Sunday, 29 November 2026 |Sunday, 18 Jum. Akhir 1448 H
Online Visitors : 1.025
Today
:
31.830
Yesterday
:
54.413
Last week
:
5.264.527
Last month
:
11.429.130
You are visitor number 105.216.314 Since 01 Muharam 1428 ( January 20, 2007 )
AGENDA
No data available
News
02 februari 2008 03:08
Terokai keunikan Muzium Kesenian Islam
Replika ruang tamu rumah di zaman pemerintahan Uthmaniyah
yang menjadi tarikan utama pengunjung.
Kuala Lumpur- Kehebatan dan kehalusan kesenian Islam pasti memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya namun bukan semua dapat menikmatinya.
Ini kerana sering kali kita melihat pelancong bukan Islam dihalang masuk ke dalam masjid dan sekiranya mereka hendak berbuat demikian mereka dimestikan menutup aurat dan hanya dibenarkan melawat di luar kawasan sahaja bagi menghormati tempat suci itu.
Namun, kewujudan sebuah bangunan dua tingkat berhampiran Masjid Negara di Jalan Lembah Perdana yang diuruskan oleh Yayasan Albukhary memberi peluang kepada semua tidak kira agama, kaum dan bangsa untuk menikmati keindahan kesenian ini.
Ia boleh disaksikan di Muzium Kesenian Islam Malaysia yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memartabatkan keagungan tamadun Islam secara lebih meluas kepada masyarakat di negara ini dan dibuka sejak 10 tahun yang lalu.
Menurut Pegawai Eksekutif Pemasaran dan Unit Persembahan, Mohamad Redza Azizan, kawasan seluas 30,000 meter persegi ini mampu menarik pengunjung serata negara.
Ujar Redza, konsep hiasan dalaman dan luaran ini diambil daripada ciri-ciri tradisional negara Iran dan Asia Tengah di mana kubahnya yang berwarna firus menjadi satu mercu tanda.
"Terdapat empat buah kubah di mana salah satunya dibina terbalik bagi mewakili makna tersirat iaitu kepentingan muhasabah diri kepada manusia.
"Selain itu, terdapat 12 galeri pameran dan terbahagi kepada beberapa tema iaitu seni bina, tekstil, al-Quran, manuskrip, barang kemas, kerja logam, kerja kayu, gaya hidup, cap mohor, seramik, barangan kaca dan senjata serta perisai.
"Kebanyakan koleksi artifak adalah berasal dari negara asal artifak berkenaan seperti China, India, Asia Tenggara, Iran serta Asia Barat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Di aras pertama, pengunjung akan dapat melihat pameran pelbagai model masjid terkemuka di dunia yang bercirikan kesenian Islam.
Antara koleksi model yang dipamerkan termasuklah model Masjid al-Haram di Mekah, Masjid Nabawi, Masjid Ibnu Tulun di Kaherah dan Masjid Xi`an di China.
Selain itu, bagi pelancong yang bukan beragama Islam, sekiranya mereka tidak pernah melihat bagaimana keadaan di dalam masjid, di aras ini mereka dapat melihat dengan lebih jelas.
Ini kerana terdapat replika yang dibina seperti mihrab dan mimbar yang terdapat di dalam masjid di galeri tersebut.
Namun, kunjungan ke muzium itu tidak lengkap sekiranya tidak menjenguk kehalusan serta keindahan sesebuah ruang tamu sewaktu zaman pemerintahan Uthmaniyah yang dibina semula secara terperinci oleh enam orang pakar seni bina dari negara Syria.
Pakar berkenaan mengambil masa selama tiga minggu untuk menyiapkan bilik berkenaan, yang menggunakan bahan pasang siap yang dibawa dari negara mereka.
Pengunjung juga berpeluang untuk melihat secara dekat koleksi artifak Islam yang luar biasa yang dipamerkan di Galeri Kesenian Islam Dunia China di mana terdapat 30 juzuk al-Quran ditulis tangan dan menggunakan berus China dari abad ke-17 Dinasti Ching.
Selain itu, kata Redza, pengunjung juga dapat melihat kaligrafi di atas mata pedang, kain, tembikar, bekas setanggi, surat nikah, hantaran perkahwinan yang berusia sejak kurun ke-19 lagi.
Ujarnya, di antara koleksi artifak seni kaligrafi yang paling menarik dipamerkan ialah sebidang kain yang menutup pintu hadapan Kaabah berusia 39 tahun.
"Kain penutup pintu Kaabah ini dipanggil Kiswah, yang kaya dengan seni kaligrafi Islam dan didatangkan khas dari Mekah.
"Tanpa melawat ke sini, pengunjung pasti sukar untuk melihatnya di tempat lain," jelasnya.
Di samping itu, terdapat kira-kira 8,000 manuskrip al-Quran dan sastera Islam menggunakan pelbagai jenis tulisan khat dipamerkan.
Pengunjung pasti terpegun dengan keunikan al-Quran terkecil yang dipamerkan di galeri tersebut yang berasal dari Czechoslovakia, dilengkapi kanta pembesar khas yang digunakan ketika membacanya.
Di aras dua pula pengunjung akan dapat melihat koleksi barang-barang perhiasan serta senjata-senjata perang dari pelbagai tamadun.
Antaranya, pistol dari Syria dan Turki di mana larasnya diperbuat daripada gigi anak harimau yang membuktikan kemewahan masyarakat pada waktu itu.
Selain itu, di aras ini juga terdapat anjung tinjau yang disediakan untuk para pengunjung menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur yang berlatarbelakangkan Masjid Negara.
Selain daripada kemudahan anjung tinjau, di muzium juga terdapat sebuah auditorium yang memuatkan 247 buah kerusi serta sebuah kedai menjual cenderahati kepada pengunjung.
Terdapat juga sebuah kafe yang berkonsepkan Asia Barat yang menghidangkan menu menarik serta lazat.
Apa yang lebih istimewa, terdapat sebuah perpustakaan kanak-kanak di muzium tersebut di mana terdapat pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti melukis, kaligrafi khat dan membuat replika.
Oleh itu, tidak keterlaluan jika dikatakan muzium tersebut memainkan peranan penting sebagai penyimpan, pembaik pulih, pemelihara dan pendidik kesenian Islam kepada generasi baru bagi melahirkan generasi yang menghargai keindahan dan kehalusan seni yang dibawa oleh Islam.