa dan negara.

ii) Berdikari

Bertanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri, yakin pada diri sendiri.

iii) Kebersihan mental dan fizikal

Kebersihan diri dan tempat tinggal, pertuturan dan perlakuan yang sopan, pemikiran yang sihat dan positif.

iv) Kemasyarakatan

Persaudaraan, semangat kekitaan, perpaduan, bermuafakat, kejiranan, toleransi, gotong-royong dan kepekaan terhadap isu-isu sosial semasa.

Sememangnya dalam usaha menerapkan nilai-nilai luhur dan pendidikan moral dalam sistem pendidikan di negara kita, falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) yang diwujudkan adalah merupakan identiti kebudayaan orang-orang Brunei, yang di dalamnya secara tidak langsung menerapkan ilmu kebudayaan.

Falsafah MIB memainkan peranan yang penting dalam sistem pendidikan negara kita. Misalnya mata pelajaran Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran yang utama dan tersusun diajarkan supaya identiti atau ciri-ciri kebruneian dapat dipupuk dan dipertahankan. Pujian patut diberikan kepada kerajaan dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, misalnya penerbitan buku-buku teks sendiri yang dapat digunakan oleh pelajar. Usaha sebegini dapat mempertahankan ciri-ciri kemelayuan yang ada dalam falsafah MIB.

Islam adalah agama rasmi negara yang disalurkan pengajarannya melalui mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam. Pengajaran moral Islam dapat dilihat dari peraturan-peraturan sekolah yang dilaksanakan seperti dalam aspek pakaian seragam sekolah, iaitu dengan mewajibkan pelajar perempuan menutup aurat (pemakaian baju kurung dan tudung).

Selain itu, pembacaan doa sebelum memulakan pelajaran bagi penuntut beragama Islam atau tidak juga dilaksanakan dan ini bertujuan untuk mendaulatkan agama Islam, di samping memohon keberkataan-Nya dalam usaha menuntut ilmu yang tiada batasannya.

Bagi mewujudkan suatu identiti kebangsaan dan ketaatsetiaan kepada raja dan dalam usaha memenuhi kehendak pembangunan negara, mata pelajaran Sivik juga dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran sekolah. Ia bertujuan bagi menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap bangsa dan negara di kalangan pelajar.

Mata pelajaran Sivik mengandungi ciri-ciri MIB dan juga adat-adat tradisi masyarakat Brunei. Keberkesanan penerapan mata pelajaran ini dapat dilihat dengan adanya kegiatan-kegiatan di luar bilik darjah seperti acara menyanyikan Lagu Kebangsaan Negara dan menaikkan bendera kebangsaan serta aktiviti kebudayaan yang disertai oleh pelajar, misalnya dalam acara meraikan sambutan Hari Kebangsaan Negara dan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kesimpulan

Kebudayaan adalah identiti kewujudan sesebuah masyarakat dan suatu budaya itu tidak dapat dijalankan sekiranya ahli-ahlinya tidak mempraktikkan budaya yang mereka warisi turun-temurun. Untuk mengekalkan kebudayaan masyarakat, golongan-golongan tua, khasnya golongan pendidik memainkan peranan penting sebagai jentera menyalurkan dan meneruskan tradisi.

Dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah unsur-unsur nilai, moraliti, norma, bahasa dan pengetahuan agama harus sentiasa dijadikan dasar dan ditanamkan ke dalam minda setiap pelajar. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memperlengkapkan diri dengan pengetahuan ilmu kebudayaan.

Dengan melakukan semua ini, matlamat negara untuk melahirkan pelajar yang berpelajaran dan berpendidikan dan berbudaya akan terlaksana selaras dengan maksud pendidikan itu sendiri, iaitu suatu pakej yang meliputi pengetahuan, kemahiran dan nilai didalamnya.

Sumber : http://www.brunet.bn


Dibaca : 4.269 kali.

Tuliskan komentar Anda !