31 Juli 2008, 2:13 am
Nama : Hasmadi Ismail
Institusi : -
Pesan :
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakahtuh
Semoga MelayuOnline dicucuri rahmat oleh Allah tuhan yang Maha Esa. Junjung kasih banyak-banyak diucapkan kerana sudi membalas e-mail saya walaupun isinya tak seberapa besar untuk faedah MelayuOnline.com
Kalau boleh, ingin benar saya memberi informasi ataupun data-data tentang Kesultanan Melayu Kelantan tetapi malang sekali saya mempunyai versi yang amat berbeza dengan apa yang ditulis dalam kitab sejarah hari ini. Sekirannya versi ini diguna pakai, sejarah sepatutnya berubah dan tidak seperti hari ini.
Penerus kepada raja-raja dahulu kala tidak seperti hari ini, kadang-kadang seseorang putera itu ditabal oleh baginda raja yang sudah gering hanya dari mulut ke mulut (tiada kontrak, tandatangan, hitam putih yang telah disahkan oleh pegawai undang-undang). Sekiranya baginda mangkat, maka ada saudara lain yang iri hati dan ingin benar menaiki tahta, mereka sanggup bunuh-membunuh demi untuk menjadi pemerintah. Sekiranya waris raja yang sebenar itu berjaya dibunuh, maka hilanglah keturunan baginda lalu si pembunuh itu yang menang akan berkuasa dan menjadi raja.
Adapun waris sebenar itu lari atau dibuang negeri, maka keturunannya pula kemudian hari akan menjadi rakyat biasa. Itulah hakikatnya, bukan setakat kerajaan-kerajaan Melayu tetapi empayar-empayar besar lain di dalam dunia ini.
Terima kasih sekali lagi sekiranya saudara sudah membaca setakat ini. Ini bermakna MelayuOnline benar-benar telah meluangkan banyak masa untuk pengetahuan yang baru ini. Tidaklah saya ini ingin mengajak saudara menukar sejarah yang ada pada hari ini. Ini adalah sekadar informasi untuk pengetahuan saudara sahaja.
Tentang Saya
Nama saya Hasmadi bin Ismail, hanyalah orang kebanyakkan dan bukan di kalangan kerabat diraja Kelantan. Alhamdulillah, dengan izin Allah saya telah dijodohkan dengan seorang puteri raja dan dianugerahkan dengan seorang putera yang benama Nik Ryan Muzaffar bin Hasmadi yang berumur dua tahun tanggal 25 September 2008 ini.
Nama isteri saya ialah Yang Mulia Tengku Yuhaini Iskandariah binti Tengku Iskandar ibni al-Marhum Tengku Long Ahmad Tengku Panglima Raja Kelantan ibni al-Marhum Tengku Temenggong Long Ghaffar ibni al-Marhum Sultan Muhammad II @ Long Senik Mulut Merah (Sultan Kelantan, 1835-1886)
Sila lihat carta salasilah (attachment), kepunyaan Yang Amat Mulia Tengku Long Ahmad Tengku Panglima Raja Kelantan, iaitu ayahanda kepada ayahanda mertua saya sekarang ;
Sultan Ahmad Tengah (Sultan Kelantan, 1886-1890) adalah menantu kepada Sultan Muhammad II @ Long Senik Mulut Merah yang berkahwin dengan Puteri Long Sulong, puteri sulong baginda Sultan Muhammad II @ Long Senik Mulut Merah
Sultan Ahmad Tengah telah melantik puteranya yang berlainan bonda yang bernama Long Kundur dan dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Muhammad III (Sultan Kelantan, 1890-1891)
Sultan Ahmad Tengah telah merampas tahta daripada adinda iparnya, Yang Amat Mulia al-Marhum Tengku Temenggong Long Ghaffar ibni al-Marhum Sultan Muhammad II @ Long Senik Mulut Merah, yang ketika itu baru berumur sembilan tahun ketika kemangkatan ayahandanya, baginda Sultan Muhammad II @ Long Senik Mulut Merah
Sultan Ahmad Tengah adalah putera raja dari kerabat diraja Trengganu
Carta salasilah Kesultanan Kelantan sekarang mununjukkan, Sultan Ahmad Tengah ibni al-Marhum Sultan Muhammad II @ Long Senik Mulut Merah
Sekian sahaja tatapan dan untuk pengetahuan saudara. Amat sukar untuk saya memberi data-data Kesultan Melayu Kelantan khasnya untuk melayuonline.com. Insyaallah, mungkin saya boleh memberi sedikit informasi dalam topik-topik yang lain di masa-masa yang akan datang demi untuk kesejahteraan rumpun kita Melayu yang dahulunya gilang gemilang dan diharapkan “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”
Yang benar itu datangnya dari Allah dan yang jahil itu datangnya dari diri saya sendiri. Sekian.
Was-Salam…
Hasmadi Ismail
Istana Dusun Green Pasir Mas 17000
Kelantan Dar’ul-Naim
Semenanjung Tanah Melayu
Malaysia
Dibaca : 17.949 kali.
Berikan komentar anda :