Anda pengunjung ke 105.216.314 Sejak 01 Muharam 1428 ( 20 Januari 2007 )
AGENDA
Belum ada data - dalam proses
Berita
19 juni 2007 09:20
Malaysia-Indonesia Perlu Majukan Kewangan Islam dan Pasaran Halal
Jakarta– Malaysia dan Indonesia seharusnya memperkukuhkan kerjasama mereka dalam memajukan agenda untuk membangunkan lagi kewangan Islam dan pasaran halal bagi faedah masyarakat antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi, di Jakarta (18/6).
Berucap kepada kira-kira 700 peneraju industri pada Sidang Kemucak Pelaburan dan Kewangan Malaysia-Indonesia di Jakarta, beliau berkata, ia akan menyediakan kaedah strategik kepada kedua-dua negara bagi perkongsian di mana mereka mempunyai kelebihan yang jelas.
“Ini akan mewujudkan bidang khusus bagi kedua-dua negara untuk memperoleh kelebihan persaingan bukan sahaja di pasaran serantau tetapi juga secara global,” kata beliau, sambil menambah kata bahawa Malaysia dan Indonesia janganlah dilihat sebagai pasaran terasing, individu tetapi sebaliknya sebagai pintu masuk ke dalam ekonomi global dan persekitaran kewangan yang lebih luas.
Beliau berkata, potensi perniagaan dan perdagangan sektor halal yang luas tidak boleh disangsikan, dengan pasaran penguasaan 1.6 bilion orang Islam dan anggaran saiz pasaran lebih daripada AS$600 bilion (AS $1 RM3.44).
Peluang-peluang yang berhubung dengannya adalah hebat, bukan semata-mata dalam konteks komuniti Islam global tetapi juga dunia bukan Islam memandangkan produk dan perkhidmatan halal sedia diterima di mana-mana, selagi ia memenuhi standard dan kualiti global, kewibawaan produk dan perkhidmatan, dan memenuhi standard keselamatan dan penjagaan alam sekitar.
Effendi menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia telah menggariskan strategi holistik untuk melipat gandakan pembangunan industri halal ke arah mencapai wawasan menjadikan Malaysia hab halal global. Ini termasuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal tahun lalu bagi menerajui dan menyelaras pembangunan sektor halal.
“Pelabur tempatan dan antarabangsa dialu-alukan untuk mengambil peluang daripada pelbagai program yang ditawarkan di Malaysia,” kata beliau, sambil menambah kata bahawa antara projek itu ialah pewujudan zon perindustrian halal khas untuk mengusahakan pertumbuhan pasaran halal global.
Bagi kewangan Islam, katanya, ia membuka peluang yang hebat dalam mempertingkatkan rantaian ekonomi dan kewangan di antara Malaysia dan Indonesia, dan juga ekonomi-ekonomi serantau yang lain, bagi menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan rantau ini.
Institusi-institusi dan syarikat-syarikat kewangan dari Malaysia dan Indonesia boleh mewujudkan jalinan strategik untuk mengumpul dana dan menyalurkannya bagi pembangunan melalui terbitan sukuk (bon Islam) atau menubuhkan dana ekuiti persendirian berasaskan prinsip Islam, tambah beliau.
Beliau menegaskan bahawa dalam pasaran bon Islam global, terbitan instrumen Islam sedang meningkat dan telah melebihi paras AS$50 bilion dengan lebih banyak kerajaan, termasuk di kalangan G8 (Kumpulan lapan negara perindustrian), dan perbadanan pelbagai negara meneroka kemungkinan menerbitkan sukuk bagi urusan mengumpul dana mereka.
Effendi berkata, Malaysia bermatlamat menjadi pusat global bagi pemula, pengedaran dan dagangan instrumen-instrumen kewangan Islam, pengurusan kekayaan serta dana Islam dan juga pusat bagi takaful dan takaful semula, dan telah memberikan beberapa insentif untuk mempercepatkan pertumbuhannya.
Mengenai perdagangan Malaysia-Indonesia, beliau berkata kedua-dua negara tidak mengambil kesempatan yang sewajarnya daripada peluang-peluang yang ditawarkan setiap pihak, terutamanya setelah perangkaan menunjukkan bahawa dari segi eksport Malaysia ke negara utama ASEAN, Indonesia menyumbang 12 peratus daripada keseluruhannya.
Peratusan eksport Malaysia ke Indonesia bagi jumlah eksportnya ke pasaran dunia adalah lebih kecil, hanya 3.1 peratus, dengan eksport ke negara-negara maju menguasai sebahagian besarnya, kata beliau.
Sumber : utusan.com.my Kredit foto : utusan.com.my