Tanim Tajuddin (Indonesia)
2 Juni 2009, 11:13 pm
Nama : Tanim Tajuddin
Institusi : -
Komentar :
Selamat sejahtera,
Saya ada terbaca masukan tuan-tuan di bahagian manuskrip hikayat. Ternyata masukan tuan-tuan amat menarik sekali utamanya mengenai negeri Kedah Darul Aman. Saya merupakan salah seorang anak negeri Kedah dan saya berasa terpanggil untuk membetulkan sedikit keraguan fakta yang diambil dari blog sejarah nagara kedah. Blog tersebut sebenarnya mempunyai fakta-fakta yang bercampur aduk dan tidak dapat ditentukan kesahihannya.
Saya hanya ingin membetulkan mengenai perkataan Merong yang tidak pernah didengari oleh suku-suku yang lain. Perkataan ini membawa maksud ular besar, atau semakna dengan Naga. Ia adalah bahasa Siam lama dan memang bukan bahasa Thai kerana Thai itu sama saja dengan Siam. Penduduk suku Melayu Kedah memang mengalami percampuran dengan etnik Mon dan Khmer, hal ini ada diterangkan dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah serta Hikayat Patani (Pravat Padtani). Oleh itu, kami mempunyai perbezaan dengan orang Melayu di selatan semenanjung Tanah Melayu.
Untuk pengetahuan pihak tuan, Siam mula muncul pada kurun ke-13 M dan ia dimulakan oleh seorang Putera Raja Thai-Lao bernama U Thong. Namanya kemudian dijadikan nama dinasti dalam kerajaan Sri Ayutthaya atau Siam. Ada beberapa dinasti dalam kerajaan Siam sekitar kurun ke-14 M sehingga ke-16 M dan semuanya merupakan etnik berbeza. Dinasti U Thong, dinasti Suvarnabumi-Dvaravati, dinasti Sukhothai (Phitsanulok), serta beberapa kerajaan yang bekerjasama dengan Siam seperti Lopburi di Tengah Siam dan Nakhon Sri Thammarat atau Ligor di Selatan Siam. Dinasti orang Thai-Lao hanya ada dua iaitu U Thong dan Sukhothai. Suvarnabumi-Dvaravati merupakan gabungan etnik Mon dan Melayu purba. Begitu juga dengan Nakhon Sri Thammarat, pemerintah di sana mempunyai hubungan dengan kerajaan Angkor di Kemboja sekitar kurun ke-10 M dan rakyatnya berketurunan Melayu dan Tamil.
Orang yang dikenali sebagai Merong Mahawangsa itu berkemungkinan hidup pada sekitar abad ke-6 atau ke-7 M. Beliau berkemungkinan seorang yang berketurunan India purba dari suku kaum Parsi. Harap pihak tuan menyelidiki fakta sekali lagi.
Terima kasih.
Tanim Tajuddin
Dibaca : 3.179 kali.
Berikan komentar anda :