Saturday, 13 June 2026   |   Saturday, 27 Dzulhijah 1447 H
Online Visitors : 413
Today : 17.672
Yesterday : 18.252
Last week : 227.151
Last month : 9.252.016
You are visitor number 105.216.314
Since 01 Muharam 1428
( January 20, 2007 )
AGENDA
  • No data available

 

News

10 mei 2007 07:48

Raja Dr Nazrin akhiri zaman bujang 17 Mei

Raja Dr Nazrin akhiri zaman bujang 17 Mei

Kuala Kangsar- Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah (gambar), akan mengakhiri zaman bujangnya apabila melangsungkan perkahwinan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini pada 17 Mei ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Iskandariah, Raja Datuk Seri Mansur Raja Razman berkata, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, berkenan menyempurnakan istiadat perisytiharan lantikan Raja Puan Besar Perak dan penganugerahan Darjah Kerabat (DK) kepada isteri Raja Nazrin di Istana Iskandariah pada 18 Mei.

“Istiadat persandingan diraja akan dilangsungkan pada 19 Mei ini di Balairong Seri, istana itu pada sebelah malam, diikuti majlis santapan diraja,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam.

Beliau berkata, Pejabat Sultan Perak akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa untuk keperluan media berhubung istiadat perkahwinan itu bagi mengelak liputan berbentuk sensasi.

Beliau juga memohon kerjasama dan persefahaman pihak media bagi melakukan liputan mengenai perkara itu secara fakta berdasarkan kenyataan rasmi daripada istana, bukannya membuat liputan berbentuk sensasi.

Raja Nazrin adalah putera sulung Sultan Azlan Shah dan diputerakan pada 27 November 1956 di Pulau Pinang. Baginda berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Baginda juga memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England pada 1979 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada 1984.

Dikenali sebagai putera raja yang berjiwa rakyat, Raja Nazrin banyak terbabit menjayakan pelbagai program amal dan kemasyarakatan untuk kepentingan rakyat, khususnya untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Sejajar minat mendalam baginda terhadap pendidikan dan mengiktiraf pencapaian cemerlang baginda dalam pelbagai bidang keilmuwan, Raja Nazrin juga adalah Pro-Canselor Universiti Malaya (UM) serta Presiden Majlis Agama dan Adat Melayu Perak.

Menghargai sumbangan pengalaman dan pengetahuan luas Raja Nazrin dalam bidang ekonomi, baginda dilantik sebagai duta kewangan pertama bagi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), bulan lalu.

Sebagai duta kewangan, baginda akan terbabit menyokong pelbagai inisiatif yang dijayakan MIFC khususnya dalam membantu memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan pemimpin negara dan komuniti kewangan global, khususnya dari Asia Barat.

Selain itu, Raja Nazrin yang juga seorang pencinta pelbagai bidang seni serta warisan adalah Presiden Perbadanan Pembangunan Ekonomi Islam Perak dan Pengerusi Lembaga Pengelola Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Sumber : www.bharian.com.my


Read : 1.558 time(s).

Write your comment !