Tuesday, 16 June 2026   |   Tuesday, 30 Dzulhijah 1447 H
Online Visitors : 129
Today : 6.165
Yesterday : 17.248
Last week : 184.896
Last month : 9.252.016
You are visitor number 105.216.314
Since 01 Muharam 1428
( January 20, 2007 )
AGENDA
  • No data available

 

News

04 januari 2016 12:28

Martabat Muzik Tradisional Melayu

Kuala Lumpur, Malaysia - Dianjurkan khas oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan kerjasama DFP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert berkenaan dianggap sebagai interpretasi kepada melodi dan lirik muzik tradisional dalam budaya  Melayu.

Ketua pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, pihaknya berbangga kerana penganjuran konsert tersebut berlangsung dengan meriah menerusi sokongan penonton yang hadir pada malam itu.

“Saya akui peminat irama tradisional Melayu semakin sukar dilihat kini. Lebih- lebih lagi generasi kini lebih berminat kepada muzik yang lebih moden dan rancak.

“Mungkin bagi mereka alunan dan lenggok irama Melayu yang diluahkan dalam bentuk emosi serta pantun penuh maksud tersirat agak merumitkan,” katanya.

Menurut Norliza, menerusi konsert tersebut, penonton dapat melihat sejauh mana kehebatan irama Melayu.

“Ia merupakan antara genre yang sukar dinyanyikan. Bahkan ia menuntut kemahiran yang tinggi dalam melantunkan patah lagu dan membuai pendengar dengan suara yang mengasyikkan.

“Kerana itu bagi meraikan genre dan keindahan muzik tradisional Melayu, kami sepakat mengadakan konsert ini,” katanya.

Konsert ini menampilkan penyanyi lagu Melayu asli, barisan juara Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan dan juga artis ternama dalam satu persembahan bertaraf cemerlang melalui satu nuansa berbeza.

Ia turut diiringi muzik Orkestra Kuala Lumpur DBKL di bawah pimpinan Datuk Dr. Johari Salleh.

Pada masa sama, konsert ini bertujuan memartabatkan lagu Melayu Tradisional di persada seni tanah air.

Berkongsi lanjut, jelas Norliza, konsert ini antara yang terpenting dan besar maknanya bagi JKKN.

 “Ini merupakan satu lagi usaha JKKN untuk memulihkan lagu-lagu asli selepas kejayaan mengadakan Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan (BARK). “Justeru, konsert ini merupakan satu lagi platform untuk mengangkat lagu-lagu asli sehingga ke peringkat antarabangsa.

“DFP yang menjadi rakan kerjasama dengan lokasinya yang berprestij dan bertaraf antarabangsa serta sinonim dengan pementasan muzik orkestra dari barat khususnya telah menjadi saksi lantunan vokal lagu-lagu asli yang akhirnya bergema dengan megah,” katanya.

Jelas Norliza juga, jika orang Itali bangga dengan opera dan genre klasiknya, kita pula patut berbangga dengan lagu-lagu asli yang merupakan ‘signature’ atau identiti bagi kategori seni suara.

“Saya seru artis-artis Malaysia yang terlibat dalam industri hiburan menjadikan lagu-lagu asli sebagai lagu wajib dalam persembahan mereka.

“Menerusi pendekatan sebegini mereka bukan sahaja lebih versatil tetapi ia akan membantu mereka memperkayakan perbendaharaan kemahiran mereka dengan lagu-lagu beridentitikan Malaysia meskipun artis tersebut dari genre muzik lainnya sama ada moden, pop, rap, rock, jazz, R&B dan sebagainya,” katanya.

Sumber:  http://www.sinarharian.com.my


Read : 1.079 time(s).

Write your comment !