Anda pengunjung ke 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
IMAGE GALLERY
AGENDA
Belum ada data - dalam proses
Opini
13 januari 2010 03:14
Usaha Minoriti Melayu Menakat di Yogya
Oleh M. Effendy A. Hamid
Apabila dijemput kawan-kawan saya dari Yogyakarta ke Candi Prambanan, saya mengikut dengan senang hati. Tetapi di luar pintu masuk ke tapak candi itu, saya ditanya oleh penjaga candi: “Pak dari mana? Orang Yogya?” Penjaga itu bertanya demikian mungkin kerana cara percakapan dan baju batik saya agak berlainan. Seorang kawan saya terkebil-kebil dan menjawab bahawa saya orang Indonesia. Penjaga candi itu masih berwajah curiga namun tetap membenarkan saya masuk. Rupa-rupanya bayaran masuk ke candi itu berlainan bagi orang luar lain dan orang tempatan.
Namun pengalaman ini membuat saya sedar betapa si penjaga candi itu sedang mencari unsur-unsur “keyogyakartaan” atau “keindonesiaan” pada diri saya. Proses ini serupa pertanyaan saya kepada hadirin dalam ceramah saya pada minggu lalu di Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu (BKPBM), di Kota Yogyakarta, pusat kebudayaan Jawa. Mana lebih penting? Mencari kategori takrif “Melayu” atau mencari unsur-unsur sebagai rumpun Melayu (ciri-ciri kemelayuan)?
Saya membincangkan suku-suku di dataran tinggi Vietnam, seperti orang Churu, Raglai dan Cham, yang mempunyai aspek-aspek yang boleh dikatakan sebagai “Melayu” kerana mempunyai ciri bahasa dan budaya sangat dekat dengan orang Nusantara. Tetapi bolehkah kita sifatkan suku-suku ini sebagai Melayu? Hal ini bukan mudah kerana konsep “Melayu” sangat dinamik dan evolusinya masih berlaku sehingga hari ini.
Kemudian, saya bertanya: “Dalam mencari kategori Melayu, mana lebih penting, memahami proses yang telah memperkembangkan ’wacana Melayu’ atau mencari kategori dan definisi apakah itu Melayu?” Pertanyaan tadi mencetuskan bahas di kalangan mahasiswa dan mahasiswi Yogyakarta. Timbul beberapa isu penting. Pertama, isu kesan penjajahan Barat terhadap pembinaan epistemologi “Melayu”. Ini disebabkan ilmu yang diperolehi daripada penjajah Barat menjadi dasar kefahaman kita tentang “Melayu” dan “kemelayuan”. Kedua, adakah dasar perfahaman kebangsaan tentang Melayu dan kemelayuan itu yang lebih baik? Ini mencetuskan lagi debat yang lebih hangat dalam perbincangan yang menerus.
Ceramah dan bahas itu membuat saya merenung jauh mengenai kehadiran puak minoriti di Asia Tenggara. Tumpuan perlu diberikan kepada warisan sejarah, isu sosio-ekonomi dan penakatan mereka. Bagaimana puak kecil dapat menakat dengan budayanya ketika menghadapi kaum majoriti? Bagaimana pemerintah menyelesaikan masalah-masalah seperti pemuliharaan budaya, ekonomi dan ketegangan politik dan sosial yang wujud? Penelitian seperti ini akan memulakan satu kesedaran baru tentang isu-isu tersebut.
Ceramah saya ternyata membuat mahasiswa Indonesia lebih sedar mengenai erti Melayu. Lebih penting lagi saya tertarik sekali pada matlamat BKPBM, iaitu: Menyemarakkan budaya Melayu di peringkat kesukuan yang beraneka ragam; Mencari, mengumpul, dan memelihara peninggalan sejarah serta budaya Melayu; Mengangkat peranan perempuan Melayu dalam menjaga budaya Melayu.
Menurut pemangku Ketua BKPBM, Haji Mahyudin Al Mudra, pihaknya ialah lembaga bukan pemerintah dan dikelolakan masyarakat Melayu yang bermastautin di Yogyakarta. Dananya dicari secara sukarela (swadaya) – daripada sumbangan pihak-pihak yang ambil peduli tentang pengekalan dan pengembangan budaya Melayu. Antara hasil usaha BKPBM ialah laman sawang www.Melayuonline.com dan Facebooknya. Pak Mahyudin berasa lebih banyak yang harus dilakukan oleh pihaknya dalam membina khazanah tamadun Melayu. BKPBM berminat pada usaha saya mencari persamaan antara bahasa Aceh dan bahasa Melayu Nusantara, penggunaan sumber manuskrip Cham, sejarah Champa, dan kerajaan Melayu tua.
Saya kagum akan semangat kekumpulan kakitangan BKPBM yang turut dibantu oleh mahasiswa dari universiti di Kota Yogya. Bahkan balai ini mempunyai simpanan artifak budaya dan sejarah Melayu berharga. Tetapi yang amat penting ialah komitmen mereka untuk menyediakan sebuah ruang intelektual bagi bertukar-tukar pendapat dengan para ilmiawan dan perbincangan setiap bulan. Cik Yuhastina Naina, yang telah lama dengan BKPBM, memberitahu saya bahawa pihaknya gigih membina dan mengukuhkan lagi sebuah komuniti siber yang terdiri daripada pelbagai pihak antarabangsa dan Nusantara.
Melayuonline memang sarat dengan maklumat penting tentang perkembangan penelitian kebudayaan, sejarah dan kemasyarakatan Melayu. Ia amat penting bagi para peneliti dan penyelidik yang perlukan sumber-sumber untuk memulakan kajian tetang sejarah, budaya dan masyarakat melayu. Masalah besar BKPBM ialah dana yang mencukupi. Ia amat memerlukan sokongan, sebagaimana seruan Hang Tuah: Tak Melayu hilang di dunia!
__________
M. Effendy A. Hamid, Kandidat Ph.D University of Hawaii at Manoa, Amerika Serikat.